بِسۡمِ ٱللهِ ٱلرَّحۡمَـٰنِ ٱلرَّحِيمِ
Dengan nama Allah, Yang Maha Pemurah, lagi Maha Mengasihani. Artikel-artikel yang disiarkan di sini adalah sebagai rujukan dan simpanan peribadi pemilik blog ini. Kebanyakannya diambil daripada sumber-sumber yang dinyatakan. Segala pendapat dalam penulisan ini adalah pendapat penulis artikel yang sebenar. Jika ada kekeliruan tuanpunya blog ini menyarankan supaya bertanya kepada penulis asal. Semoga memberikan manfaat kepada pembaca.

Monday, July 23, 2012

Akidah tergadai angkara tukang tilik


06:42:12 AM Zulkifli Hussin

Umat dituntut jauhi sebarang bentuk ramalan 

Manusia adalah makhluk ciptaan Allah SWT yang terdiri daripada dua unsur iaitu unsur jasmani dan rohani. Kedua-dua unsur ini melayakkan seseorang itu disebut sebagai manusia tetapi belum layak dipanggil sebagai mukmin (orang yang beriman), apatah lagi muttaqin (orang yang bertaqwa). 
Jika jasad memerlukan makanan dan minuman, maka begitu juga rohani. Jika jasmani yang tidak mendapat makanan secukupnya akan mengalami gangguan pada tubuh badan, maka begitu jugalah halnya dengan rohani. 

Atas dasar itu, salah satu daripada keperluan rohani adalah memahami aqidah secara tepat, benar dan jitu. Rukun Islam pertama yang menjadi teras aqidah seorang Islam wajar difahami dan dihayati secara benar dan tepat. 

Oleh itu, seseorang tidak dianggap beriman kepada Allah SWT jika mereka belum mampu membebaskan diri daripada perkara yang boleh merosakkan aqidah seperti meyakini ramalan bomoh, mendatangi dan mempercayai tukang ramal, tukang sihir atau tukang tilik. 

Bahkan, pada masa kini, remaja Islam khususnya memberikan maklum balas cukup positif terhadap tukang tilik zaman moden seperti mempercayai ramalan horoskop serta meyakini bahawa potensi diri seseorang bergantung sepenuhnya kepada kedudukan tahi lalat, bentuk kening dan hari kelahiran. 
Nabi SAW mengancam perlakuan demikian seperti tercatat dalam hadis riwayat Imam Muslim yang bermaksud: “Sesiapa yang datang kepada tukang tenung/tilik lalu bertanya sesuatu daripadanya, maka solatnya tidak akan diterima selama 40 hari.” (Riwayat Muslim) 

Dalam hadis yang lain, Nabi SAW bersabda: “Sesiapa yang mendatangi tukang ramal (kahin) dan membenarkan apa yang dikatakan olehnya, maka sesungguhnya dia telah kufur dengan apa yang di turunkan (oleh Allah) kepada Muhammad SAW.” (Riwayat Ibn Majah) 

Kedua-dua hadis melarang pembabitan secara langsung ataupun tidak dengan sebarang bentuk ramalan. Pembabitan seseorang tidak diukur sama ada dia mempercayai atau tidak sebaliknya, pergi berjumpa tukang ramal pun sudah dianggap berdosa. 

Bayangkan, hanya kerana ramalan seseorang menggadaikan akidahnya. Jika tilikan atau ramalan itu benar sekalipun, maka ia tetap merosakkan akidah kerana penyerahan diri bukan lagi kepada Allah SWT, sebaliknya diserahkan 100 peratus kepada tilikan itu. 

Oleh itu, jauhilah hal yang boleh merosakkan akidah kerana orang terbabit ramalan disamakan Nabi SAW seperti pengamal sihir. 

Nabi SAW bersabda: “Sesiapa yang mengambil sebahagian daripada ilmu bintang (nujum), maka sesungguhnya dia telah mengambil sebahagian daripada sihir. Setiap kali bertambah ilmu bintangnya maka bertambah pula ilmu sihirnya.” (Riwayat Abu Daud dan Ibn Majah) 

Jika perkara ghaib boleh diketahui manusia, nescaya Bagindalah insan yang paling layak untuk mengetahuinya tetapi Baginda SAW tidak mengetahuinya melainkan apa yang ditakdirkan Allah SWT. 

Firman Allah SWT: “Katakanlah: Aku tidak berkuasa menarik kemanfaatan bagi diriku dan tidak (pula) menolak kemudaratan kecuali yang dikehendaki Allah. Dan sekiranya aku mengetahui yang ghaib, tentulah aku membuat kebajikan sebanyak-banyaknya dan aku tidak akan ditimpa kemudaratan. Aku tidak lain hanyalah pemberi peringatan dan pembawa berita gembira bagi orang yang beriman.” (Surah al-A’raf, ayat 188) 

Justeru, luruskanlah akidah dan kembalilah kepada asas akidah yang benar kerana ia adalah teras utama dalam membentuk muslim sejati. 

Penulis ialah Pensyarah Kolej Islam Darul Ridzuan (KISDAR)


Jaga adab Ramadan tingkat takwa


06:39:38 AM

LATIHAN dan pendidikan yang ada pada Ramadan tidak akan menghasilkan takwa melainkan jika adabnya dijaga dan dipelihara. Antara adab itu ialah: 



Bersahur pada waktu dinihari dan melewatkan pengambilannya. Nabi SAW bersabda: “Makanlah sahur kerana sesungguhnya pada sahur itu ada berkat.” (Hadis riwayat Bukhari) Zaid bin Thabit pula menceritakan, “Kami pernah bersahur bersama Nabi kemudian kami bangun untuk melakukan solat (Subuh). Kemudian Zaid bin Thabit disoal: Berapa lama masa antara keduanya (iaitu di antara makan sahur dan solat Subuh)? Berkata Zaid: Sekadar membaca 50 ayat al-Quran.” (Hadis riwayat Bukhari) 


Bersikap dermawan. 

Abdullah Ibn Abbas meriwayatkan: “Rasulullah orang paling dermawan dan beliau lebih dermawan lagi di bulan Ramadan.” (Hadis riwayat Bukhari) 

Bertadarus al-Quran secara konsisten. 

Abdullah Abbas melaporkan: “Jibril menemui Nabi Muhammad SAW pada setiap malam Ramadan untuk bertadarus al-Quran dan Rasulullah lebih cepat mengerjakan kebaikan, lebih cepat daripada angin yang berhembus.” (Hadis riwayat Bukhari) 

Melaksanakan solat Tarawih. 

Nabi Muhammad SAW berkata: “Sesiapa yang menghidupkan malam Ramadan kerana beriman dan mengharapkan pahala daripada Allah SWT, maka diampuni dosanya yang lalu.” (Hadis riwayat Bukhari dan Muslim) 

Abu Salamah bin Abdur Rahman meriwayatkannya, sesungguhnya dia bertanya kepada Aisyah: “Bagaimana solat malam Rasulullah pada Ramadan? Aisyah menjawab: Rasulullah tidak pernah melakukan solat malam lebih daripada sebelas rakaat, baik pada bulan Ramadan atau pada bulan yang lain.” (Hadis riwayat Bukhari dan Muslim) 


Beriktikaf terutama pada 10 terakhir Ramadan. 

Aisyah berkata: “Rasulullah mengamalkan iktikaf pada sepuluh hari terakhir pada bulan Ramadan sehinggalah Baginda wafat.” (Hadis riwayat Bukhari dan Muslim) 


Mengawal nafsu, mengelokkan perangai serta memelihara lidah. 

Nabi Muhammad SAW bersabda bermaksud: “Sesiapa yang tidak meninggalkan perkataan dan amalan keji, Allah SWT tidak berhajat menerima amalannya meninggalkan makan dan minum.” (Hadis riwayat Bukhari) 


Saturday, July 21, 2012

Mari Hayati Falsafah Ramadhan



Sumber Gambar


بِسۡمِ ٱللهِ ٱلرَّحۡمَـٰنِ ٱلرَّحِيمِ


Assalamu'alaikum,
Hari ini kita mula berpuasa.

Ramadan adalah medan tarbiah bagi mempertingkatkan amal ibadah selain memberi keseimbangan aktiviti seharian umat Islam yang kurang baik sebelum ini.

Peranan puasa boleh disamakan dengan fungsi enjin yang menjadi bahagian terpenting kepada kereta. Jika ia tidak diperiksa atau diselenggara secara berkala bagaimana ia mampu berfungsi dengan baik dan tahan lama.


Begitu juga peranan puasa, sekiranya seorang itu tidak pernah berpuasa sudah tentu mereka akan mengalami masalah kesihatan tidak kiralah sama ada kesihatan fizikal atau rohani.



Namun, ramai mendakwa mereka berpuasa, tetapi masih melakukan perkara maksiat.


Apa puncanya? Mereka berpuasa sekadar menjalankan rutin apabila tiba bulan Ramadan saja. 


Orang lain berpuasa, mereka pun ikut berpuasa tanpa memahami fadilatnya. Golongan itu amat rugi, walaupun berpuasa, tetapi hakikatnya mereka hanya mendapat lapar dan dahaga saja.



Rasulullah bersabda yang bermaksud: “Berapa ramai orang yang berpuasa, mereka tidak mendapat apa-apa daripada puasa mereka kecuali lapar dan dahaga.”



Orang yang berpuasa rohnya sentiasa berada dalam keadaan bersih kerana hatinya dekat dengan Allah. 



Orang yang berpuasa sentiasa berhati-hati ketika berbicara kerana bimbang boleh mengurangkan pahala puasa. 


Orang yang berpuasa tidak akan mengumpat, mencerca, menceritakan keaiban orang lain, memaki serta mengeluarkan kata-kata kesat. 


Mereka akan menjaga makan minum. Mereka tidak akan makan secara berlebihan  kerana amalan ini bertentangan dengan matlamat Ramadan. 


Mereka menjaga hubungan yang baik  terutama terhadap isteri, anak, jiran tetangga, rakan dan seluruh manusia yang mempunyai hubungan dengan mereka.


Umat Islam perlu sentiasa merujuk, memahami dan menghayati falsafah puasa Ramadan. 



Falsafah puasa itu termaktub dalam firman Allah SWT yang bermaksud, 
“Wahai orang-orang yang beriman! Kamu diwajibkan berpuasa sebagaimana diwajibkan atas orang-orang yang dahulu daripada kamu, supaya kamu bertakwa” (Surah al-Baqarah ayat 183).

Falsafah utama puasa Ramadan ialah penjanaan takwa. Ulama memberikan makna takwa kepada beberapa pengertian. Antaranya ialah meletakkan penghalang atau penghadang di antara diri dengan perkara yang diharamkan Allah iaitu melaksanakan perintah-Nya dan menghindari larangan-Nya yakni melaksanakan amalan taat dan meninggalkan amalan maksiat.



 Saidina Umar al-Khattab pernah bertanya Ubai bin Ka’ab, “Apakah takwa itu?” Ubai menjawab, “Wahai Amir al-Mukminin, tidakkah engkau pernah memasuki jalan yang penuh berduri?” Kemudian Saidina ‘Umar menjawab, “Ya”. Ubai berkata, “Apakah yang engkau lakukan?” Saidina ‘Umar menjawab, “Aku menyinsingkan seluarku dan memerhatikan kakiku. Aku meletak satu langkah demi satu langkah dengan cermat kerana takut terkena duri”. Ubai berkata, “Itulah takwa”. Maksud takwa di sini ialah berhati-hati supaya tidak melakukan perkara yang ditegah dan diharamkan Allah.



Tidak memadai bagi mereka yang berpuasa sekadar tidak makan dan minum pada siang hari serta menjaga perkara yang membatalkan puasa. 



Walaupun puasanya sah di sisi syara', namun puasanya tidak menepati  falsafah puasa Ramadan kerana seorang Muslim bukan saja dikehendaki mematuhi syarat dan menjauhi perkara membatalkan puasa, malah perlu menghindari perkara yang diharamkan seperti meninggalkan solat, mendedahkan aurat, melemparkan kata-kata kesat, melihat dan mendengar perkara maksiat.



Tentang solat terawih pula, amat mendukacitakan setiap kali Ramadan kemeriahan menunaikan solat Tarawih hanya berlaku buat seketika saja. Pada peringkat awal masjid dan surau penuh dengan jemaah. Selepas menunaikan solat sunat Tarawih mereka sama-sama bertadarus al-Quran. 



Namun, di pertengahan Ramadan, jemaah semakin berkurangan. Ia bertentangan dengan amalan Rasulullah s.a.w yang berusaha mempertingkatkan amal ibadah lebih-lebih lagi menjelang malam terakhir Ramadan. 

Keadaan ini terjadi kerana kurangnya kesedaran atau penghayatan untuk merebut  keistimewaan dan kelebihan Ramadan. 

Dalam hadis, Rasulullah bersabda yang bermaksud, “Sesiapa yang melakukan solat malam pada Ramadan kerana keimanan (kepada Allah) dan mengharapkan keredaan dan keampunan Allah semata-mata, maka diampunkan segala dosanya yang lalu.” (Riwayat Bukhari dan Muslim). 

Apabila kurangnya penghayatan, amalan yang mereka lakukan dalam bulan Ramadan bagaikan tiada roh, malah mereka tidak sedikit pun merasai kelazatannya,” katanya.

Diriwayatkan daripada Saidatina Aisyah bahawa Rasulullah s.a.w apabila masuk sepuluh hari terakhir bulan Ramadan, maka Baginda akan menghidupkan malam-malamnya, mengejutkan ahli keluarganya dan menunaikan solat sunat.  (Riwayat al-Bukhari dan Muslim).


Setiap orang yang berpuasa hendaklah berusaha agar  puasanya bukan berada pada tahap paling rendah, iaitu puasa orang awam (sekadar meninggalkan makan, minum dan perkara yang membatalkan puasa). Sekurang-kurangnya berusahalah untuk dapat mencapai tahap kedua, iaitu puasa orang khas (berusaha menjaga akhlak dan melakukan perkara sunat bagi menambahkan lagi kualiti puasanya). 



Jika berjaya mencapai tahap kedua, berusaha pula tingkatkan hingga sampai tahap tertinggi, iaitu puasa paling khas (khawasil khawas). 



Untuk mencapai tahap ini, mereka bukan saja dituntut menjaga segala perkara yang membatalkan puasa, tetapi perkara yang boleh membatalkan pahala puasa. Anggota badan turut berpuasa dan hati pula sentiasa berzikir kepada Allah. Inilah tingkatan puasa yang sepatutnya cuba dicapai setiap Muslim. Sentiasa menjaga lidah dan mulut kerana orang berpuasa perlu mengelak daripada bercakap perkara yang sia-sia dan keji,



Rasulullah bersabda yang bermaksud, “Puasa itu adalah perisai. Maka janganlah orang yang berpuasa itu bercakap perkara yang keji dan janganlah dia melakukan perbuatan orang jahil.” (Riwayat al-Bukhari).



Kikislah amalan boros terutamanya ketika menyediakan makanan dan minuman berbuka puasa. 



Meskipun berbelanja itu hak seseorang, namun Islam memandang sifat boros sehingga berlaku pembaziran itu sebagai melampau.



Terdapat dua panduan untuk mengingatkan umat Islam supaya sentiasa bersederhana, sama ada ketika berbelanja iaitu berusaha mengehad kemahuan diri dengan cara menghapuskan nafsu jahat seperti ammarah, lawwamah atau mulhamah dan menggantikannya dengan nafsu baik.



Hal ini boleh dilakukan dengan membersihkan hati yang akhirnya membawa kepada sikap berjimat cermat. Justeru, mereka tidak lagi berbelanja secara berlebihan.



Amat mendukacitakan, pembaziran itu dilakukan ketika terdapat lagi segelintir masyarakat yang amat memerlukan bantuan.



Manusia sering didominasi hawa nafsunya. Mereka menuruti apa saja yang menjadi keinginannya meskipun keinginan itu sesuatu yang batil serta merugikan orang lain. Sebab itu, dalam Islam ada perintah memerangi hawa nafsu.



Sekiranya manusia kalah dalam ‘peperangan’ memerangi hawa nafsunya ia akan mengalih pengabdiannya kepada Allah dan cenderung mengarahnya ke arah kesesatan.



Allah memerintahkan kita memperhatikan masalah itu dalam firman-Nya yang bermaksud, 


“Maka pernahkah kamu melihat orang yang menjadikan hawa nafsunya sebagai Tuhannya dan Allah membiarkannya sesat berdasarkan ilmu-Nya.” (Surah al-Jathiyah ayat 23).


Berpuasa menjadikan seorang insan itu dididik memiliki keinginan kepada kebaikan, meskipun ia terhalang dengan pelbagai kesukaran.



Puasa juga menguatkan rohani Muslim yang membuatkannya mereka tidak lupa diri meskipun mencapai kejayaan duniawi. 



Semoga Ramadan kali ini kita istiqamah melakukan tadarus al-Quran, beriktikaf, memperbanyakkan solat sunat, bersedekah, berzikir, sentiasa menjaga pancaindera daripada melakukan maksiat. 



Cara itu pastinya akan mengekalkan momentum perubahan diri yang diperoleh hasil tarbiah Ramadan.


Selamat berpuasa.. orang yang berpuasa ada dua kegembiraan.. satu ketika berbuka dan satu lagi ketika bertemu Allah.
Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...