بِسۡمِ ٱللهِ ٱلرَّحۡمَـٰنِ ٱلرَّحِيمِ
Dengan nama Allah, Yang Maha Pemurah, lagi Maha Mengasihani. Artikel-artikel yang disiarkan di sini adalah sebagai rujukan dan simpanan peribadi pemilik blog ini. Kebanyakannya diambil daripada sumber-sumber yang dinyatakan. Segala pendapat dalam penulisan ini adalah pendapat penulis artikel yang sebenar. Jika ada kekeliruan tuanpunya blog ini menyarankan supaya bertanya kepada penulis asal. Semoga memberikan manfaat kepada pembaca.

Friday, August 19, 2011

Khutbah Jumaat : Lailatul qadar titik tingkat takwa, ibadat


2011/08/19


HARI berlalu begitu cepat, tanpa disedari kini kita sudah berada pada hari ke-19 Ramadan. Maka 10 terakhir Ramadan ini adalah masa berharga yang perlu direbut semua insan beriman kepada Allah SWT.


Masa terakhir inilah akan menentukan sama ada puasa kita mendapat keberkatan, menjadi penebus segala kesalahan dan dosa dilakukan selama ini. Masanya Allah SWT janjikan kepada kita semua jika kita benar-benar beriman kepada-Nya.


Ramadan mempunyai satu malam dinamakan lailatul qadar dan pahala beribadat pada malam itu menyamai pahala seribu bulan. Allah SWT menganugerahkan pahala besar itu sempena penurunan al-Quran dari Luh Mahfuz ke Baitul Izzah. Dari Baitul Izzaah al-Quran beransur-ansur diturunkan kepada Rasulullah SAW melalui Jibril.

Berdasarkan hadis yang memetik penerangan Saidatina Aisyah, antara pengkhususan ibadat dilakukan Rasulullah SAW ialah Baginda mandi antara waktu Maghrib dan Isyak, berpakaian indah serta sentiasa berharuman sepanjang 10 malam terakhir

Jelaslah lailatul qadar mempunyai kelebihan besar, maka seharusnya kita tidak mensia-siakan peluang malam dijanjikan itu. Bagi orang beriman mereka berazam mencari peluang disediakan dengan berlumba-lumba bangun di malam hening dan mengharapkan pahala Allah SWT.


Sabda Rasulullah SAW bermaksud: “Carilah lailatul qadar pada malam ganjil pada sepuluh hari terakhir Ramadan.” (Hadis riwayat al-Bukhari).

Berdasarkan hadis yang memetik penerangan Saidatina Aisyah, antara pengkhususan ibadat dilakukan Rasulullah SAW ialah Baginda mandi antara waktu Maghrib dan Isyak, berpakaian indah serta sentiasa berharuman sepanjang 10 malam terakhir. 

Rasulullah SAW juga melakukan iktikaf di masjid. Baginda memasuki masjid sebelum Maghrib, solat berjemaah di samping membaca al-Quran dan memperbanyakkan doa kepada Allah SWT. 

Pada waktu beriktikaf, Rasulullah SAW memutuskan hubungan dengan manusia dan aktiviti lain bagi bermunajat kepada Allah SWT. Rasulullah SAW tidur berasingan dengan isteri pada 10 malam terakhir untuk memberi tumpuan beribadat kepada Allah SWT.

Memasuki fasa ketiga bulan penuh keberkatan ini mimbar menyeru, marilah kita menggunakan peluang berharga ini menambah bekalan akhirat lebih-lebih lagi pada 10 malam terakhir yang banyak kelebihannya. 

Lailatul qadar adalah malam ditunggu-tunggu mereka yang menginginkannya kerana ia hanya berlaku satu malam saja sepanjang tahun. Maka beruntunglah siapa memperolehnya dan rugilah siapa melepaskannya.

Dalam fasa ketiga ini kita dituntut mempertingkatkan amal salih dan kebajikan seperti beriktikaf di masjid, bertadarus al-Quran, memperbanyak zikir, solat sunat dan sedekah selain dituntut memperbanyakkan doa khusus untuk lailatul qadar.

Diriwayatkan daripada Saidatina Aisyah bermaksud: “Saya bertanya kepada Rasulullah SAW bagaimana mengetahui malam Lailatul Qadar dengan tepat. Apa patut saya doakan pada saat itu. Baginda menjawab berdoalah dengan doa berikut: “Ya Allah Ya Tuhanku sesungguhnya Engkau Maha Pengampun dan sentiasa memberi keampunan di atas kesalahan hamba-Mu, oleh itu maafkanlah segala kesalahanku.” (Hadis riwayat Abu Daud).

Namun terdapat sebilangan umat Islam tidak memberi perhatian sebaliknya lalai dengan kesibukan urusan lain seperti membuat persediaan menyambut hari raya. Kebiasaannya pada malam 10 terakhir, masjid lengang dan sepi, jemaah tarawih semakin berkurangan.

Sebaliknya, pasar raya menjadi tumpuan, suri rumah sibuk membuat persiapan raya sehinggakan ada yang berpuasa kerana keletihan. Bahkan peniaga bazar Ramadan ghairah meraih keuntungan pada saat akhir.

Mimbar ingin menyatakan, suasana begini tidak sepatutnya berlaku di saat kita sepatutnya melipatgandakan ibadat, kerana kita belum pasti lagi sama ada berpeluang untuk menikmati Ramadan akan datang. 

Ramadan kita tempuhi tahun ini sepatutnya menjadi titik perubahan dalam diri untuk menjadi insan bertakwa dan diredai Allah SWT di dunia dan akhirat. 

Hayati firman Allah SWT bermaksud: “Dan apabila hamba-Ku bertanya padamu tentang Aku maka (jawablah): sesungguhnya Aku amat hampir; Aku perkenankan permohonan orang yang berdoa apabila ia berdoa kepadaKu. Maka hendaklah mereka menyahut seruan-Ku, dan hendaklah mereka beriman kepada-Ku supaya mereka menjadi baik dan betul.” (Surah al-Baqarah, ayat 186) 

Khutbah Jabatan Kemajuan Islam Malaysia (JAKIM) 

Berita Harian




Di bawah ini disalin daripada blog http://nasbunnuraini.wordpress.com
Cara Mendapatkan Lailatulqadar. 
Apa Yang Perlu Dilakukan Pada Malam Itu? 
Sekiranya Ditemukan Apa Yang Hendak Dimohon? 
Bagimana Jika Tidak Ditemukan?  
Bagaimana Seseorang Boleh Mengetahui Yang Dia Telah Mendapat Lailatul Qadar?
Cara Mendapatkan Lailatulqadar
Daripada Aishah r.a.

”Bahawasanya Nabi s.a.w beriktikaf pada sepuluh hari terakhir di bulan Ramadhan, sehinggalah baginda wafat, kemudian para isteri baginda meneruskan amalan beriktikaf selepas kewafatannya”.

Iktikaf bererti berhenti dan berada di dalam masjid, berhenti dari segala urusan dunia, disertai niat untuk berhenti di dalam masjid sambil melakukan amalan seperti membaca al-quran, bertasbih dan sembahyang. Kebiasaannya Nabi Muhammad s.a.w. beriktikaf dengan memasuki masjid mulai petang 19 Ramdahan selepas waktu Asar dan tidak keluar sehinggalah selepas Maghrib hari terakhir Ramadhan. Isteri-isteri Baginda Mulia pula beriktikaf di rumah masing-masing iaitu di tempat yang biasanya mereka bersembahyang.

Jika kita tidak dapat beriktikaf di masjid sepanjang 10 akhir Ramadhan, maka berdoalah agar dipertemukan dengan Lailatul Qadar dan bangunlah beribadat di sepertiga akhir malam.

Apa Yang Perlu Dilakukan Pada Malam Itu (Lailatul Qadar)?
Bangunlah beribadah pada sepertiga akhir malam. Bangunlah kira-kira dalam pukul 2-3 pagi. Lakukan apa jua amalan misalnya membaca quran, sembahyang sunat, berzikir atau memikirkan kebesaran Allah kerana sesiapa yang bertemu dengannya dalam keadaan melakukan apa jua ibadat akan mendapat pahala seperti beribadat atau berfikir kebesaran Allah selama 1000 bulan atau 84 tahun.

Al-Qadr [3] Malam Lailatul-Qadar lebih baik daripada seribu bulan.

Boleh juga mengamalkanlah zikir berpahala 2 juta ini semasa berjaga malam mencari Malam Qadar (Lailatul Qadar). 

Dari Abdullah bin Abi Aufa r.a., Rasulullah saw. bersabda, Sesiapa membaca Laa ilaaha illallah wahdahu laa syariikalah ahadan somadan lam yalid walam yuulad walam yakun lahu kufuwan ahad, maka Allah akan menulis baginya dua juta kebaikan (Riwayat Thabrani).

Sekiranya Ditemukan Apa Yang Perlu Dimohon?
Telah diriwayatkan dari ‘Aisyah radhiyallahu ‘anha bahawa dia bertanya, 

“Ya Rasulullah, apa pendapatmu jika aku mendapat Lailatul Qadar (mengetahui terjadinya), apa yang mesti aku ucapkan?” 

Beliau menjawab,

“Ucapkanlah, Allahumma innaka ‘afuwwun karim, tuhibbull ‘afwa , fa’fu ‘anni (Ya Allah Engkau Maha Pengampun dan Mencintai orang yang meminta ampunan, maka ampunilah aku.)
(Hadis Riwayat at-Tirmidzi (3760), Ibnu Majah (3850) dari ‘Aisyah radhiyallahu ‘anha. Sanadnya sahih)

Bagaimana Jika Tidak Ditemukan (Lailatul Qadar)
Apa yang penting ialah menghidupkan malam, kerana walaupun tidak berjumpa dengannya orang yang menghidupkan malam itu tetap akan diberi tawaran pengampunan dosa oleh Allah s.w.t.

“Sesiapa yang menghidupkan malam Lailatul Qadar dengan penuh keimanan dan mengharapkan pahala, maka diampunkan baginya dosa yang telah lepas dan sesiapa yang berpuasa di bulan Ramadhan dengan penuh keimanan dan mengharapkan pahala, maka diampunkan baginya dosa yang telah lepas.”
(Riwayat Bukhari dan Muslim) 

Bagaimana Seseorang Boleh Mengetahui Yang Dia Telah Mendapat Lailatul Qadar?  
Sebagai perumpamaan : Orang yang menembak akan mengetahui samada tembakannya itu telah mengenai sasaran (misalnya burung yang ditembak).  Walaupun dia tidak melihat burung itu mati, tetapi dia boleh/dapat merasainya.

Selain itu boleh juga dengan melihat pada amalan kita di tahun berikutnya, adakah amalan kita semakin bertambah atau semaking berkurangan, misalnya kita semakin kerap berjemaah di masjid bagi kaum lelaki. Begitu juga dengan kejahatan, apakah kita mampu meninggalkan kejahatan atau dosa yang biasa dilakukan pada tahun sebelumnya.  

Perubahan baik kepada amalan kita adalah tanda seseorang untuk  Mengetahui Yang Dia Telah Mendapat Lailatul Qadar

Thursday, August 18, 2011

Makanan penentu mustajabnya doa

Makanan yang halal menjadi penyebab makbulnya doa kita kepada Allah.

Oleh PROF. MADYA ASMAK ALI

RAMADAN al Mubarak tiba lagi. Di Malaysia sudah menjadi satu budaya apabila tiba Ramadan bermulalah pesta makan. Di sana sini terdapat bazar Ramadan yang menjual pelbagai kuih muih dan juadah.

Peniaga terdiri daripada pelbagai latar belakang termasuk mereka yang tidak pernah berniaga, peniaga gerai makan, pengusaha restoran dan lain-lain. Malah ada juga sebahagian hotel yang turut meriahkan penjualan makanan di bazar Ramadan.

Kini penduduk bandar dan warga kota lebih gemar makan di luar disebabkan kesuntukan masa untuk memasak atau meraikan keluarga, rakan taulan dan sebagainya. Bagi yang bekerja pula majikan selalunya menganjurkan program di hotel-hotel.

Kadang-kadang mereka langsung tidak menyelidik sama ada tempat itu mendapat sijil halal atau tidak.
Setiap umat umat Islam mesti memahami bahawa mencari, memilih dan mendapatkan rezeki yang halal merupakan fardu ain.

Makanan merupakan suatu keperluan asas dan tidak boleh diambil secara sambil lewa kerana ia akan memberi kesan kepada manusia secara fizikal dan spiritual.

Makanan memberi kesan kepada sikap, tabiat, tingkah laku, pemikiran, minda, kesihatan, kecantikan, saiz, perlakuan seks dan sebagainya.

Islam meminta supaya manusia memakan sesuatu yang halal lagi baik (rujuk al-Baqarah ayat 57, al A'raf ayat 160 dan Taha ayat 81).

Sebagai contoh, firman Allah SWT yang bermaksud: 

Wahai manusia makanlah daripada apa yang Kami berikan di muka bumi ini yang halal lagi bermutu dan jangan sekali-kali kamu mengikut jejak langkah syaitan kerana syaitan itu musuh yang nyata (al-Baqarah: 168).

Allah SWT berfirman dalam ayat lain yang bermaksud: 

Hai orang-orang yang beriman, makanlah di antara rezeki yang baik-baik yang Kami berikan kepadamu dan bersyukurlah kepada Allah, jika benar-benar hanya kepada-Nya kamu beriman (al-Baqarah: 172).

Dalam surah al Maidah ayat 88 Allah SWT menegaskan bahawa pengambilan makanan dan minuman yang baik adalah tanda keimanan seseorang.

Terdapat juga beberapa hadis yang menjelaskan kelebihan memakan makanan yang halal antaranya sabda Rasulullah SAW yang bermaksud: "Daging yang tumbuh daripada hasil yang haram maka nerakalah yang layak baginya (riwayat Tabrani)."

Dalam hadis lain, sabda Rasulullah SAW yang bermaksud: "Baguskanlah pemakanan kamu nescaya Allah akan perkenan permintaan kamu (riwayat Tabrani)."

Islam telah memberi panduan mengenai makanan yang halal dan haram. Rasulullah SAW bersabda di dalam suatu hadis yang bermaksud: Perkara halal itu jelas dan perkara haram itu jelas, tetapi di antara dua perkara ini ialah perkara-perkara yang syubhat (ragu-ragu). Oleh sebab itu, sesiapa yang meninggalkan perkara-perkara syubhat, telah membersihkan dirinya pada agama dan kemuliaannya. (riwayat Imam al-Bukhari).

Isu status makanan yang terjual merupakan satu isu yang tidak berkesudahan. Apa yang menjadi persoalan adalah timbul keraguan mengenai status makanan yang terjual di pasaraya, restoran, hotel dan sebagainya.
Tahun lepas masyarakat Malaysia digemparkan dengan isu bufet Ramadan yang disajikan oleh sebahagian hotel yang tidak mendapat sijil halal. Pelbagai faktor penyebab kekeliruan tersebut.

Antara faktor paling utama adalah pengendali makanan itu sendiri. Ramai bukan Muslim terlibat sebagai pengendali makanan di Malaysia.

Bukan semua mereka mendapat pendedahan yang secukupnya untuk menyediakan makanan yang halal dan berkualiti menurut perspektif Islam. Malah terdapat juga umat Islam sendiri yang kurang arif.

Sudah tiba masanya perkara ini ditangani dengan saksama agar segala kekeliruan dapat diselesaikan.

Semua pihak harus memainkan peranan dan tidak hanya membiarkan sesetengah pihak sahaja yang mengendalikannya.

Usaha ini hendaklah dijalankan secara berterusan dan tidak bermusim atau berkala.

Ini amat perlu supaya makanan yang disediakan benar-benarl menepati piawai yang ditentukan oleh syariat Islam dan Malaysia sebagai destinasi hab halal tidak diragui.


Islam meminta supaya manusia memakan sesuatu yang halal lagi baik (rujuk al-Baqarah ayat 57, al A'raf ayat 160 dan Taha ayat 81).

Dan Kami telah menaungi kamu dengan awan (dari panas matahari di padang pasir) dan Kami turunkan kepada kamu "Mann" dan "Salwa", (serta Kami berfirman): "Makanlah dari makanan-makanan yang baik yang Kami telah kurniakan kepada kamu". Dan tidaklah mereka menganiaya Kami (sebab mereka kufurkan nikmat itu), tetapi sebenarnya mereka adalah menganiaya diri sendiri. (Al-Baqarah 2:57)
 Dan makanlah dari rezeki yang telah diberikan Allah kepada kamu, iaitu yang halal lagi baik, dan bertaqwalah kepada Allah yang kepadaNya sahaja kamu beriman. (Al-Maaidah 5:88)
 Dan kami membahagikan mereka (Bani Israil) menjadi dua belas suku, sebagai golongan-golongan besar, dan Kami wahyukan kepada Nabi Musa, ketika kaumnya meminta air kepadanya: "Pukulah batu itu dengan tongkatmu." Maka terpancarlah daripadanya dua belas mata air. Tiap-tiap golongan (di antara mereka) mengetahui tempat masing-masing. Dan Kami naungi mereka dengan awan, dan Kami turunkan kepada mereka "Mann" dan "Salwa". (Lalu Kami berfirman): "Makanlah dari baik-baik yang kami telah kurniakan kepada kamu". Dan tidaklah mereka menganiaya Kami (dengan kekufuran mereka), tetapi mereka adalah menganiaya diri mereka sendiri. (Al-A'raaf 7:160
Serta Kami katakan: Makanlah dari benda-benda yang baik yang Kami kurniakan kepada kamu, dan janganlah kamu melampaui batas padanya, kerana dengan yang demikian kamu akan ditimpa kemurkaanKu; dan sesiapa yang ditimpa kemurkaanKu, maka sesungguhnya binasalah ia. (Taha 20:81)

Yahudi ingkar perintah berpindah

KAUM Yahudi pernah diusir oleh tentera Nazi di bawah pimpinan Adolf HItler (1941) dalam Peristiwa Holocust.
APABILA perintah supaya berpindah keluar dari Madinah disampaikan, seluruh kaum Yahudi Bani Nadhir sangat terkejut, termangu-mangu dan tidak mampu berkata apa-apa.

Mereka sama sekali tidak menyangka Nabi Muhammad SAW benar-benar bertindak tegas tanpa kompromi.
Akhirnya mereka akur kerana mengakui kesalahan yang dilakukan walaupun rancangan untuk membunuh Rasulullah itu gagal.

Lalu seluruh Yahudi Bani Nadhir segera mengemaskan segala barang dan harta benda mereka untuk dibawa keluar dari Madinah.

Ketika sibuk berkemas-kemas itu, tiba-tiba datanglah dua orang lelaki yang mendakwa wakil ketua puak munafik, Abdullah bin Ubay bin Salul, iaitu Yahudi yang pura-pura memeluk Islam dan sering menganggap dirinya ketua kepada seluruh bangsa Yahudi di Madinah.

Wakil itu menyampaikan pesanan dari Abdullah kepada seluruh penduduk Bani Nadhir: "Wahai sekelian kaum Bani Nadhir, janganlah kamu keluar dari rumah-rumah kamu dan tetaplah kamu di dalamnya tanpa perlu pergi ke mana-mana.

"Kamu hanya perlu membina kubu dan benteng untuk mempertahankan diri.

"Aku bersama 2,000 orang dari para pengikutku, kaumku malah dari kalangan bangsa Arab bersedia membantu kamu sebelum kaum Muslimin sempat datang menyerang kamu.

"Aku pasti akan segera menghantar apa juga bentuk bantuan sekalipun bantuan bala tentera yang secukupnya buat kamu semua.

"Yang penting kamu janganlah takut terhadap Muhammad dan para pengikutnya itu."

Mendengarkan pesanan dari Abdullah itu, ketua Bani Nadhir, Huyay bin Akhtab terus mengadakan perbincangan sama ada mahu menerima tawaran Abdullah atau keluar sebagaimana yang diarahkan.

Salah seorang daripada mereka, iaitu Salim bin Misykan pun berkata: "Lebih baik kita menolak tawaran dari Abdullah kerana dia sudah berkali-kali berbuat dusta kepada kaumnya sendiri. "Sebagaimana yang berlaku pada kepada Bani Qainuqa' (suku utama Yahudi di Madinah) hendak diusir oleh kaum Muslimin, dia langsung tidak berbuat apa-apa, hanya cakap sahaja yang lebih."

Mereka pun berdebat mengenai soal itu dan akhirnya semua yang bermesyuarat itu setuju menerima tawaran Abdullah untuk tidak tinggalkan kampung halaman yang telah lama mereka diami.

Lalu Huyay mengirim sepucuk surat kepada Rasulullah yang antara lain beliau menyebut: "Kami kaum Yahudi, tidak akan keluar daripada kampung kami ini. Kami akan terus tetap berada di sini dan jika kamu hendak menyerang atau apa sahaja, silakan! Kami tidak akan mundur dan kami bersedia untuk menghadapi apa juga kemungkinan yang bakal mendatang."

Rasulullah pun terus bertakbir Allahu Akbar sejurus selesai membaca surat dari Huyay itu.

Para pengikut baginda yang lain juga turut bertakbir dan Rasulullah pun berkata: "Kita akan berperang dengan kaum Yahudi dari suku kaum Bani Nadhir."

Pada hari ditetapkan, Rasulullah berserta bala tentera baginda menuju ke perkampungan Yahudi itu dan bersedia memerangi mereka sambil bendera Islam dibawa oleh menantu baginda, Ali bin Abi Talib.

Begitupun sebenarnya apabila sampai di perkampungan Bani Nadhir itu, Rasulullah masih memberi peluang kepada mereka untuk meninggalkan rumah masing-masing.

Namun kaum Yahudi itu menunjukkan kesombongan mereka dan enggan mematuhi arahan malah menjawab: "Kami tidak akan meninggalkan kampung halaman kami ini. Sama sekali tidak! Tidak mungkin kami boleh meninggalkan harta benda dan kekayaan kami begitu sahaja.

"Sekiranya kamu hendak menyerang kami juga maka kami akan segera membina benteng-benteng pertahanan sebagai kubu di samping batu-batu yang tersedia untuk kami lemparkan terhadap kamu semua.

"Jika kamu hendak mengepung kami sekalipun, bekalan makanan yang kami simpan cukup untuk kami bertahan selama setahun. Sumber air kami juga tidak pernah kering, jadi kepunglah berapa lama pun, kami mampu bertahan."

Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...