بِسۡمِ ٱللهِ ٱلرَّحۡمَـٰنِ ٱلرَّحِيمِ
Dengan nama Allah, Yang Maha Pemurah, lagi Maha Mengasihani. Artikel-artikel yang disiarkan di sini adalah sebagai rujukan dan simpanan peribadi pemilik blog ini. Kebanyakannya diambil daripada sumber-sumber yang dinyatakan. Segala pendapat dalam penulisan ini adalah pendapat penulis artikel yang sebenar. Jika ada kekeliruan tuanpunya blog ini menyarankan supaya bertanya kepada penulis asal. Semoga memberikan manfaat kepada pembaca.

Thursday, September 29, 2011

Turki dorong Soleiman pada Islam

Susunan SITI AINIZA KAMSARI

Setiap saudara Muslim atau mualaf mempunyai pengalaman spiritual tersendiri yang mendorong mereka untuk masuk Islam.

Begitu juga Soleiman, yang hatinya terkesan untuk memeluk Islam di negara Muslim sekular - Turki yang para pemimpin pasca Turki moden lebih cenderung menindas Islam. Ia termasuk larangan memakai tudung dan kopiah di kalangan kaum Muslim.

Padahal sebelum itu, Soleiman yang dahulunya seorang ateis pernah berkunjung ke negara-negara Asia Barat yang kebanyakan terkenal mengamal dan melaksanakan peraturan dan hukum Islam dalam segenap hidup mereka.

Ketika pertama kali berkunjung ke Bahrain, Soleiman berharap dapat bertemu negara Asia Barat yang kental dengan budaya Islam yang dipertahankan oleh seluruh warga Islamnya.

"Tetapi yang saya temui begitu jauh menyimpang. Di negara itu saya lihat ramai orang asing dari pelbagai negara dan agama datang untuk bekerja mencari nafkah.

"Oleh kerana ramainya warga asing, warna-warna Islam di negara Muslim itu semakin malap dan hampir-hampir tertutup walaupun kebanyakan mereka juga umat Islam," katanya.

Begitupun di Bahrain, beliau berpeluang mendengar laungan azan yang baginya bukan sahaja merdu tetapi meresap ke jiwa.

"Lalu saya bertanya apa maksud perkataan dalam azan itu. Mereka beritahu saya maknanya tetapi ia sekadar satu maklumat baru sahaja kerana saya tidak lebih hanya seperti seorang pelancong ketika berada di Bahrain," katanya.

Selepas Bahrain, Soleiman ke negara Teluk lain termasuk Sharjah, Oman; Kuwait dan Dubai di Emeriah Arab Bersatu (UAE). Walaupun banyak menimba pengalaman baru dari negara-negara tersebut namun hatinya lebih terkesan ketika di Turki.

"Saya bertemu sesuatu yang berbeza walaupun negara yang setengah Eropah dan setengah Asia itu kita lihat banyak fakta yang menyedihkan mengenai sistem sekularisme yang diamalkan.

"Namun dalam banyak keadaan, hal-hal yang bersangkutan dengan Islam masih kekal dalam satu bentuk budaya yang unik dan mempamerkan kehebatan Islam yang sangat luar biasa.

"Turki memiliki sejarah Islam yang hebat dan secara visual telah membuat saya berasa sangat kagum. Terutamanya ketika saya menghayati seni atau gaya seni bina Islam yang sangat indah dari zaman pemerintah khalifah Uthmaniah," ujar beliau.

Di Turki, Soleiman sempat merasakan suasana Ramadan yang sangat berbeza berbanding ketika beliau berada di negara-negara Teluk.

Katanya, Ramadan di negara-negara Teluk tidak ada bezanya dengan bulan lain kerana orang Islam boleh minum teh pada siang hari.

"Tetapi di Turki, Ramadannya agak lain. Ini kerana saya perhatikan mereka yang berpuasa di sana, adalah mereka yang terbaik akhlaknya.

"Ini yang membuatkan saya tertarik dan dan tanpa disuruh saya sendiri ikut berpuasa," katanya.

Meskipun belum menjadi Muslim, Soleiman tidak menghadapi masalah untuk berlapar dan dahaga.

"Saya menikmati sepenuhnya detik-detik berpuasa itu khususnya beberapa minit sebelum azan Maghrib berkumandang. Saya menunggu waktu berbuka umpama menanti satu detik kejayaan kerana berjaya menahan kebiasaan kita sebelum ini iaitu makan dan minum sebanyak mana yang kita mahu," katanya.
Pengalaman berpuasa di Turki itu memberi inspirasi kepadanya untuk mengenali dan mempelajari Islam dengan lebih mendalam.

Lebih-lebih lagi apabila beliau dihadiahkan senaskhah al-Quran terjemahan bahasa Inggeris. Soleiman mengaku terus terpukau saat membaca terjemahan al-Quran itu dan merasa tidak ada yang asing dengan kitab suci yang dibacanya itu.

"Tidak ada yang aneh atau sebarang yang tidak masuk akal di dalamnya," ujarnya.

Beliau turut membaca kisah sejarah atau biografi kehidupan Nabi Muhammad SAW yang baginya banyak memberi inspirasi.

"Baginda adalah lelaki yang luar biasa dalam sejarah," kata Soleiman yang sayangnya ketika itu beliau tidak bertemu dengan orang yang yang serius berdakwah padanya dan menyakinkannya mengenai Islam.

Sekembalinya dari Turki, Soleiman bertugas di Dubai. Kali ini beliau berpeluang bertemu dengan mereka yang menurutnya yang dicari-cari selama ini.


Benarkah musyrikin boleh bertauhid rububiyyah?

Oleh PANEL PENYELIDIKAN YAYASAN SOFA, NEGERI SEMBILAN


sujud hamba-hamba-Nya yang soleh semata-mata kerana Allah SWT.

BERTEMU kembali di ruangan Relung Cahaya pada tahun baru 1431 Hijrah. Semoga penghijrahan kita kali ini lebih bermakna dan turut melonjakkan kita dalam perjalanan kita menuju kepada Allah SWT dan Rasul-Nya.

Kembali kepada tajuk tauhid yang sedang kita bicarakan. Setelah kita meneliti beberapa dalil dan jawapan yang menunjukkan kepincangan dan kebatilan tauhid tiga serangkai, ada baiknya kita juga memerhatikan sebahagian dalil yang digunapakai oleh pengikut tauhid ini bagi menegakkan pendapat mereka yang kabur.

Kami telah menerima maklum balas daripada mereka yang berpegang dengan tauhid ini dan mereka telah menyatakan dalil-dalil mereka. Namun, di sini kami hanya akan mengutarakan sebahagiannya sahaja dan jawapan bagi hujah mereka tersebut. Manakala sebahagiannya lagi, kami akan susuli pada ruangan dan kesempatan yang lain, insya-Allah.

Sebelum memanjangkan kalam, kami ingin menyuarakan biarlah perbicaraan kita ini difokuskan kepada tajuk yang dibincangkan, bukannya mencemuh pihak yang tidak sependapat dengan kita. Andai kita merasa kita lebih bijak dan lebih mengetahui, sepatutnya kitalah juga yang lebih bijak dan mengetahui tentang adab-adab berbicara dan berdebat. Bukanlah tujuan kami mengetengahkan tajuk ini untuk menyentuh sensitiviti sesiapa, mencari ruang permusuhan atau mengkafir dan menyesatkan sesiapa. Tetapi tujuan kami hanya untuk melihat kebenaran itu tertegak dan kebatilan itu terpadam.

Berbalik kepada tajuk yang kita bicarakan, kami ingin menegaskan bahawa antara perkara utama yang menyebabkan kami menolak pembahagian tauhid ini ialah pembahagian tauhid ini telah mengkategorikan orang musyrik termasuk di dalam golongan ahli tauhid dengan tauhid rububiyyah, bukannya sifat rububiyyah atau uluhiyyah bagi Allah.

Mereka yang berpegang dengan tauhid ini berpegang dengan firman Allah SWT dalam surah al Zumar ayat 38: Dan demi sesungguhnya jika engkau (wahai Muhammad) bertanya kepada mereka (yang musyrik) itu, "Siapakah yang mencipta langit dan bumi?" Sudah tentu mereka akan menjawab, "Allah."

Mereka juga berpegang dengan firman Allah SWT: Tanyakanlah lagi, "Siapakah tuhan yang memiliki dan mentadbirkan langit yang tujuh dan tuhan yang mempunyai Arasy yang besar?" Mereka akan menjawab, "(Semuanya) kepunyaan Allah." Katakanlah, "Mengapakah kamu tidak mahu bertaqwa? (al-Mukminun: 86 dan 87)

Ayat-ayat lain yang serupa dengan ayat ini banyak terdapat di dalam al-Quran.

Kami menyatakan bahawa hujah ini terlalu lemah. Ini kerana orang-orang musyrik hanya mengaku dengan lidah mereka kewujudan Allah ketika mana mereka berada dalam keadaan terdesak setelah dikemukakan hujah-hujah kepada mereka. Sedangkan hati-hati mereka menolak dengan apa yang mereka ungkapkan dan mengingkarinya. Allah SWT telah menjelaskan hakikat mereka melalui firman-Nya: Mereka menjadikan kamu senang hati dengan mulut mereka, sedangkan hati mereka menolaknya. (al-Taubah: 8)

Berikrar

Berikrar dengan lidah semata-mata tanpa ditasdiqkan (dibenarkan) dengan hati, tidak ada nilainya dan tidak dikira pengakuannya itu di sisi syariat Allah.

Untuk lebih jelas lagi, perhatikanlah sambungan ayat daripada surah al-Zumar di atas yang bermaksud: Katakanlah (kepada mereka wahai Muhammad): "Kalau demikian, bagaimana fikiran kamu tentang yang kamu sembah selain dari Allah itu? Jika Allah hendak menimpakan daku dengan sesuatu bahaya, dapatkah mereka mengelakkan atau menghapuskan bahayanya itu; atau jika Allah hendak memberi rahmat kepadaku, dapatkah mereka menahan rahmatNya itu?" Katakanlah lagi: "Cukuplah bagiku Allah (yang menolong dan memeliharaku); kepadaNyalah hendaknya berserah orang-orang yang mahu berserah diri.(al-Zumar: 38)

Ayat ini jelas menunjukkan pembohongan dan kepura-puraan perkataan mereka. Mereka ini tetap juga menyandarkan kemudharatan dan manfaat kepada selain Allah. Mereka sebenarnya jahil tentang Allah dan mendahulukan tuhan-tuhan mereka daripada Allah, hatta dalam sekecil-kecil perkara.

Sekiranya jawapan ini belum cukup untuk memuaskan hati pengikut tauhid tiga ini, marilah kita perhatikanlah semula perkataan orang musyrik kepada Nabi Hud ASKami hanya boleh berkata bahawa setengah dari tuhan-tuhan kami telah mengenakanmu sesuatu penyakit gila (disebabkan engkau selalu mencaci penyembahan kami itu). (Hud: 54)

Bagaimanakah pengikut tauhid tiga boleh mengatakan orang musyrik mempercayai bahawa hanya Allah yang berkuasa dalam urusan mentadbir, memberikan manfaat dan mudharat sehingga mereka layak dikatakan mempunyai tauhid rububiyyah? Padahal mereka mempercayai bahawa berhala-berhala mereka mampu mendatangkan mudharat dan manfaat?

Seterusnya, perhatikanlah pula ayat 136 dari surah al-An'aam ini: Dan mereka (orang-orang musyrik) memperuntukkan dari hasil tanaman dan binatang-binatang ternak yang diciptakan oleh Allah itu, sebahagian bagi Allah (dan sebahagian lagi untuk berhala-berhala mereka), lalu mereka berkata: "Ini untuk Allah - menurut anggapan mereka - dan ini untuk berhala-berhala kami." Kemudian apa yang telah ditentukan untuk berhala-berhala mereka, maka ia tidak sampai kepada Allah (kerana mereka tidak membelanjakannya pada jalan Allah), dan apa yang telah ditentukan untuk Allah, sampai pula kepada berhala-berhala mereka (kerana mereka membelanjakannya pada jalan itu). Amatlah jahatnya apa yang mereka hukumkan itu.

Jika orang musyrikin mentauhidkan Allah dari sudut rububiyyah kenapakah mereka telah mendahulukan berhala-berhala mereka daripada Allah daripada sekecil-kecil dan serendah-rendah perkara.

Allah telah berfirman dalam menjelaskan kepercayaaan mereka terhadap berhala-berhala mereka: Dan Kami tidak melihat berserta kamu penolong-penolong yang kamu anggap dan sifatkan bahawa mereka ialah sekutu-sekutu Allah dalam kalangan kamu. Demi sesungguhnya, telah putuslah perhubungan antara kamu (dengan mereka), dan hilang lenyaplah daripada kamu apa yang dahulu kamu anggap dan sifatkan (memberi faedah dan manfaat itu). (al-An'aam : 94)

Perhatikanlah betul-betul ayat-ayat ini, kemudian apakah pendapat kalian terhadap kebenaran tauhid uluhiyyah dan rububiyyah ini yang mengatakan bahawa orang musyrikin dan Muslimin adalah sama dan hanya berbeza pada tauhid uluhiyyah?

Dalil yang lebih menjelaskan lagi perkara ini ialah firman Allah: Dan janganlah kamu cerca benda-benda yang mereka sembah yang lain dari Allah, kerana mereka kelak, akan mencerca Allah secara melampaui batas dengan ketiadaan pengetahuan. (al-An'aam: 108)

Adakah selepas memerhatikan ayat-ayat Allah ini, kita masih melihat bahawa pengakuan orang musyrikin sebagaimana dalam surah al Zumar ayat 38 di atas dan ayat yang seumpama dengannya diungkapkan dengan jujur dan ikhlas? Adakah kita masih mahu mengatakan bahawa mereka bertauhid dengan tauhid rububiyyah?

Sesungguhnya kami dan ulama Ahli Sunnah sememangnya tidak pernah menolak penyusunan dan pembahagian ilmu yang banyak dilakukan dalam ilmu-ilmu Islam kerana kebaikannya kepada umat Islam. Tetapi kami tidak boleh menerima pembahagian tauhid ini yang implikasinya sangat memudharatkan umat Islam iaitu membuka pintu kepada mengkafirkan ahli Kiblat. Terlajak sampan boleh berundur, terlajak kata binasa.

Isu kalimah Allah banyak hikmah


Hadirin mengikuti Wacana Pendidikan Fatwa 'Penggunaan Lafaz Allah'
di Putrajaya baru-baru ini.

OLEH SITI AINIZA KAMSARI
GAMBAR ABDUL NAZIR MOHAMED


MUNGKIN jenaka ini tidak sekadar jenaka kerana di sebalik yang tersirat ada yang besar tersurat. Andai mantan Presiden Amerika Syarikat atau lebih tepat yang sering berlagak seperti Ketua Polis Dunia, George W. Bush mengunjungi negara ini, sebagai tuan rumah yang menghormati tetamu, tentu sekali kita tetap memanggilnya sebagai Mr. Bush. Tidak mungkin kita akan memanggilnya sebagai 'Mr. Semak' hanya semata-mata kerana semangat 'menterjemah'!

Begitu juga apabila di pertemuan lain, tetamu tersebut bernama Mr. Black, tidak mungkin kita memanggilnya 'Mr. Hitam' walaupun kulitnya putih melepak!

Begitulah antara lelucon Ketua Pengarah Jabatan Kemajuan Islam Malaysia (Jakim), Datuk Wan Mohammad Sheikh Abdul Aziz yang menarik perhatian hampir 1,200 hadirin di Wacana Pendidikan Fatwa 'Penggunaan Lafaz Allah' di Jakim, Putrajaya baru-baru ini.

Tetapi apa yang ingin beliau cuba sampaikan ialah kiasan di sebalik polemik penggunaan lafaz Allah yang kononnya bukan hak Islam untuk mendominasikan penggunaan lafaz yang mulia itu. Malah ia mesti dikongsi dengan agama lain terutamanya Kristian.

"Kalau sekadar menuntut supaya perkataan God itu hendak diterjemahkan ke bahasa Melayu, jawapannya tentulah 'tuhan' bukannya 'Allah'.

"Allah itu merupakan satu nama khas, dari aspek bahasa, bolehkah Nama-nama Khas itu boleh diterjemah untuk dijadikan Nama Am? Jadi apa rasionalnya di sebalik tuntutan yang seperti ini," soal beliau.

Namun sebagaimana di akhir ucapan beliau, bahawa isu yang begitu mewarnai di akhir dekad tahun 2000 ini tidak dinafikan membawa banyak hikmah terutama kepada umat Islam di negara ini.

Iaitu kita semua terpanggil kepada satu perjuangan untuk memperjelaskan konsep tauhid kepada yang bukan Islam bagi mengembalikan keharmonian di negara ini.

Hadirin yang terdiri dari pelbagai latar belakang terutamanya kakitangan kerajaan dan termasuk juga kakitangan swasta, wakil-wakil pelajar dan pertubuhan-pertubuhan bukan kerajaan (NGO) kemudiannya menumpukan perhatian kepada empat pembentangan kertas kerja berhubung isu berkenaan.

Ini sebagai antara usaha Jakim memberi penerangan yang tepat dari sudut agama Islam dan undang-undang negara. Matlamatnya, para peserta diharap dapat berkongsi maklumat dengan pelbagai pihak lain.

Seorang pendakwah bebas yang juga penulis buku agama, Dr. Zulkifli Mohammad al Bakri tanpa banyak menoleh ke belakang tegas berhujah bahawa kalimah Allah hanya untuk orang Islam berdasarkan pelbagai dalil yang autentik.

Ia bersumberkan wahyu Allah terutama surah al-Ikhlas yang memberikan satu tafsiran jelas bahawa Allah itu ahad berbanding wahid, iaitu perkataan yang lebih menafsirkan keesaan Allah yang tiada tandingannya di alam ini berbanding sekadar Allah itu tuhan yang satu.

"Dengan makna yang jelas bahawa Allah itu tidak boleh dijamakkan dengan yang lain iaitu tidak sekadar satu nama yang khusus atau khas.

"Dalam lafaz kalimah syahadah bahawa terdapat penafian (nafi al jins) iaitu segala 'jenis' tuhan yang lain adalah dinafikan (kewujudan) kecuali Allah sahaja yang berhak untuk disembah dan tidak boleh disekutukan dengan yang lain," tegasnya.

Hujah beliau disokong kuat oleh Penolong Pengarah Institut Latihan Islam Malaysia (ILIM), Zamihan Mat Zin yang juga 'menuntut' umat Islam bersatu dalam menangani isu yang diarus perdanakan ini.

Ini supaya isu kalimah Allah tidak membuka jalan kepada mana-mana pihak merendah-rendahkan martabat kalimah yang menjadi hak eksklusif umat Islam itu.

"Isu tuntutan kalimah ini tidak boleh dipandang sebagai satu 'cubaan' seperti yang kita lihat dalam filem Pendekar Bujang Lapuk!" katanya.

Menurut Zamihan, umat Islam tidak boleh membiarkan kalimah Allah 'diculik', dibawa 'lari', hanya lalu di hadapan mata dan kita terus khayal dengan perkara-perkara dunia yang lain.

"Ini kerana fitnah yang membabitkan soal tauhid dan akidah ini amat besar kesannya terhadap keutuhan ajaran, institusi dan masyarakat Islam itu sendiri," tegasnya.

Beliau yang menyampaikan kertas kerja 'Penyelewengan Tauhid dan Kalimah Allah' berkata, jika hendak menterjemahkan perkataan God kepada 'Allah' sedangkan kamus Dewan Bahasa sendiri memberi makna bahawa Allah itu bermaksud Tuhan Yang Satu, sedangkan sifat Esa ini tidak menjadi oknum atau dogma ajaran Kristian.

Persoalan penterjemahan ini kemudiannya dijelaskan dengan lebih menarik oleh Pegawai Cawangan Akidah Bahagian Penyelidikan Jakim, Mohd. Aizam Masod.

Beliau menyampaikan kertas kerja 'Implikasi Penggunaan Kalimah Allah Oleh bukan Islam Terhadap Pemikiran Umat Islam di Malaysia'.

Katanya, walaupun tidak melibatkan soal teologi, tuntutan tujuan penterjemahan God kepada 'Allah' ini mempunyai risiko dan implikasi yang sangat besar terhadap keharmonian dan perpaduan di negara ini.

"Ini bukan soal kebebasan beragama semata-mata tetapi yang jelas sejak isu ini berbangkit, negara sudah tidak harmoni lagi," katanya.

Menurut Aizam, apabila ada pihak melihat kalimah Allah itu sebahagian dari Bahasa Melayu yang dahulunya diserap dari bahasa Arab namun ini tidak bermakna atas nama semangat Bahasa Kebangsaan ia boleh diguna pakai oleh agama-agama lain selain Islam, yang ada di negara ini.

"Oleh kerana Allah adalah istilah yang telah diserap ke dalam Bahasa Melayu maka ia hendaklah difahami mengikut bangsa Melayu yang berasaskan agama Islam.

"Kelak implikasi terhadap Bahasa Melayu itu sendiri sangat besar apabila Allah dijadikan terjemahan kepada 'God' seperti yang dituntut," katanya.

Contoh yang beliau maksudkan membabitkan ayat seperti berikut: God presides in heavenly council; in the assembly of the gods he gives his decisions. (PSALM, 82.1)

Kalau diterjemahkan akan jadi: "Allah mengetuai dalam majlis syurgawi; dalam sidang ilahi, Allah ia menghakimi".

Maka akan jadilah Allah itu hanya satu istilah umum, tanpa ada sebarang keistimewaannya lagi. Contoh yang paling ketara juga boleh dilihat dalam ayat-ayat yang berikut:

For all the gods of the people are idols: but the Lord made the heavens. (1Chronicles 16:26)

Maksudnya: "Sebab segala Allah bangsa-bangsa adalah berhala, tetapi Tuhanlah yang menjadikan syurga.
"Tuhan adalah Allah yang besar…mengatasi segala Allah". (Mazmur 95.3)

"Akulah Tuhan, Allahmu…jangan ada padamu allah lain di hadapanKu". (Keluaran 20.2-3)

"…Yesus Kristus, iaitu Allah Maha Besar dan Raja Penyelamat kita". (Titus 2:13)

"…sebab dalam Dialah (iaitu Kristus) berdiam secara jasmaniah seluruh kepenuhan ke-Allahan". (Collosians 2:9)

Kata Aizam, lambat laun, kita terpaksa mengubah maksud Allah dalam kamus-kamus yang ada kerana kejayaan tuntutan dari pihak Kristian ini akan mempunyai kesan terhadap apa juga aspek, undang-undang adalah yang lebih teruk lagi.

"Dari aspek Kamus, daripada makna Allah itu Tuhan Yang Maha Esa akibat tuntutan maka terpaksa ditukar kepada Tuhan Yesus Kristus atau Tuhan Berhala atau tuhan Bapa mahupun juga Tiga Tuhan Bersatu (Triniti).

"Tidakkah ini mencelarukan Bahasa Melayu dan agama Islam itu sendiri kerana kalimah Allah itu diberi satu makna secara terbuka, iaitu kononnya terjemahan kepada perkataan 'tuhan' untuk apa juga jenis tuhan sebelum ini.

"Maka sudah tidak ada eksklusifnya lagi kalimah Allah sebagaimana yang difahami sebelum ini oleh seluruh umat manusia sama ada mereka Islam atau pun tidak kerana Allah itu menjadi satu 'ketuhanan' yang melangkaui sekelian agama," katanya.

Kebimbangan yang sama turut diluahkan oleh Peguam Kanan Persekutuan Jabatan Peguam Negara, Mahammad Naser Disa ketika membentangkan kertas kerja 'Penggunaan Lafaz Allah dari Aspek Perundangan'.

Menurut beliau, pada asasnya isu tuntutan kalimah Allah oleh pihak Kristian ini perlu dilihat pada skop yang luas.

"Ini kerana isu ini sebenarnya melibatkan soal Perlembagaan Negara seperti yang tertakluk kepada Rukun Negara, iaitu Keluhuran Perlembagaan.

"Iaitu dalam Perkara 3, Agama bagi Persekutuan (1) Islam ialah agama bagi Persekutuan. Ini bermakna negara tidak sahaja mempunyai satu sahaja nama sebagai identiti utama tetapi turut mempunyai agama, iaitu satu agama yang paling utama, iaitu Islam," katanya.

Dengan kata lain, semua pihak yang mengecam dan melemparkan pelbagai tuduhan berhubung isu ini perlu menyedari bahawa agama bagi negara Malaysia adalah Islam.

"Kita tidak menyebut kedudukan Islam itu adalah agama rasmi semata-mata, sebab kita tidak ada istilah ada agama yang rasmi dan tidak rasmi di negara ini.

"Malah tidak timbul juga apabila Islam tidak disebut sebagai agama rasmi maka ia bermakna negara ini adalah negara yang mendukung fahaman sekular, memisahkan agama dalam apa juga urusan dalam kehidupan.

"Kita tidak akan jumpa pun sebarang perkataan sekular dalam Perlembagaan itu kerana kita mempunyai istilah perundangan yang lebih kuat iaitu, Agama Persekutuan," jelas beliau.

Islam sebagai agama Persekutuan adalah sebahagian manifestasi daripada Kontrak Sosial yang dicapai dan dipersetujui bersama sebelum ini.

"Jika ada pihak menjadikan faktor sejarah kononnya sebagai dalil bahawa Allah itu adalah tuhan kepada semua agama langit atau samawi, bagaimana dengan kontrak sosial yang sekian lama menjadi asas pembinaan jambatan perpaduan rakyat berbilang kaum di negara ini," tegas Mahammad Naser.

Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...