Tidak timbul soal paksaan, apabila wanita Islam selesa dan masih bergerak bebas walaupun berjilbab. - Gambar hiasan |
ARKIB : 10/05/2012
MELANIE Jane, seorang wanita Inggeris dari
Britain yang memutuskan untuk memeluk agama Islam pada usia yang masih muda.
Gadis itu memeluk Islam ketika berpindah
dan bertugas di Dubai, Emeriah Arah Bersatu yang merupakan sebuah negara Arab
moden tetapi berjaya memberikan pengaruh besar kepadanya sehingga membolehkan
Melanie menukar agama.
"Saya fikir saya merupakan produk daripada
orang tua yang sangat mengambil berat terhadap saya sebagai anak mereka.
"Kedua ibu bapa saya sangat berfikiran
terbuka dan sangat mengambil peduli apa juga isu yang sedang berlaku di
sekeliling kita. Mereka selalu mengajar saya supaya tidak mendiskriminasikan
siapa jua, baik dari aspek agama, budaya, warna kulit atau apapun.
"Saya berfikir bahawa mereka telah
memberi saya satu landasan kukuh untuk melakukan kajian dan akhirnya menjadikan
saya seperti sekarang ini," katanya.
Bergelar Muslimah turut merubah penambilan
Melanie yang mana kini dia selesa berjilbab sehingga menimbulkan tanggapan
negatif di kalangan mereka yang mengenalinya seperti: "Oh, lihat dia!
Pastinya (perubahan) kerana dia bernikah dengan seorang lelaki Muslim."
atau "Lihat dia sekarang! Sayang sekali, kenapa dia harus jadi seperti itu
(Muslim). Sekarang dia tertindas (kerana memakai jilbab)!"
Begitulah pelbagai persepsi yang
dilemparkan terhadap Melanie yang memilih untuk menjadi Muslimah sejati dengan
menutup aurat.
"Mereka beranggapan bahawa saya
berpakaian seperti ini kerana suami saya memaksa memakainya. Atau, mungkin
kerana sesuatu yang saya diberitahu bahawa saya mesti melakukannya.
"Tetapi sebenarnya mereka tidak tahu
bahawa alasan (kehendak) yang sebenarnya ialah kerana agama yang menjadi dasar
atau sebab kenapa saya menutup aurat.
"Secara peribadi saya berfikir
seseorang itu memiliki satu wawasan yang unik ketika memakai jilbab dan
mengetahui dengan jelas mengapa memakainya.
"Perkara menutup aurat ini bukan untuk
orang lain, tetapi untuk diri sendiri dan demi Allah. Itulah alasan kita
memakainya, bukan kerana orang lain meminta kita melakukannya," katanya.
Kejadian yang dianggap lucu yang pernah
dialami oleh Melanie ialah satu insiden yang berlaku di sebuah salon rambut.
"Saya memasuki salon dalam keadaan
saya mengenakan jilbab. Ketika saya duduk dan setelah selesai memotong rambut,
saya disapa oleh seorang wanita yang berada di situ. Dia bertanyakan sama ada
saya sudah bernikah.
Saya berkata: "Ya, benar."
Lalu dia berkata: "Pastinya anda
menikahi dengan seorang warga tempatan?" Ketika itu Melanie Jane bekerja
di Dubai.
Maksud wanita itu tentunya Melanie, seorang
wanita kulit putih memakai jilbab disebabkan pernikahannya dengan seorang
lelaki warga tempatan.
"Saya rasa ini adalah contoh prasangka
masyarakat terhadap jilbab, iaitu orang ramai sering menganggap bahawa anda
telah dipaksa untuk memakainya bukan kerana Islam dan bukan kerana pilihan anda
sendiri, tetapi kerana terpaksa," katanya.
Sebab itu kata Melanie, soal bertudung dalam
Islam perlu diperjelaskan supaya para wanita Islam yang berpakaian menutup
aurat tidak diperlekehkan dan tidak di pandang dengan pelbagai pandangan
negatif sehingga dilihat sebagai sesuatu yang pelik.
"Saya harus mula untuk menjelaskan
semua ini kepada mereka walaupun saya sendiri baru mengenali dan masih belajar
mengenai Islam.
"Kita perlu memberikan penjelasan dan
perlu meluangkan waktu untuk menjelaskan hal ini kepada orang ramai,"
katanya.
No comments:
Post a Comment