بِسۡمِ ٱللهِ ٱلرَّحۡمَـٰنِ ٱلرَّحِيمِ
Dengan nama Allah, Yang Maha Pemurah, lagi Maha Mengasihani. Artikel-artikel yang disiarkan di sini adalah sebagai rujukan dan simpanan peribadi pemilik blog ini. Kebanyakannya diambil daripada sumber-sumber yang dinyatakan. Segala pendapat dalam penulisan ini adalah pendapat penulis artikel yang sebenar. Jika ada kekeliruan tuanpunya blog ini menyarankan supaya bertanya kepada penulis asal. Semoga memberikan manfaat kepada pembaca.

Thursday, May 24, 2012

HADIS PALSU BULAN REJAB



Oleh Mohd Shukri Hanapi, Berita Harian Online, 17 Ogos 2005: 

UMAT Islam ini berada dalam Rejab iaitu bulan yang ketujuh dalam kalendar Islam. Bagi sesetengah masyarakat Islam, mereka menganggap Rejab adalah bulan teristimewa kerana menyangka mempunyai banyak kelebihan. Sebenarnya tidak thabit dalam hadis sahih yang menyatakan kelebihan Rejab. Cuma bulan ini termasuk dalam salah satu daripada empat bulan yang dilarang berperang padanya selain Zulkaedah, Zulhijjah dan Muharam.

Tidak dinafikan ada beberapa hadis yang sering kita dengar dalam ceramah dan penulisan mengenai kelebihan bulan ini. Malangnya, kebanyakan hadis itu berkisar sekitar dhaif, palsu atau tiada sandaran.

Antara hadis yang sering digunakan untuk menyatakan kelebihan bulan ini ialah: 

"Dalam syurga ada sebuah sungai yang bernama Rejab, airnya lebih putih daripada susu, lebih manis daripada madu. Sesiapa yang berpuasa dalam bulan Rejab, nescaya akan diberi minum air sungai itu." - Hadis ini sebenarnya bertaraf daif.

Selain itu, hadis berbunyi: 

"Sesiapa yang berpuasa sehari dalam bulan Rejab, sama seperti ia berpuasa sebulan, sesiapa berpuasa tujuh hari nescaya ditutup daripada tujuh pintu neraka jahanam. Sesiapa berpuasa lapan hari, nescaya dibuka baginya lapan pintu syurga." - Taraf hadis ini juga daif.

Dalam pada itu ada hadis lagi yang berbunyi "Rejab bulan Allah, Syaaban bulanku (Nabi Muhammad SAW), Ramadan bulan umatku." Hadis ini munkar, malah ada sesetengah ulama mengatakan ia hadis palsu, tiada padanya nilai ilmiah yang boleh dipertanggungjawabkan.

Ibnu Hajar al-Asqalani telah berusaha mengumpul mengenai kelebihan Rejab dalam kitabnya, Tabyin al-'Ajaib bima warada fi fadl Rajab. Namun menurut beliau, tiada satu pun hadis sahih yang menyatakan mengenai kelebihan dan fadilat puasa pada Rejab.

Tanda dhaif atau palsu dalam hadis kelebihan Rejab ketara sekali, terutama apabila menjanjikan pahala yang terlalu besar bagi mereka yang berpuasa atau beribadat padanya. Ulama menyatakan, janji yang terlalu besar tidak sepadan dengan amalan yang dilakukan. Hal ini menunjukkan kemungkinan hadis itu dusta atau palsu.

Bagaimanapun, tiada hadis yang melarang umat Islam berpuasa pada Rejab

Oleh itu, hukum berpuasa sunat dalam bulan ini sama saja dengan berpuasa pada bulan lain, seperti puasa pada Isnin dan Khamis atau tiga hari dalam sebulan.

Namun begitu, soal kethabitan atau ketulenan sesebuah hadis perlu diambil kira. Adalah tidak wajar apa saja yang dikatakan hadis terus disebarkan kepada masyarakat tanpa meneliti takhrij dan tahqiq (keputusan) ulama hadis terhadap kedudukannya.

MindaSuper.com - Membentuk Kecemerlangan Minda Dengan Al-Quran.

http://mindasuper.com/v2 Powered by Joomla! Generated: 24 May, 2012, 02:30

Sumber : Minda super


Boleh juga baca :

No comments:

Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...