بِسۡمِ ٱللهِ ٱلرَّحۡمَـٰنِ ٱلرَّحِيمِ
Dengan nama Allah, Yang Maha Pemurah, lagi Maha Mengasihani. Artikel-artikel yang disiarkan di sini adalah sebagai rujukan dan simpanan peribadi pemilik blog ini. Kebanyakannya diambil daripada sumber-sumber yang dinyatakan. Segala pendapat dalam penulisan ini adalah pendapat penulis artikel yang sebenar. Jika ada kekeliruan tuanpunya blog ini menyarankan supaya bertanya kepada penulis asal. Semoga memberikan manfaat kepada pembaca.

Saturday, June 4, 2011

Evelyn Zainab tidak meragui pilihannya

Susunan ZUARIDA MOHYIN


SAYA selalu diajukan soalan tentang bagaimana dan bila saya bergelar Muslim. Apa yang boleh saya jawab, saya sendiri tidak mengetahui saat yang tepat kebenaran Islam itu mula berputik.

"Rasanya seperti saya memang dilahirkan sebagai seorang yang beragama Islam. Apatah lagi, seingat saya Islam adalah satu agama yang serasi dengan fitrah kejadian manusia. Bertepatan dengan kritikan Barat yang menggambarkan, "Islam adalah agama yang rasional," Pengakuan Lady Evelyn Zainab Murray Cobbold.

Beliau dikatakan wanita Eropah pertama yang merekodkan pengalamannya mengerjakan haji. Evelyn Zainab adalah anak sulung Earl Dunmore yang dipercayai memeluk Islam semenjak kecil.

Akuinya lagi, lebih banyak yang dibaca dan dipelajari, maka ia tambah menyakinkan wanita bangsawan ini bahawa Islam adalah satu agama yang begitu praktikal dan satu-satunya agama yang mampu menyelesaikan pelbagai permasalahan yang membingungkan serta yang membawa keamanan dan kebahagiaan manusia sejagat.

Pilgrimage to Mecca"Tidak ada keraguan lagi bahawa Allah SWT adalah tunggal atau Esa. Dan Musa, Isa, Muhammad SAW, serta banyak nabi-nabi dan rasul-rasul sebelum mereka adalah nabi dan rasul yang mendapatkan wahyu daripada Allah, Tuhan mereka. Setiap umat diutus Allah kepadanya seorang rasul. Kita lahir ke dunia ini tidak membawa dosa asal, kerana itulah kita tidak bergantung atau berharap kepada orang lain untuk menanggung atau menebus dosa kita," ulas Evelyn Zainab.

Tambah Evelyn Zainab, Islam serasi dengan kedamaian. Muslim adalah seorang yang harmonis dalam melaksanakan ajaran Pemilik dan Pencipta Alam ini. Di samping itu, seorang Muslim adalah orang yang hidup damai dengan Allah dan hidup damai pula dengan makhluk ciptaan-Nya.

"Bagi saya perkataan Islam membawa maksud penyerahan diri kepada Allah. Ia juga bermaksud ketenangan dan keamanan. Seorang Muslim itu adalah orang yang menerima takdir daripada Pencipta alam ini atau dia yang telah membuat perdamaian dengan Allah dan Pencipta semesta alam ini."

Dilahirkan pada tahun 1867 di Edinburgh dan meninggal dunia pada 1963 dalam lingkungan usia 97-98 tahun. Evelyn Zainab pernah ke Mekah setelah mendapat keizinan Raja Abdul Aziz Ibnu Saud. Selain turut menjadi tetamu khas kepada Harry St. John Philby, seorang penjelajah British yang memeluk Islam dan pertama kali mengerjakan haji pada tahun 1931.

Ini kerana, pada musim haji tahun 1933, masyarakat Islam di Kota Suffolk, England, tempat kelahiran Evelyn Zainab menerima satu berita mengejutkan apabila salah seorang penduduknya pergi ke Tanah Suci Mekah untuk menunaikan ibadah haji. Hebatnya lagi, gerangan orang tersebut ialah Evelyn Zainab. Segelintir pihak mengatakan bahawa dialah Muslimah pertama yang berasal dari England yang menunaikan ibadah haji.

Ketika usianya 66 tahun, Evelyn Zainab memulakan perjalanannya secara bersendirian ke Mekah dengan menaiki kapal laut yang bertolak dari Kaherah ke Pelabuhan Jeddah.

Apabila tiba di Jeddah, Evelyn Zainab dijaga oleh Harry St. John yang mempunyai hak istimewa sebagai penasihat British kepada Sultan Abdul Aziz Ibn Saud. Oleh kerana Evelyn Zainab belum mendapat kebenaran memasuki Kota Suci Mekah, beliau mengisi masa lapangnya dengan bersiar-siar di kawasan sekitar kota itu dan merekodkan segala pengalamannya.

Antara yang menarik perhatian ialah pergerakan jemaah haji yang menuju ke Mekah. Ketika di Jeddah pada tanggal 28 Februari 1933, Evelyn Zainab menulis; "Kami melepasi jemaah yang dalam perjalanan mereka ke Kota Suci, ada yang menaiki kenderaan berenjin, ada yang terhoyong-hayang di atas unta dan mereka yang miskin hanya berjalan kaki. Golongan lelaki telah siap memakai ihram tanpa penutup kepala.

"Manakala golongan wanita yang menuju ke Madinah berpakaian hitam sementara yang menuju ke Mekah pula berpakaian haji berwarna putih. Sesetengah jemaah yang miskin dari negara yang jauh mengambil masa yang lama untuk sampai…"
 
Pada 12 Mac 1933, Raja Ibnu Saud membenarkan Evelyn Zainab memasuki Mekah.

No comments:

Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...