Bersama Ustaz Zaman
2012/05/05
ISLAM mewajibkan umatnya bekerja untuk
menampung kehidupan mereka dan keluarga bagi melangsungkan kesinambungan hidup
di dunia. Mereka tidak diberi pilihan khusus dalam memilih pekerjaan, namun
mereka tiada pilihan kecuali memilih pekerjaan yang halal.
Ini bertujuan mewujudkan dua hubungan iaitu antara makhluk dan penciptanya.
Oleh itu, semua urusan berkaitan adalah termasuk dan diiktiraf sebagai
sebahagian daripada urusan ibadat yang diperintah Allah dan akan mendapat
ganjaran.
Semua perkara haram dan halal telah
digariskan melainkan perkara ragu-ragu yang memerlukan pencerahan. Sabda
Baginda SAW yang bermaksud: “Sesungguhnya perkara halal dan haram itu adalah jelas
dan di antaranya adalah perkara musyhtabihat (samar-samar).” (Al-Hadis)
Antara pekerjaan yang dimuliakan Allah SWT
ialah memakmurkan bumi dengan menghidupkan sektor pertanian supaya dapat
dimanfaatkan oleh orang lain. Hakikatnya, bumi yang dimakmurkan akan sentiasa
mendoakan pemiliknya dengan kerahmatan dan kesejahteraan.
Diriwayatkan daripada Jabir, sabda Baginda SAW yang bermaksud: “Jika kamu
mempunyai tanah hendaklah diusahakan dan jika kamu tidak berkesempatan, maka
hendaklah dipinjamkan kepada saudara Muslim untuk diusahakan.” (Hadis riwayat
Muslim)
Kita hendaklah bersungguh dalam melakukan apa juga bidang yang diceburi.
Baginda SAW adalah orang yang paling bersungguh-sungguh dalam melakukan sesuatu
pekerjaan. Ketekunan Baginda disaksikan sahabat dan diterjemahkan dalam urusan
pekerjaan mereka.
Diriwayatkan oleh Aisyah, Rasulullah SAW beribadat di waktu malam sehingga
bengkak tumitnya. Begitu juga dalam masa peperangan Khandak, Rasulullah SAW
memunggah pasir dari kubu sehingga tertutup kulit perut Baginda, bahkan Baginda
sanggup mengikat dengan batu untuk menahan lapar.
Islam terus mempertahankan konsep keadilan dalam menangani sebarang
permasalahan dalam semua bidang pekerjaan dan melarang keras terhadap
penindasan dilakukan terhadap orang lain dengan memerah keringat mereka tanpa
balasan setimpal.
Islam juga mempunyai mekanisme jelas bagi mencapai tujuan itu yang diukir
melalui kisah Nabi Musa yang bekerja di rumah Nabi Syu’ib. Nabi Syu’ib berkata:
“Aku tidak hendak memberati kamu. Dan kamu InsyaAllah akan mendapatiku termasuk
orang yang baik.” (Surah Al-Qasas, ayat 27)
Kewujudan kesatuan sekerja contohnya adalah satu tuntutan dalam agama Islam
supaya masing-masing mendapat hak saksama dan tiada pihak yang teraniaya.
Sesungguhnya peranan pihak berwajib diperlukan untuk memastikan semua pihak
mendapat keadilan.
Pimpinan mestilah prihatin terhadap orang bawahan dan begitu juga antara
majikan dan pekerja. Sabda Baginda SAW yang bermaksud: “Setiap individu adalah
pemimpin dan kamu akan ditanya mengenai mereka yang di bawah pimpinannya.”
Saidina Umar ketika memimpin Madinah pernah menyebut dalam kata-katanya yang
masyhur: “Jika seekor kaldai sekalipun tersesat di negeri Iraq sana, nescaya
aku akan ditanya kenapa kamu tidak selamatkan dia wahai Umar.”
Pekerja adalah jentera dalam merealisasikan impian majikan menambahkan
produktiviti. Proses perbincangan mestilah sentiasa berjalan antara kedua-dua
pihak.
Kewajaran menambahkan pendapatan mereka adalah satu keperluan, khususnya
apabila berlaku peningkatan taraf hidup dan kenaikan barang keperluan semasa
mestilah diperhatikan pihak berwajib.
Ibnul Qayyim dalam dalam mengupas persoalan ini menyebut, diharuskan bagi pihak
berwajib untuk campur tangan jika berlaku kenaikan harga barang bagi meringankan
bebanan pengguna.
Anas meriwayatkan, telah berlaku kenaikan harga barang disebabkan manipulasi
daripada pihak tertentu semasa itu, maka aduan sampai kepada Baginda SAW dan
jawab Baginda SAW: “Sesungguhnya Allah SWT adalah pencipta yang amat berkuasa,
yang menghidup dan mematikan, yang menyulitkan dan memudahkan segala urusan.
Saya harap tiada di antara kamu yang berusaha untuk menzalimi saudaranya pada
darah dan harta.”
Ingatlah, pekerja adalah saudara seagama yang berhak mendapat keadilan yang
sewajarnya dari majikan masing-masing. Mewujudkan suasana yang adil adalah
kemuncak kepada matlamat agama Islam mewujudkan keharmonian dalam masyarakat.
Janganlah kita menjadi orang paling kecewa pada hari kiamat melihat hasil yang
kita usahakan. Firman Allah SWT: “Orang yang paling kecewa (rugi) pada hari
kiamat kelak ialah orang yang mencari harta secara tidak halal lalu ia masuk ke
neraka bersama hartanya.” (Hadis riwayat Bukhari)
Penulis ialah Eksekutif Agama The New Straits Times Press (NSTP)
No comments:
Post a Comment