Sejarah buktikan hanya kebaikan teras
kemenangan
BULAN Rejab sudah menampakkan sinarnya. Golongan pencinta amal kebajikan
menganggapnya sebagai masa untuk memanaskan badan sementara menunggu bulan yang
lebih agung iaitu Ramadan. Ada sesetengahnya pula sudah memasang niat untuk
mempertingkatkan amalan lebih baik berbanding tahun sebelumnya.
Tidak kurang juga yang mula mengganti puasa
yang ditinggalkan dulu atas pelbagai sebab, begitu juga amalan puasa sunat.
Ayat al-Quran mahupun al-Hadis sarat
galakan supaya setiap manusia sentiasa melazimkan kebaikan dalam kehidupan
sehari-hari. Neraca inilah yang menjadi pertimbangan kepada jatuh bangunnya
sebuah peradaban manusia.
Lipatan sejarah jelas menunjukkan akhlak mulia setiap lapisan masyarakat
menjadi teras kepada kemenangan dalam sebuah perjuangan. Merujuk kepada hadis
masyhur, Rasulullah SAW bersabda yang maksudnya: “Kota Constantinople (Istanbul
sekarang) akan jatuh ke tangan orang Islam. Pemimpin yang menaklukinya adalah
sebaik-baik pemimpin dan pasukan tenteranya adalah sebaik-baik tentera.” (Hadis
riwayat Ahmad).
Hanya selepas 800 tahun, ia menjadi kenyataan apabila Sultan Muhammad al-Fateh
berjaya menawan dan membuka kota itu daripada tangan Kerajaan Rom. Pengkaji
sejarah mendapati antara faktor terpenting membawa kepada kejayaan pembukaan
kota itu ialah kebaikan akhlak dan perilaku bukan setakat pemimpin saja, malah
rakyat secara keseluruhannya.
Bayangkan dalam puluhan ribu tentera itu, tidak seorang pun yang pernah
meninggalkan solat fardu sejak usia baligh, sebahagian saja pernah meninggalkan
solat sunat rawatib dan daripada kalangan yang ramai itu, hanya Sultan Muhammad
tidak pernah meninggalkan solat malam sejak baligh.
Fenomena ini seharusnya membuka mata kita bahawa kebaikan itu mesti menjadi
syarat utama membebaskan diri manusia daripada kezaliman dan kejahatan yang
melingkungi persekitaran hidup mereka kini.
Bagaimana mahu memastikan harta benda sentiasa terjaga jika kejadian pecah
rumah dan samun bermaharajalela setiap hari? Harus bagaimana memastikan anak
muda remaja menjaga maruahnya sedang kerosakan nilai budaya masyarakat
dipaparkan dalam media cetak dan elektronik sehari-hari?
Persoalan inilah yang harus dicari jawapan supaya selama-lamanya manusia tidak
hanyut berada dalam lingkungan tidak sihat, berbudaya negatif, berakhlak tidak
sopan dan hidup dalam acuan yang tidak Islam.
Pelaksanaan kepada kebaikan datangnya dari hati dan dorongan dalaman yang kuat.
Niat saja tidak cukup, malah mesti digerakkan melalui tindakan. Namun, niat itu
sendiri sudah mendatangkan pahala kepada si pelaku.
Sehubungan itu, atas rahmat dan kasih sayang Allah, pasti akan memberikan
balasan setimpal untuk niat dan keinginan hati seseorang. Ketinggian sifat
Pengasih Allah SWT ini dikurniakan juga walaupun kebaikan itu tidak
dilaksanakan, malah jika berniat untuk melakukan kejahatan, tetapi tidak
ditunaikan, akan diberi pahala oleh Allah SWT.
Dalam hadis qudsi, Rasulullah SAW bersabda yang bermaksud: “Sesungguhnya Allah
telah menuliskan kebaikan dan kejahatan, kemudian Dia telah menerangkan hal
itu. Barang siapa yang bercita-cita untuk melakukan kebaikan tetapi tidak
dilakukannya, maka Allah akan menuliskan baginya satu kebaikan yang sempurna.
Dan jika dia bercita-cita untuk membuat kebaikan dan melaksanakannya, maka
Allah akan menuliskan baginya sepuluh sehingga 700 kali ganda kebaikan malah
berlipat-lipat kali ganda. Barang siapa pula yang bercita-cita untuk melakukan
kejahatan tetapi tidak beramal dengannya, maka Allah akan menuliskan baginya
satu kebaikan, dan jika ia bercita-cita untuk melakukan kejahatan dan
dilaksanakan kejahatan itu, maka Allah SWT hanya akan menuliskan baginya satu
kejahatan saja.” (Hadis riwayat al-Bukhari dan Muslim).
Hadis ini tidak sepatutnya menjadi hujah kepada ahli kejahatan untuk berbuat
jahat, kononnya hanya akan tertulis satu kejahatan saja, tetapi ia harus
menjadi perangsang dan motivasi supaya sentiasa menghiasi diri dengan sifat dan
akhlak mulia. Kejahatan tetap dinilai suatu yang mungkar walaupun ia kecil,
namun kebaikan itu dilihat amat besar walaupun dilakukan sedikit saja.
Amal salih inilah sebenarnya prasyarat utama untuk menemui Allah di akhirat
kelak dengan hati penuh ketundukan kepada-Nya. Firman-Nya yang bermaksud:
“Sesiapa yang ingin bertemu Tuhannya (di akhirat kelak), maka hendaklah ia
melakukan amal salih dan tidak mensyirikkan-Nya dalam setiap amal ibadahnya.”
(Surah al-Kahfi, ayat 110).
Perhatikan maksud firman Allah: “Dan kalau Kami tidak memperkuat (hati) mu,
nescaya kamu hampir-hampir condong sedikit kepada mereka. Kalau terjadi
demikian, benar-benarlah Kami akan rasakan kepadamu (seksaan) berlipat ganda di
dunia ini dan begitu (pula seksaan) berlipat ganda sesudah mati, dan kamu tidak
akan mendapat seorang penolong pun terhadap Kami.” (Surah al-Isra’, ayat 74-75).
Ayat ini memberi ancaman bahawa perlakuan dosa itu perlu dijauhkan supaya tidak
menjadi satu perkara biasa yang diulang dan diulang. Begitu juga martabat
kebaikan dan pahala yang dikurniakan-Nya juga bergantung kepada kualiti
ketaatan dilakukan, semakin baik dan tinggi mutu ibadahnya, maka semakin
meningkat ganjaran dikurniakan Allah SWT.
Justeru, buatlah kebaikan sama ada untuk diri sendiri apatah lagi untuk manfaat
orang lain demi kesenangan hidup di alam akhirat nanti. Insya-Allah segala
kebajikan itu ada pulangan yang baik di sisi Allah SWT.
No comments:
Post a Comment