بِسۡمِ ٱللهِ ٱلرَّحۡمَـٰنِ ٱلرَّحِيمِ
Dengan nama Allah, Yang Maha Pemurah, lagi Maha Mengasihani. Artikel-artikel yang disiarkan di sini adalah sebagai rujukan dan simpanan peribadi pemilik blog ini. Kebanyakannya diambil daripada sumber-sumber yang dinyatakan. Segala pendapat dalam penulisan ini adalah pendapat penulis artikel yang sebenar. Jika ada kekeliruan tuanpunya blog ini menyarankan supaya bertanya kepada penulis asal. Semoga memberikan manfaat kepada pembaca.

Monday, August 22, 2011

Persoalan Agama: Kelebihan baca al-Quran bantu Muslim di akhirat






2011/08/21
Bersama Ustaz Zahazan

SAYA ada membaca terjemahan al-Quran. Cuma saya tidak faham apa maksud satu firman Allah yang saya temui iaitu cahaya atas cahaya? Soalan kedua, bagaimana kita hendak memperoleh manfaat dari membaca al-Quran. Saya teringin belajar al-Quran tetapi saya sudah berumur.

Hamba Allah, 
Rawang.


ALHAMDULILLAH wassolatuwasslam ‘ala rasulillah waba’d. Berkenaan cahaya atas cahaya adalah daripada firman Allah SWT surah an-Nur ayat 35 iaitu: “Allah, cahaya langit dan bumi. Perumpamaan cahaya Allah adalah seperti sebuah lubang yang tak tembus yang dalamnya ada pelita besar. Pelita itu dalam kaca dan kaca itu seakan-akan bintang yang bercahaya seperti mutiara dinyalakan dengan minyak dari pohon yang banyak berkahnya iaitu pohon zaitun yang tumbuh tidak di sebelah timur dan tidak pula di sebelah baratnya yang minyaknya hampir-hampir menerangi walaupun tidak disentuh api. Cahaya atas cahaya. Allah membimbing cahaya-Nya siapa yang Dia kehendaki dan Allah SWT membuat perumpamaan-perumpamaan bagi manusia, dan Allah Maha Mengetahui segala sesuatu.”

Ayat tersebut diberi penafsiran yang melahirkan beberapa makna, tetapi yang paling agung adalah cahaya atas cahaya itu diertikan sebagai cahaya fitrah di atas cahaya kebenaran (haq) yang memberi petunjuk kepada fitrah iaitu al-Quran dan Iman. 

Sebenarnya manusia lahir dalam cahaya fitrah, tetapi oleh kerana suasana melingkunginya sesat menyebabkan mereka menyeleweng dari kebenaran. Pada ghalibnya, seorang anak tidak akan berbuat jahat jika bukan kerana pengaruh orang sekelilingnya dan tentu saja tidak terlepas dari kehendak, hukum dan takdir Allah SWT. Cahaya kedua pula cahaya iman dan wahyu. Dua cahaya ini ada dalam diri seorang mukmin sejati teguh pada imannya. Cahaya Allah terdiri daripada tiga iaitu cahaya fitrah (cahaya ini tidak akan cukup tanpa cahaya iman), cahaya iman dan cahaya amal salih (iaitu sesudah adanya cahaya iman). 

Menurut Syeikh Mutawalli asy-Sya’rawi, seorang Muslim membaca al-Quran untuk dua tujuan. Pertama keperluan akal dan kedua, keperluan hati. Ketika seseorang hamba membaca al-Quran diniatkan untuk keperluan jiwa, akan mendapat empat perkara:

Pertama, Ketenteraman hati. Allah SWT berfirman dalam surah ar-Ra’d ayat 28 yang bermaksud: “Kalangan orang beriman dan hati mereka menjadi tenteram dengan mengingati Allah. Ingatlah, hanya dengan mengingati Allah hati menjadi tenteram.” 

Kedua, menambah Iman. Allah SWT berfirman dalam surah al-Anfal ayat 2 yang bermaksud: “Sesungguhnya mereka yang beriman itu hanya mereka yang apabila disebut Allah gementar hati mereka dan apabila dibacakan kepada mereka ayat-Nya, bertambah iman mereka dan hanya kepada Tuhan mereka bertawakal.”

Ketiga, menambah khusyuk dan ketakutan kepada Allah. Allah SWT berfirman dalam surah al-Hasyr ayat 21 yang bermaksud: “Kalaulah sekiranya Kami turunkan al-Quran ini atas sebuah gunung, nescaya engkau melihat gunung berkenaan tunduk terpecah belah disebabkan takut kepada Allah SWT.”

Keempat, menangis. Allah SWT berfirman dalam surah al-Isra’ ayat 109 yang bermaksud: “Dan mereka segera menundukkan mukanya dengan sujud itu sambil menangis, sedangkan al-Quran menambahkan mereka khusyuk.” 

Sekiranya kita tidak tahu membaca al-Quran, maka pelajarilah. Ajak anak dan isteri belajar al-Quran. Sebuah hadis mengenai kelebihan belajar al-Quran daripada Abu Umamah, Rasulullah SAW bersabda yang bermaksud: Belajarlah kamu al-Quran, maka kelak pada Hari Kiamat akan datang pada ahlinya ketika sangat berhajat kepadanya. Lalu ia datang dalam bentuk yang seindah-indahnya, lalu bertanya: “Kenalkah engkau kepadaku? Ahli Quran menjawab: Siapakah engkau? Jawabnya: Akulah yang kamu cinta dan kamu sanjung. Bahkan kamu sudah bangun malam untukku dan biasa membacaku pada siang hari. 

“Lalu ia berkata: Kemungkinan kau al-Quran. Kemudian ia membawa orangnya menghadap Allah, lalu diberi kerajaan di tangan kanan, kekal di tangan kiri dan dipakaikan mahkota di atas kepalanya serta kedua orang tuanya yang Muslim diberi perhiasan yang tidak dapat ditukar dengan dunia walaupun berlipat kali ganda sehingga keduanya bertanya: Dari manakah kami mendapat ini, padahal amal kami tidak sampai ke sini? Lalu dijawab: Ini kamu dapat kerana anakmu telah mempelajari al-Quran, maka kamu berdua diberi ini. Demikianlah, wallahua’lam.


Persoalan Agama : Iman suntik kekuatan akidah ummah


Bersama Ustaz Zahazan

2011/08/21

ADA orang mendakwa bahawa dia mempunyai akidah yang kuat. Persoalannya, apakah ukuran yang boleh menilai kekuatan akidah seseorang 

Jefri, 
Pulau Pinang.


ALHAMDULILLAH wassolatuwasslam ‘ala rasulillah waba’d. Umat Islam generasi terdahulu berjaya kerana memiliki akidah kuat yang tidak boleh digoncang. Keimanan mereka amat kuat atau tebal sehinggakan mereka mempunyai semangat kental untuk menegakkan kemenangan dan ada semboyan menang atau syahid.

Pernah berlaku satu peristiwa, tentera Islam diperintahkan ke Andalusia (Sepanyol) bagi membebaskan rakyat wilayah itu daripada pemerintahnya yang zalim dan kejam. Dengan menaiki 12 kapal perang, tentera Islam menuju ke benua Eropah itu. Selepas mendarat di Andalusia, Tariq bin Ziyad yang mengetuai bala tentera, segera memerintahkan kapal perang yang mereka naiki dibakar. 

Pada mulanya, tindakan itu mendapat bantahan sebahagian besar tentera Islam. Mereka menganggap perbuatan itu kurang siuman dan bertentangan dengan hukum Islam yang melarang merosakkan harta benda awam. Apatah lagi, kapal perang kepunyaan mereka. Mereka juga mempersoalkan bagaimana hendak pulang ke tempat asal apabila kapal mereka sudah dibakar. 

Bagi memecahkan kebuntuan tenteranya, Tariq bin Ziyad, segera mengumpulkan tenteranya di sebuah bukit yang kemudian dinamakan Jabal Tariq (kini dikenali Gibraltar), lalu Tariq bin Ziyad berucap dengan ucapannya yang terkenal sehingga ke hari ini, “Wahai saudaraku, di belakang kita laut, di hadapan kita musuh. Kita tidak dapat melarikan diri. Demi Allah, kita datang ke sini bagi syahid ataupun mencapai kemenangan. Dan kita tidak akan pulang sebelum mencapai matlamat itu!” 

Dengan semangat yang berkobar-kobar, mereka mara menentang tentera Raja Roderic seramai 100,000 orang. Akhirnya Allah SWT mengurniakan kepada tentera Islam kemenangan. Kisah kedua, seorang sahabat Nabi bernama Khabib pernah ditawan kaum Quraisy. Beliau dibawa ke Makkah dan disiksa sehingga menemui ajal. 

Sebelum itu, beliau ditanya: “Apakah kamu lebih suka kalau Muhammad di sini sebagai penggantimu dan engkau di rumah bersama keluargamu? Jika beliau menjawab ‘Ya’ mungkin dia akan selamat. Tetapi kekuatan iman dan kecintaannya yang dalam kepada Rasulullah dan risalahnya yang agung, mendorong beliau menjawab, “Demi Allah! Saya tidak suka berada di tengah-tengah keluargaku sedang Muhammad di rumahnya terkena duri.” 

Juga, pada masa Rasulullah, pernah seseorang yang sudah berbuat dosa meskipun tidak diketahui sesiapa pun kecuali Allah datang ke masjid dan mengikat dirinya di sebatang tiang dan tidak membukanya sebelum diampuni Allah sehingga Rasulullah SAW membuka ikatannya. 

Apabila iman dan akidah sudah kuat dan sempurna dalam hati mereka, tentu mereka akan berjuang segala daya dan kemampuan untuk membela agamanya. Ada di antara kalangan da’i yang selalu berdakwah, tetapi tidak mendapat taufik dan pertolongan Allah SWT. Apa sebabnya? Kerana mereka belum sepenuhnya berdakwah dengan mengerahkan hatinya kepada Allah SWT dan keredaan-Nya. 

Sebenarnya kunci pendekatan dengan Allah SWT berada dalam tangan setiap orang. Bila kita mendekati-Nya satu depa, Allah SWT akan mendekatinya satu hasta. Bila kita mendekati-Nya satu hasta, Allah SWT akan mendekatinya satu lengan. 

Jika kalangan da’i bekerja dengan ikhlas dan mengabdikan diri semata-mata hanya kerana Allah, pasti mereka akan memperoleh pertolongan dan reda dari-Nya. Demikianlah, wallahua’lam. 


Sunday, August 21, 2011

Keutamaan Malam Lailatul Qadr:


Keutamaan Malam Lailatul Qadr: 

1. Lailatul Qadr adalah malam diturunkannya al-Quran, sebagaimana firman Allah Subhanahu wa Ta'ala:

{ إنا أنزلناه في ليلة القدر } . 


”Sesungguhnya Kami menurunkannya (al-Quran) pada malam lailatul Qodar”(QS al-Qodar: 1) 

2. Lailatul Qadr adalah malam yang berkah, sebagaimana firman Allah Subhanahu wa Ta'ala:

{ إنا أنزلناه في ليلة مباركة } . 


”Sesungguhnya Kami menurunkannya (al-Qur’an) pada malam yang penuh berkah”(QS ad-Dukhan: 3) 

3. Allah menulis pada malam itu ketetapan-ketetapan dan rezki-rezki selama satu tahun kehadpan, sebagaimana firman-Nya:

{ فيها يفرق كل أمر حكيم } . 


”Pada malam itu dijelaskan segala perkara yang penuh hikmah.”(QS ad-Dukhan: 4) 

4.Kelebihan ibadah pada malam itu melebihi ibadah pada malam-malam selainnya, sebagaimana firman-Nya:

{ ليلة القدر خير من ألف شهر } . 


”Malam lailatul Qodar itu lebih baik dari seribu bulan.” (QS al-Qodar: 3) 

5.Malaikat pada malam itu turun ke dunia dengan membawa kebaikan, berkah, rahmat dan pengampunan, sebagaimana firman-Nya:

{ تنزل الملائكة والروح فيها بإذن ربهم من كل أمر } . 


”Pada malam itu turun malaikat-malaikat dan malaikat Jibril dengan izin Rabbnya untuk mengatur segala urusan.”(QS al-Qodar: 4) 

6. Malam itu terbebas daripada kejahatan, dan melimpah di dalamnya ketaatan, amal kebaikan dan kebajikan dan di dalamnya banyak terdapat kesejahteraan dan keselamatan, sebagaimana firman-Nya:

{ سلام هي حتى مطلع الفجر } 


”Malam itu (penuh) kesejahteraan sampai terbit fajar.”(QS al-Qodar: 5) 

7.  Pada malam itu ada pengampunan dosa bagi yang menghidupkan malam itu dan dia mengharap pahala di sisi Allah Subhanahu wa Ta'ala, sebagaimana sabda Rasulullah shallallahu 'alaihi wasallam:

.: " من قام ليلة القدر إيماناً واحتساباً غفر له ما تقدم من ذنبه " [ متفق عليه ] . 


”Siapa saja yang menghidupkan (shalat malam) pada malam lailatul Qadar dengan dilandasai keimanan dan mengharap pahala, diampuni dosanya yang telah lalu.”(mutaffaq ‘alaihi) 

Maka suatu malam yang keutamaannya, keistimewaannya dan kebaikannya seperti itu, sudah sepantasnya bagi kita untuk bersungguh-sungguh di dalamnya dan memperbanyak do’a, istighfar dan amal-amal shalih, karena dia adalah kesempatan yang langka dalam umur kita, dan kesempatan tersebut tidak selamanya kita dapatkan. Maka keutamaan apa yang lebih besar dari keutamaan ini bagi orang-orang yang diberikan taufiq oleh Allah. 

Maka bersungguh-sungguhlah –semoga engkau dirahmati Allah- dalam mendapatkan malam lailatul Qodar, dan bersemangatlah dengan melakukan amal shalih, supaya kalian beruntung mendapatkan pahala yang besar dari Allah, karena sesungguhnya orang yang terhalang adalah orang yang terhalangi dari pahala, dan siapa saja yang melewatii momen-momen pengampunan sedangkan dosanya masih menumpuk disebabkan kelalaiannya, berpalingnya dan tidak perhatiannya dengan momen itu, maka itulah orang-orang yang terhalangi. Wahai manusia yang bergumul dengan maksiat, bertaubatlah kepada Allah, kembalilah kejalan-Nya, mintalah ampunan-Nya karena Dia telah membuka untukmu pintu taubat, dan Dia memanggilmu untuk memasukinya dan Dia menjadikan suatu momen di mana kebaikan di dalamnya dilipat gandakan dan keburukan dihapus, maka ambillah sarana-sarana dan jalan-jalan keselamatan. 

Maka bersegeralah untuk memanfaatkan hari-hari yang tersisa dari bulan ini, semoga saja kita bisa mengejar kertinggalan dan memperbaiki diri atas waktu-waktu yang kita sia-siakan di masa lalu. Betapa banyak mayat yang sudah kita antar ke kubur mereka, kita berpisah dengan mereka dan mengalirlah air mata, lalu tidak berselang lama kita sudah lupa dan kita kembali ke dalam kelalaian dan menyia-nyiakan umur. 

Dan sepuluh hari terakhir bulan Ramadhan ini bisa jadi adalah yang terakhir yang kita dapatkan karena kematian selalu mengintai seandainya tidak datang hari ini, maka besok pasti dia akan datang, tidak dapat dilakukan. Maka persiapkanlah hari itu dengan amal shalih. Berusahalah dengan sungguh-sungguh untuk berpuasa di siang harinya dan hidupkanlah malam harinya, barangsiapa yang menggabung antara keduanya, dan memenuhi hak-hak keduanya, maka dia termasuk orang yang sabar yang akan mendapatkan pahala tanpa batas. Maka semoga kita termasuk orang yang dimudahkan Allah untuk menghidupkan malam-malam tersebut dengan berbagai macam ketaatan dengan penuh keikhlasan, mengharap pahala dan sesuai dengan contoh Rasulullahshallallahu 'alaihi wasallam. Amiin. Wallahu waliyut Taufiq. 

Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...