2012/05/18
ISLAM mengajar umatnya supaya menghormati
dan berbuat baik kepada ibu bapa. Jasa dan pengorbanan yang mereka curahkan
sejak di alam rahim hingga kita dilahirkan begitu besar. Mereka
bertanggungjawab mencari nafkah dan mendidik kita hingga dewasa.
Mereka juga sanggup mengorbankan nyawa dan kepentingan diri demi mengharungi
pelbagai cabaran demi masa depan anak. Kepayahan dan pengorbanan ibu bapa
mendidik dan membesar anak sekurang-kurangnya dalam tiga keadaan, ketika
mengandung, saat melahirkan dan dari kecil sehingga dewasa.
Marilah kita merenung kembali wajah
terindah ibu bapa kita, mungkin ada antara kita ibu bapanya telah pergi buat
selama-lamanya dan mungkin ada yang masih lagi bersama. Cuba kita hayati wajah
yang telah kedut ditelan usia, namun tetap tersimpul senyuman menggambarkan
kasih sayang.
Ingatlah wahai muslimin sekalian bahawa
kasih ibu bapa kepada anak berpanjangan sepanjang hayat, pengorbanan dan kudrat
dicurah siang malam, hanya tahu memberi dan tidak mengharapkan apa-apa balasan
daripada anak.
Apa yang kita miliki hari ini, harta, pekerjaan, pangkat, kesenangan dan
keluarga kita adalah hasil daripada pengorbanan mereka. Tanpa mereka kita tidak
dapat melihat dunia ini dan tanpa nasihat dan pengorbanan mereka kita tidak
akan memiliki semua ini.
Sehubungan itu, kita sebagai anak wajib menghormati, mentaati dan berbuat baik
terhadap mereka. Ini sebagai suatu penghormatan tertinggi daripada anak dan
membalas jasa ibu bapa mereka.
Tidak dapat dinafikan kasih sayang seorang ibu mengatasi segala-galanya. Tidak
hilang di hati seorang ibu perasaan rindu terhadap anaknya walaupun sesaat,
kadang kala ibu tidak dapat menyuap makanan, melelapkan mata dan ada kala
tergenang air mata kerana teringatkan anaknya.
Rebutlah kesempatan yang ada ketika hidup sebelum mereka pergi buat
selama-lamanya. Hari ini, ada dalam kalangan anak yang sibuk dengan jawatan,
mengejar kuasa dan pangkat tiada masa menziarahi ibu bapa walaupun
kepulangannya sentiasa dinantikan penuh kerinduan. Ingatlah menziarahi ibu bapa
satu tuntutan kepada seorang anak.
Anak akan lebih mengingati dan menyebut nama ibu. Jika kita ada masalah, kita
luahkan kepada ibu, kita lebih suka berkongsi perasaan dengan ibu, jika sakit,
kita lebih suka ibu yang jaga. Oleh itu, wajarlah Allah SWT memuliakan ibu
sesuai dengan pengorbanannya.
Betapa besarnya pengorbanan ibu bapa, namun persoalannya kini, bagaimana pula pengorbanan
anak untuk menghargai dan membalas balik jasa serta pengorbanan ibu yang tidak
terhitung ini. Inilah persoalan perlu direnung kita semua sebagai anak,
sudahkah menunaikan kewajipan terhadap ibu.
Imam Muslim meriwayatkan daripada Abdullah bin Mas’ud, beliau pernah bertanya
Rasulullah SAW amalan paling utama. Baginda bersabda: Solat pada waktunya.
Beliau bertanya lagi: Kemudian apa lagi? Baginda bersabda: Berbakti kepada
kedua ibu bapa. Beliau bertanya lagi: Kemudian apa lagi? Baginda bersabda: Berjuang
pada jalan Allah.”
Rasulullah SAW bersabda bermaksud: “Ada tiga jenis manusia yang terkena laknat
Allah SWT iaitu: seorang yang membenci kedua ibu bapanya, seseorang yang
berusaha menceraikan sepasang suami isteri, kemudian selepas isteri itu dicerai
ia menggantikannya sebagai suaminya dan seseorang yang berusaha supaya orang
mukmin saling membenci dan saling mendengki antara sesamanya dengan
hasutannya.” (Hadis riwayat Ad Dailami)
Imam Bukhari meriwayatkan, Abdullah bin Amru bin al-‘As bertanya Rasulullah SAW
mengenai dosa besar. Sabda Baginda: “Antara dosa besar ialah seorang lelaki
mencerca ibu bapanya. Tanyanya lagi: Wahai Rasulullah! Adakah akan berlaku
seorang lelaki memaki-hamun ibu bapanya? Jawab Nabi SAW: Ya. Seorang lelaki
memaki hamun bapa seorang lelaki lain, nescaya lelaki itu memaki kembali
bapanya, begitu juga sekiranya seorang lelaki memaki hamun ibu seorang lelaki
lain, nescaya lelaki itu juga akan memaki hamun ibunya.”
Ambillah iktibar dalam cerita si tanggang, seorang anak yang melupai ibunya dan
durhaka selepas mendapat kedudukan yang tinggi akibatnya si anak itu diberi
balasan oleh Allah SWT di dunia ini.
Menyayangi ibu bapa bukan sekadar ketika keduanya masih hidup, tetapi
berpanjangan ketika mereka berada di alam arwah atau alam kubur. Roh orang mati
tetap hidup di sisi Allah. Setiap hari amalan kita diangkat ke langit dan
segala amalan itu dipertontonkan kepada roh ibu bapa kita.
Marilah bersama menzahirkan perasaan kasih sayang terhadap ibu setiap masa.
Memberi kasih sayang kepada mereka bukan sekadar memberi hadiah dan wang
ringgit bahkan seluruh jiwa dan raga. Jangan biarkan mereka kesepian dengan
linangan air mata yang sayu lagi pilu.
Budayakanlah amalan memuliakan dan menghormati ibu bapa di sepanjang kehidupan
kita dan janganlah hanya dibuat pada masa tertentu saja. Ambillah kesempatan
yang ada ini untuk menyayangi mereka.
Khutbah
Jabatan Kemajuan Islam Malaysia (JAKIM)
No comments:
Post a Comment