بِسۡمِ ٱللهِ ٱلرَّحۡمَـٰنِ ٱلرَّحِيمِ
Dengan nama Allah, Yang Maha Pemurah, lagi Maha Mengasihani. Artikel-artikel yang disiarkan di sini adalah sebagai rujukan dan simpanan peribadi pemilik blog ini. Kebanyakannya diambil daripada sumber-sumber yang dinyatakan. Segala pendapat dalam penulisan ini adalah pendapat penulis artikel yang sebenar. Jika ada kekeliruan tuanpunya blog ini menyarankan supaya bertanya kepada penulis asal. Semoga memberikan manfaat kepada pembaca.

Sunday, May 12, 2013

Fatih Seferagic







APABILA melihat rupa parasnya, ketara iras penyanyi remaja terkenal antarabangsa yang menjadi kegilaan gadis-gadis seluruh dunia masa kini. tetapi apabila ditatap berkali-kali, sangkaan itu meleset.

Bahkan tekaan itu hampir benar apabila kelunakan suaranya ketika membaca al-Quran sangat mengagumkan bagi sesiapa menonton menerusi laman video Youtube berkaitan pemuda ini.

Jumlah tontonan hampir mencecah ratusan ribu telah menyebabkan nama Fatih Seferagic yang baru menyambut hari lahir ke-18 pada 4 Mac lalu menjadi bualan kalangan anak muda masa kini.

Ketika melayari siri laman video yang dimuat turun di YouTube, merasakan aura Fatih melalui alunan ayat-ayat suci yang didendangkan bakal memberi satu dimensi baru dalam kalangan anak muda untuk mendekati al-Quran. Bahkan, pada usia 17 tahun, beliau telah mengimamkan solat terawih di sebuah masjid di Kanada.
Malah jumlah pengikutnya di laman sosial Facebook dan Twitter masing-masing mencecah 106,000 dan 29,980 orang. Adakah kelebihan yang dianugerahkan Allah SWT kepada remaja ini bakal melonjakkan nama Fatih ke persada seni dakwah?

Fatih Seferagic dilahirkan di Jerman pada 1 Mac 1995 kemudian berpindah ke Amerika Syarikat (AS) pada usia empat tahun. Beliau merupakan seorang hafiz al-Quran di Baltimore, AS. Sekarang beliau menetap di Houston, Texas, AS sebagai pelajar di samping guru al-Quran kepada masyarakat setempat.

Ketika di Baltimore, Fatih berjaya menghafaz al-Quran dalam tempoh tujuh tahun di Islamic Society of Baltimore sebelum ke Dallas untuk mempelajari bahasa Arab.

Menerusi Twitter, Fatih baru-baru ini telah merancangkan untuk melancong ke Malaysia pada akhir Jun ini. Selain negara ini, beliau juga merancang ke Indonesia.

Dalam laman sosial itu, beliau sempat bertanyakan sama ada Malaysia mempunyai pusat luncur ais. Para peminat kemudian menyatakan bahawa negara ini amat terkenal dengan permainan itu di pusat membeli-belah terkemuka di ibu negara.

Fatih selepas itu memberitahu bahawa beliau akan pergi bermain luncur ais dan mengajak para peminat untuk meluncur bersamanya.

Jika anda ingin mengenali lebih mendalam Fatih, boleh ikuti laman www.twitter.com/FatihSeferagic atau www.facebook.com/fatihseferagic.

No comments:

Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...