بِسۡمِ ٱللهِ ٱلرَّحۡمَـٰنِ ٱلرَّحِيمِ
Dengan nama Allah, Yang Maha Pemurah, lagi Maha Mengasihani. Artikel-artikel yang disiarkan di sini adalah sebagai rujukan dan simpanan peribadi pemilik blog ini. Kebanyakannya diambil daripada sumber-sumber yang dinyatakan. Segala pendapat dalam penulisan ini adalah pendapat penulis artikel yang sebenar. Jika ada kekeliruan tuanpunya blog ini menyarankan supaya bertanya kepada penulis asal. Semoga memberikan manfaat kepada pembaca.

Thursday, March 29, 2012

Urus masa dalam Islam



Oleh WAN JEMIZAN W. DERAMAN dan AHMAD TERMIZI MOHAMED DIN


PEPATAH Arab menyebut, 'Masa adalah ibarat pedang, jika kita tidak memotongnya , maka ia akan memotong kita.' Ini menggambarkan kepada kita bahawa masa itu sesuatu yang sangat penting dan amat berharga. Sehinggakan dalam kehidupan kita ada ungkapan masa itu ibarat emas.


Masa sebenarnya adalah nyawa kerana apabila kita diberikan peluang untuk terus bernafas, kita sebenarnya mempunyai masa untuk memperbanyakkan sumbangan dalam kehidupan, memperbaiki kesilapan dan sebagainya.


Di dalam al-Quran, apabila Allah bersumpah dengan sesuatu, maka ia antara lain untuk menggambarkan perkara tersebut sangat penting dan perlu diberi perhatian.


Masa adalah antara banyak perkara yang Allah bersumpah dengannya. Ini membuktikan bahawa masa adalah perkara yang sangat penting. (rujuk al-'Ashr: 1-3)


Malah bukan itu sahaja, sekiranya kita membuka lembaran al-Quran, kita akan dapati di sana terdapat banyak ayat yang menunjukkan Allah SWT bersumpah dengan masa. Antaranya rujuk surah al-Lail: 1-2, adh-Dhuha: 1-2, al-Fajr: 1-2 dan asy-Syams: 1-2.


Namun, apa yang menyedihkan, walaupun telah diperingatkan dengan kepentingan menguruskan masa, berapa ramai di kalangan kita yang lalai dan leka dalam menjaga masanya.


Masa berlalu dengan sia-sia tanpa dimanfaatkan dengan sebaik mungkin. Akhirnya, apabila sudah terlewat, barulah mereka menyesal sehingga meminta untuk diundurkan masa, ibarat kata pepatah 'Sudah terhantuk baru hendak terngadah.'


Sayangnya, semua itu adalah mustahil. Ibarat kata pepatah 'nasi sudah menjadi bubur.' Penyesalan dan rintihan mereka yang mengabaikan masa di dunia telah dimuatkan oleh Allah SWT dalam al-Quran sebagai pengiktibaran kepada kita semua supaya benar-benar menghargai masa yang ada. (rujuk al-Munafiqun: 10)
Nabi SAW juga banyak mengingatkan kita supaya sentiasa menjaga masa. Orang yang tidak mementingkan masa dan tidak menguruskannya dengan baik, pasti akan rugi di dunia dan di Akhirat.


Rasulullah SAW bersabda: Dua jenis nikmat yang kebanyakan manusia menerima kerugian yang besar iaitu kesihatan dan kelapangan. (riwayat al-Bukhari)


Peringatan yang diberikan oleh Allah SWT dan Rasulullah SAW ini sebenarnya memberikan penekanan tentang bagaimana kita dapat menguruskan masa dengan lebih efisien dan berdisiplin.


Biasanya, kita akan dapat melihat orang yang paling baik dalam menguruskan masa ialah orang yang paling sibuk. Ini dibuktikan melalui pemerhatian kita kepada kehidupan Rasulullah SAW yang terlalu sibuk menguruskan agenda dakwah serta perjuangannya, menjadi pemimpin di negara Islam Madinah, menjadi ketua turus angkatan tentera, menjadi suami kepada isteri-isteri, menjadi ayah kepada anak-anak, menjadi teman kepada sahabat-sahabat dan sebagainya.


Akan tetapi, Baginda dapat menguruskan masa dengan cemerlang untuk melaksanakan urusan dan amanahnya sehingga semua manusia berpuas hati.



Setiap orang ditunaikan haknya dan tiada yang diabaikan oleh Rasulullah SAW. Lalu, persoalan yang perlu ditanya, adakah kita lebih sibuk daripada Rasulullah SAW sehingga kita mengabaikan sebahagian tanggungjawab kita?


Penulis ingin berkongsi di sini bagaimana menguruskan masa secara efisien dan efektif.
Mudah-mudahan dengan beberapa tip ini akan memberikan garis panduan kepada pembaca untuk menjadikan masa yang digunakan lebih berkualiti.


Semoga kita menjadi orang yang lebih berdisiplin dalam menggunakan masa kerana seperti yang diwasiatkan oleh Al Syahid Hassan Albanna bahawa, "Kewajipan kita adalah lebih banyak daripada waktu yang kita ada. Oleh itu, bantulah saudaramu tentang cara-cara bagaimana hendak menggunakan masa dengan berfaedah dan jika saudara mempunyai tugas sendiri, maka ringkaskanlah pelaksanaannya."


Tuesday, March 27, 2012

Muadzin ar-Rasul


BILAL bin Rabah atau nama lengkapnya Bilal bin Rabah Al-Habasyi dikenali dengan dengan gelaran Muadzin Ar-Rasul.

Beliau memiliki tubuh yang tinggi, kurus, kulitnya berwarna coklat, pelipisnya tipis dan rambutnya lebat. Ibunya pula adalah hamba kepada Ummayyah bin Khalaf daripada Bani Jumuh.

Apabila mendengar Islam daripada risalah yang dibawa Rasulullah SAW, lalu beliau menemui baginda dan mengikrarkan dirinya memeluk agama Islam.

Ketika itu hanya terdapat beberapa orang sahaja yang memeluk Islam di atas permukaan bumi ini iaitu Khadijah binti Khuwailid, Abu Bakar As-Siddiq, Ali bin Abi Talib, Ammar bin Yasir serta ibunya Sumaiyyah, Suhaib Ar-Rumi dan Al-Miqdad bin Al-Aswad.

Beliau pernah diseksa oleh Umayyah malah membiarkannya di tengah padang pasir selama beberapa hari. Sebahagian besar daripada kalangan mereka yang memeluk Islam pada masa tersebut mempunyai keluarga tempat mereka berlindung daripada kekejaman golongan musyrikin kecuali beliau, Ammar bin Yasir bersama-sama dengan bapa dan ibunya serta Suhaib. Oleh kerana itu mereka menjadi sasaran golongan musyrikin Quraisy melepaskan geram terhadap Islam.

Dengan kepanasan matahari di padang pasir, beliau diseksa sambil perutnya diikat dengan seketul batu besar. Manakala lehernya pula diikat dengan tali. Beliau diseret oleh orang-orang kafir bersama anak-anak mereka di antara bukit-bukit di Mekah.

Ketika diseret, Bilal dengan tenang mengucapkan kata "Ahad… Ahad" malah beliau menolak mengucapkan kata-kata kufur.

Tidak cukup dengan penyeksaan itu, golongan musyrikin menanggalkan pula pakaian Bilal, mereka memakaikannya dengan baju besi kemudian mereka menjemur beliau di bawah panas terik cahaya matahari. Malah mereka memukulnya dengan menggunakan cemeti sambil memerintahkan Bilal supaya mencaci Nabi Muhammad SAW.

Selepas kejadian itu, Abu Bakar memerdekakan Bilal dengan membelinya daripada Umayyah bin Khalaf dengan harga sembilan tahil emas. Umayyah bin Khalaf sengaja menjualnya dengan harga mahal supaya Abu Bakar tidak mahu membelinya.

Umayyah berkata: "Sekiranya Abu Bakar tidak mahu membelinya dengan harga tersebut, aku tetap akan menjualnya walaupun dengan harga satu tahil emas."

Sebaliknya Abu Bakar juga berkata di dalam hatinya: "Sekiranya dia tidak mahu menjual dengan harga tersebut, aku tetap akan membelinya walaupun dengan harga 100 tahil emas."

Setelah Hijrah, azan disyariatkan dan Bilal mengumandangkan azan. Beliau adalah muadzin pertama dalam Islam kerana memiliki suara yang sungguh lunak. Beliau juga pernah menjawat jawatan sebagai bendahara Rasulullah SAW di Bait Al-Mal. Malah beliau tidak pernah menolak daripada mengikuti semua peperangan bersama Rasulullah SAW.

Ketika perang Badar, beliau melihat Umayyah bin Khalaf dan Bilal berkata; "Aku tidak akan selamat jika Umayyah selamat."

Dengan pertolongan beberapa pasukan kaum Muslimin mereka berjaya membunuh Umayyah.

Sabar separuh daripada iman

Jangan sesekali mengeluh menghadapi ujian kerana ada yang lebih mampu bersabar dan senyum dengan dugaan yang lebih berat dan sangat getir untuk ditanggung. - Gambar hiasan



Oleh AMINUDIN MANSOR

SIFAT sabar sangat penting dididik dalam hati dan diri seseorang terutama apabila menghadapi ujian dan musibah. Dalam kehidupan, Allah akan sentiasa menguji kita, kerana ujian itu adalah untuk menilai sejauh mana kesabaran dan keimanan kita kepada-Nya.

Ramai manusia yang kecundang dengan ujian Allah kerana tiada sifat sabar. Begitu juga kerana tidak dapat mengawal diri daripada segala ujian dan pahit getir hidup dengan bersabar.

Ujian Allah dalam juga bentuk tidak mengira pangkat dan kedudukan. Apatah lagi bagi mereka yang beriman dan kuat beribadat.

Puasa di bulan Ramadan juga sedikit sebanyak mendidik sifat sabar dalam hati dan diri seseorang. Sabar daripada lapar dan dahaga sebagaimana yang dirasai golongan yang kurang bernasib baik. Begitu juga bersabar melakukan ibadat sunat sepanjang bulan mulia tersebut.

Dalam al-Quran terdapat 49 ayat yang menjelaskan dan menceritakan sifat kesabaran. Antaranya Allah berfirman: Wahai orang-orang yang beriman! Mohonlah pertolongan (kepada Allah) dengan sabar dan solat. Sungguh, Allah berserta orang-orang yang sabar. (al-Baqarah: 153).

Orang yang beriman mestilah mendidik hati dan dirinya dengan sifat sabar yang dapat mengangkat dirinya ke arah ketakwaan. Melalui sifat sabar dalam amalan-amalan lain, terutamanya solat akan dapat mendekatkan diri seseorang dengan Allah.

Selanjutnya, Allah berfirman lagi: Dan Kami pasti akan menguji kamu dengan sedikit ketakutan, kelaparan, kekurangan harta, jiwa dan buah-buahan. Dan sampaikan khabar gembira kepada orang-orang yang sabar. (al-Baqarah: 155).

Jelaslah, orang-orang yang sabar dengan ujian Allah berkaitan dengan ujian ketakutan, kelaparan, cuaca panas, banjir, kekurangan harta dan jiwa akan mendapat balasan yang setimpal daripada Allah. Balasan tersebut merupakan pahala dan juga hikmah yang lain, yang hanya Allah sahaja yang mengetahuinya.
Berkaitan dengan orang yang sabar Allah berfirman: Jika ada 20 orang yang sabar di antara kamu, nescaya mereka dapat mengalahkan 200 orang musuh. Dan jika ada 100 orang yang sabar di antara kamu, nescaya mereka dapat mengalahkan seribu orang kafir. (al-Anf'al: 66).

Cendekiawan Islam pernah menyatakan, kita jangan terlalu menginginkan semua berlangsung seperti yang kita kehendaki, tetapi sabarlah dengan kejadian yang berlangsung sebagai apa yang sudah berlangsung sehingga kita tetap tenang dan tenteram. Kita semua tidak berjaya mendapatkan apa yang kita sukai, melainkan kita bersabar pada perkara yang kita tidak senangi.

Bukti kesabaran Rasulullah SAW dalam tempoh 23 tahun baginda mengajak penyembah berhala, kaum Yahudi dan Nasrani kepada tauhid yang murni dengan dakwah yang mantap.

Sifat sabar baginda menghadapi tuduhan, cacian dan tentangan akhirnya terbukti apabila orang musyrik masuk memeluk agama Allah dan menyanjung tinggi syiar Allah.

Berkaitan dengan sifat sabar Nabi SAW bersabda yang bermaksud: "Sabar adalah separuh daripada iman dan keyakinan adalah seluruh keimanan." (riwayat Ath Thabrani dan Al Baihaqi).

Begitulah tingginya tahap sifat sabar dalam diri seseorang. Sementara rasa keyakinan adalah keseluruhan kepada keimanan seseorang. Dalam menjalani kehidupan sifat sabar dan yakin sangat penting bagi mencapai kejayaan sama ada dalam ujian, permasalahan hidup dan juga ketika menghadapi musibah.
Selanjutnya Nabi SAW mengingatkan dalam sabdanya: Sabar yang sebenarnya adalah sabar pada saat bermulanya musibah. (riwayat Al-Bukhari).

Sebagai manusia yang beriman, seharusnya tidak mudah tewas dengan apa juga ujian Allah. Sabar menerima ujian tidak mudah putus asa, tidak resah gelisah dan hilang sabar dengan sedikit kesulitan atau cabaran hidup biarpun ia menjanjikan sesuatu kejayaan dan kebaikan.

Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...