SETIAP kali berhajat menggembirakan ibu, ada kalanya kita merancang untuk
pulang bertemu dan menghabiskan masa, ada juga yang suka menjamu ibu dengan
makanan lazat hasil tangan sendiri, tidak kurang membawa ibu melancong ke
merata dunia. Apa pun caranya, setiap ibu pasti gembira apabila dihargai anak
yang mengenang jasa.
Namun, semua itu tiada bermakna jika anak
tidak mendoakan supaya kehidupan ibu lebih baik di akhirat kelak. Doa begitu
sinonim dengan hajat untuk mendapatkan sesuatu yang diingini. Doa juga satu
permohonan kepada Allah SWT supaya diberi perlindungan daripada malapetaka dan
bencana.
Lazimnya manusia berdoa apabila sudah
berusaha dan berikhtiar, ada juga yang berdoa tanpa melakukan apa-apa. Yang
pasti, doa hanyalah kepada Allah yang satu, bukan selain-Nya.
Paling utama buat seorang ibu ialah doa daripada anak. Allah SWT telah
memerintahkan hamba-Nya supaya sentiasa meminta dan memohon sesuatu
daripada-Nya, pemilik segala perbendaharaan di dunia dan akhirat.
Allah SWT berfirman yang bermaksud: “Dan Tuhan kamu berfirman: Berdoalah kamu
kepada-Ku nescaya Aku memperkenankan doa permohonan kamu.” (Surah Al-Mu’min,
ayat 60)
Sebagai seorang anak, tentulah doa untuk ibu menjadi ulam bicaranya dengan
Ilahi setiap waktu mengadap-Nya. Biarpun ibu tidak mengetahuinya, itu tidak
pernah menjadi halangan untuk anak meminta yang terbaik daripada Allah SWT
supaya ibu yang melahirkannya sentiasa bahagia, diberi keberkatan dan
kerahmatan, juga digolongkan bersama mereka yang salihah di akhirat kelak.
Perlu diingat, tiada siapa yang paling bermakna doanya kepada ibu melainkan
anak yang dilahirkannya. Rasulullah SAW bersabda yang bermaksud: “Apabila anak
Adam wafat, putuslah amalnya kecuali tiga iaitu sedekah jariah, pengajaran dan
penyebaran ilmu yang dimanfaatkannya untuk orang lain, dan anak yang
mendoakannya.” (Hadis riwayat Muslim)
Banyak peristiwa malang berlaku hari ini kepada anak yang dilahirkan tanpa
disengajakan. Mereka akhirnya dibuang merata, tiada pula kasih dan simpati
tertumpah pada mereka. Ada yang menyerahkan anak kepada orang lain untuk
dijaga, sehingga akhirnya tidak lagi mengenali zuriat darah daging sendiri, ada
juga yang tidak pernah mengendahkan kasih sayang dan keperluan patut dicurahkan
buat anak, malah menyalahkan anak yang lahir tanpa ‘dijemput’ itu.
Apa pun berlaku dan bagaimana latar belakang kisahnya, setiap anak harus
menyebut nama ibunya dalam doa, paling tidak mohonlah supaya dosa mereka
diampunkan, sebagaimana terakam dalam surah Ibrahim, ayat 4 yang bermaksud: “Ya
Tuhan kami, ampunkanlah aku dan kedua ibu bapaku dan sekalian orang mukmin pada
hari terjadinya hisab (hari kiamat).”
Kepada yang sedari kecil dikasihi dan dilimpahkan dengan sepenuh kasih sayang,
mohonlah: ‘Wahai Tuhanku, kasihilah mereka keduanya, sebagaimana mereka berdua
telah mendidik aku waktu kecil.” (Surah Al-Israa, ayat 24)
Sesungguhnya doa ini membuktikan kita adalah makhluk yang hina dan lemah serta
sentiasa mengharapkan pertolongan Allah SWT. Walaupun di dunia ini kita
memiliki ibu yang sangat penyayang, mereka akan pergi juga meninggalkan kita
apabila sampai waktunya. Kala itu, carilah pengganti di seluruh pelusuk dunia
ini, mustahil kita akan temui orang yang sama.
Sebab itulah sebagai seorang hamba yang tidak mempunyai apa-apa, kita harus
bermohon supaya diperkenankan permintaan kita untuk ibu. Pada masa sama, kita
hendaklah taat dan patuh perintah Allah SWT kerana kita menginginkan sesuatu
yang hanya ada padaNya.
Allah SWT berfirman yang bermaksud: “Dan apabila hamba-Ku bertanya kepadamu
mengenai Aku maka beritahu kepada mereka: Sesungguhnya Aku (Allah) sentiasa
hampir kepada mereka: Aku perkenankan permohonan orang yang berdoa apabila dia
berdoa kepada-Ku. Maka hendaklah mereka menyahut seruan-Ku dengan mematuhi
perintah-Ku dan hendaklah mereka beriman kepada-Ku supaya mereka menjadi baik
serta betul.” (Surah Al-Baqarah, ayat 186)
Sebaik-baik doa untuk ibu adalah yang ditadahkan seorang anak yang dicintai
Allah SWT, memelihara makan minum dan pakaiannya daripada sumber yang haram,
tidak mengabaikan tanggungjawab menyeru amar makruf nahi mungkar sesama
manusia, sentiasa bertaubat, positif dan bersangka baik serta bersungguh-sungguh
dengan apa yang dipohon.
Walau apapun kebaikan yang kita lakukan kepada ibu, ia tidak lengkap tanpa doa
supaya mereka dilindungi daripada seksa neraka di akhirat kelak, kerana doa
anak yang baik tidak akan terputus walau jasad ibu terpisah dari rohnya.
Justeru, berdoalah untuk ibu, supaya mereka gembira menghabiskan usia masih
bersisa, dilindungi Dia walau di mana berada dan sentiasa akur kepada perintah
dan larangan-Nya, kerana tiada siapa yang diharapkannya untuk memohon melainkan
cinta hatinya yang dilahirkan ke dunia.
Penulis
ialah Pensyarah Kanan Fakulti Syariah dan Undang-Undang, Universiti Sains Islam
Malaysia
No comments:
Post a Comment