بِسۡمِ ٱللهِ ٱلرَّحۡمَـٰنِ ٱلرَّحِيمِ
Dengan nama Allah, Yang Maha Pemurah, lagi Maha Mengasihani. Artikel-artikel yang disiarkan di sini adalah sebagai rujukan dan simpanan peribadi pemilik blog ini. Kebanyakannya diambil daripada sumber-sumber yang dinyatakan. Segala pendapat dalam penulisan ini adalah pendapat penulis artikel yang sebenar. Jika ada kekeliruan tuanpunya blog ini menyarankan supaya bertanya kepada penulis asal. Semoga memberikan manfaat kepada pembaca.

Sunday, May 27, 2012

Hamka yang sederhana


TOKOH ini adalah seorang ulama, pujangga dan pendakwah terkenal serta berpengaruh di Asia Tenggara yang lahir dengan nama Haji Abdul Malik Karim Amrullah. Bagaimanapun, beliau lebih dikenali dengan nama Hamka.

Ketika berusia 16 tahun, Hamka merantau ke Jawa. Di sana beliau menimba ilmu daripada HOS Tjokroaminoto, Ki Bagus Hadikusumo, RM Soerjopranoto, KH Fakhruddin dan A.R. Sutan Mansur.

Beliau aktif dalam organisasi Muhammadiyah. Pada 1936 Hamka berpindah ke Medan. Di sana beliau memulakan karier keulamaannya dan menulis banyak novel. Hamka dikenali kerana berpengetahuan luas.

Selain itu, beliau juga terkenal sebagai ulama yang berandangan sederhana. Pada tahun 1975, semasa Majlis Ulama Indonesia (MUI) ditubuhkan, Hamka terpilih sebagai presiden.

Ulama besar dan pujangga ini meninggal dunia pada hari Jumaat, 24 Julai 1981.

Mahir dengan sendiri
Hamka tidak pernah mendapat pendidikan rasmi. Beliau belajar agama di sekolah agama Padang Panjang dan Parabek (dekat Bukit Tinggi) serta daripada keluarganya.

Beliau sangat berbakat dalam bidang bahasa. Hamka mampu membaca sastera Arab, termasuk terjemahan daripada tulisan Barat.

Dunia antarabangsa mengakui kemahirannya dalam bidang keislaman yang diperoleh dengan cara belajar sendiri.

Beliau memperoleh gelaran Doktor Kehormat dari Universiti al-Azhar, Mesir dan Universiti Kebangsaan Malaysia. Salah satu karya agung Hamka ialah Tafsir al-Azhar (30 juz).

Beliau menyiapkan tafsir al-Quran itu ketika dipenjarakan selama beberapa tahun kerana dianggap menentang rejim pemerintahan Orde Lama.

Ulama sederhana
Pandangan sederhana Hamka membuatkan beliau diterima oleh semua pihak. Di kalangan orang ramai, Hamka dikenali dengan pidatonya yang menyejukan hati dan mampu menaikkan semangat. Sebagai tokoh pembaharuan, beliau menentang penguasaan adat terhadap ajaran agama, terutama di Minangkabau, seperti pola hubungan kekeluargaan yang bersifat matriarki (berdasarkan kuasa ibu).

Ulama pujangga
Hamka juga dikenal sebagai pengarang novel. Beliau pernah diberi nama julukan "Kiai Novel" kerana kegiatannya yang dianggap menyalahi tradisi keulamaan itu. Puluhan tahun kemudian barulah julukan itu berubah menjadi "Ulama Pujangga".

Karyanya yang berbentuk novel antaranya ialah Di Bawah Lindungan Kaabah, Mandi Cahaya di Tanah Suci, Di Lembah Nil, Merantau ke Deli, Tenggelamnya Kapal Van Ver Wijck dan Di Dalam Lembah Kehidupan.

Beliau juga meninggalkan lebih daripada 100 karya dalam pelbagai bidang kajian seperti politik, sejarah, budaya dan ilmu keislaman.

Muhammadiyah
Perkenalannya dengan tokoh-tokoh Muhammadiyah membuatkan Hamka aktif dalam organisasi itu. Beliau beberapa kali memangku jawatan sebagai pemimpin Muhammadiyah , antaranya Majlis Konsul Muhammadiyah di Sumatera Tengah (1934), pemimpin Muhammadiyah Sumatera Timur (1942) dan anggota pemimpin pusat Muhammadiyah (1953). Sejak 1971 beliau dilantik sebagai penasihat pemimpin pusat Muhammadiyah sehingga akhir hayat. Nama Hamka diabadikan sebagai nama pusat pengajian tinggi kepunyaan Muhammadiyah di Jakarta, iaitu Universiti Hamka.

No comments:

Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...