Oleh WAN JEMIZAN W. DERAMAN dan AHMAD
TERMIZI MOHAMED DIN
SEMEMANGNYA dalam kehidupan ini, perbezaan
pendapat dan mempunyai pandangan yang berlainan adalah perkara yang lumrah bagi
manusia.
Justeru, apabila ia berlaku jangan sesekali
ada di antara kita dengan mudah membuat kesimpulan yang menjurus kepada
prasangka, kononnya ia bertujuan tidak memburukkan sesiapa.
Oleh yang demikian, janganlah kita terlalu
gopoh ke hadapan dengan membuat andaian yang bukan-bukan atau berhujah dengan
penuh emosi sehingga wujud cabar-mencabar.
Sebaliknya teguran atau sesuatu pandangan
itu perlu diteliti dan dihalusi sertai dikaji kebenarannya.
Ini kerana perbuatan menegur orang yang
melakukan kesalahan merupakan tindakan yang amat diperintah oleh Allah SWT.
Firman Allah dalam surah an-Nahl ayat 125
bermaksud:
Serulah (manusia) kepada jalan Tuhanmu dengan hikmah dan pelajaran yang baik dan bantahlah mereka dengan cara yang lebih baik.
Pun begitu, sejak kebelakangan ini kita
melihat semakin banyak pihak yang tidak boleh ditegur biarpun apa yang
dinyatakan oleh seseorang itu mempunyai kebenarannya.
Islam telah menggariskan dalam membuat
teguran. Kita haruslah berhati-hati apatah lagi jika kita cuba bertindak
sebagai 'orang perantaraan' bagi menjelaskan sesuatu perkara.
Hakikatnya, Islam memberi panduan yang
jelas dalam kita memberi teguran dan bagaimana sikap kita apabila ditegur.
Kita tidak harus melatah, apatah lagi
terlalu emosional sehingga menyebabkan kita melafazkan kata-kata yang tidak
sepatutnya.
Semua itu tidak akan menyelesaikan masalah
sebaliknya hanya akan mengeruhkan lagi keadaan. Tidak kira sama ada kita
pemimpin atau tidak tetapi apa yang kita perkatakan pasti akan dinilai oleh
manusia dan diperhitungkan oleh Allah SWT.
Kegagalan untuk mengawal perasaan kita
berhujah akan menyebabkan berlaku tuduh-menuduh yang kesudahannya akan mencetus
permusuhan antara kita.
Tindakan ini sudah tentulah bertentangan
dengan firman Allah dalam surah ali-Imran ayat 103 yang mengingatkan:
Dan berpegang teguhlah kamu sekalian dengan tali (agama) Allah dan janganlah kamu bercerai-berai dan ingatkan nikmat Allah kepadamu ketika kamu dahulu bermusuh-musuhan, maka Allah menjinakkan hati kamu lalu jadikan kamu dengan nikmat Allah itu orang-orang yang bersaudara, pada hal dahulunya kamu telah berada di jurang neraka, maka Dia menyelamatkan kamu daripadanya. Demikianlah Allah SWT menerangkan kepadamu ayat-ayat agar kamu mendapat petunjuk.
No comments:
Post a Comment