بِسۡمِ ٱللهِ ٱلرَّحۡمَـٰنِ ٱلرَّحِيمِ
Dengan nama Allah, Yang Maha Pemurah, lagi Maha Mengasihani. Artikel-artikel yang disiarkan di sini adalah sebagai rujukan dan simpanan peribadi pemilik blog ini. Kebanyakannya diambil daripada sumber-sumber yang dinyatakan. Segala pendapat dalam penulisan ini adalah pendapat penulis artikel yang sebenar. Jika ada kekeliruan tuanpunya blog ini menyarankan supaya bertanya kepada penulis asal. Semoga memberikan manfaat kepada pembaca.

Friday, April 1, 2011

Saintis temui planet baru


Oleh LAUPA JUNUS
Gambaran kedudukan Gliese 581 dari Bima Sakti.


KETIKA isu kemunculan objek asing atau UFO begitu mencetuskan perasaan teruja dan ingin tahu di kalangan masyarakat, banyak fenomena lain berkaitan angkasa mengalami perkembangan menarik.
Sebenarnya alam semesta tidak ada batasannya. Terdapat banyak objek di angkasa dengan pelbagai bentuk dan pelbagai rupa.

Selain objek semula jadi seperti planet, bintang, bulan, asteroid dan komet, objek buatan manusia seperti satelit, Stesen Angkasa Antarabangsa (ISS) dan prob atau robot kapal angkasa merupakan sebahagian daripadanya.

UFO pula masih mengujakan manusia meskipun tidak ada bukti konkrit mengesahkan kewujudan mereka.
Di sebalik itu semua, pakar astronomi dan astrofizik mempunyai tanggungjawab lain. Antaranya membuat cerapan mengenal objek-objek terbaru berdasarkan isyarat yang diterima.
Pada tahun lepas, sekumpulan pakar astronomi melakar sejarah dalam pemetaan angkasa apabila mereka mengumumkan planet baru.
Apa yang menarik, planet itu mempunyai sifat yang memungkinkan untuk dihuni manusia.
Pencerapan terhadap planet itu dibuat sejak 11 tahun lalu. Tetapi kejayaan dicapai pada penghujung September 2010. Planet tersebut berada di luar daripada sistem suria kita dengan jarak lebih kurang 20.5 tahun cahaya (1.94 x 10 km) dari Bumi.

Penemuan kehadiran planet mengorbit bintang kerdil merah, Gliese 581 itu berada dalam lingkungan buruj Libra.

Selepas penemuan planet yang diberi nama Gliese 581b pada tahun 2005, kumpulan tersebut menemui planet Gliese 581 (c) , (d) ,(e), (f) dan g. Ini merupakan sistem yang mempunyai enam planet.
Pada planet keenam iaitu Gliese 581g didapati mempunyai sifat-sifat yang membolehkan adanya habitat atau dipanggil habitable zone.

Gilese 581 g itu ditemui oleh ahli-ahli astronomi Lick -Carnegie Exoplanet Survey diketuai oleh Prof. Steven Vogt yang merupakan profesor astronomi di Universiti California Santa Cruz bersama Paul Butler dari Institut Carnegie Washington.
Macam mana penemuan?

Menurut pakar astronomi tempatan dari Universiti Malaya , Prof Datuk Dr. Mohd. Zambri Zainuddin, penemuan tersebut berdasarkan pengukuran halaju jejarian sebanyak 122 cerapan dalam tempoh 11 tahun.
Kajian dibuat dengan menggunakan alat High Resolution Echelle Spectrometer (HIRES) yang dipasang di Mauna Kea Hawaii menggunakan teleskop berdiameter 10 meter iaitu Keck 1.

Penemuan juga berjaya dihasilkan dengan gabungan 119 cerapan lagi yang diperoleh dalam tempoh kiraan 4.3 tahun menggunakan High Accuracy Radial Velocity Planet Searcher(HARPS) dengan teleskop berdiameter 3.6 meter La Silla Observatory di Chile kepunyaanEuropean Southern Observatory.
''Selepas ditolak isyarat yang terdahulu yang diketahui pada planet Gliese b, c, d, dan e maka terdapat dua isyarat baru iaitu dua planet tambahan yang masing-masing mempunyai tempoh putaran 445 hari bagi planet f dan 37 hari bagi Gliese 581 g maka ia dikenali sebagai planet baru," ujarnya ketika ditemui di pejabatnya baru-baru ini.
Oleh yang demikian, daripada kaedah tersebut, apa yang dilakukan ialah penyelidik-penyelidik berkenaan telah menyatakan bahawa berdasarkan jumlah pusingan 37 hari itu, data yang sangat jelas telah dikesan dengan hanya menggunakan peralatan HIRES sahaja yang menggunakan teleskop diameter 10 meter.

Manakala untuk set data HARPS sahaja tidak memadai atau mencukupi.

Berdasarkan penemuan tersebut, mereka menggabungkan data-data daripada dua teleskop berkenaan barulah ia menjadi kenyataan dan menerbitkanya dalam jurnal astrofizik bagi menyatakan penemuan bersejarah itu.

Malah Vogt telah menamakan planet Gliese 581g itu sebagai Dunia Zarmina mengambil sempena nama isterinya.

Planet kecil yang lain iaitu dari b hingga ke f dianggap tidak sesuai kerana terlalu kecil sedangkan Zarmina yang berjarak 1.94 x 10 kilometer dari sistem suria kita mempunyai keadaan fizikal yang berbatu dan atmosfera yang sesuai untuk membolehkan kehadiran air.

Berat atau jisimnya ialah antara 3.1 dan 4.3 jisim bumi dan berjejari 1.3 hingga 2.0 jejari Bumi.

Bagaimanapun menurut Mohd. Zambri, Kesatuan Astronomi Antarabangsa (IAU) perlu mengesahkan planet berkenaan memandangkan ada kelemahan daripada data peralatan HARPS .

Ini kerana katanya, dua minggu selepas planet itu dikesan, ahli astronomi Francesco Pepe dari Geneva Observatory (Switzerland) melaporkan bahawa analisis terbaru daripada 179 pencerapan selama 6.5 tahun yang diambil menerusi peralatan HARPS mengesahkan planet tersebut tidak dapat dikesan.

Pepe dengan itu mengesahkan bahawa data Vogts kurang tepat. Vogts pula yakin dengan data yang diperolehnya.

Sementara itu , perbezaan yang timbul daripada dua kumpulan terbabit mungkin berkisar bagaimana planet berkenaan mengorbit bintang kerdil merah berkenaan atau Gliese 581.

Menurut ahli astronomi Institut Teknologi Massachusetts (MIT), Sara Seager, Vogts menetapkan orbit sebagai bulat sempurna manakala Pepe berkata, orbit berkenaan bulat melengkung atau eliptik.

Disebabkan ada kumpulan itu maka, ini mungkin melibatkan ciri- ciri orbit planet ketika buat andaian.

Mengikut Seagar, dari cerapan tambahan dalam beberapa tahun lagi boleh meleraikan isu tersebut meskipun belum disahkan oleh kesatuan.

''Saya yakin IAU akan membuat keputusan dalam tempoh setahun dua untuk mengesahkan planet Gliese 581 g sebagai sah dan diterima," ujar Mohd. Zambri.

Mohd. Zambri menambah dengan penemuan planet tersebut, ia secara logiknya membuktikan bahawa masih ada lagi planet di luar angkasa yang belum ditemui.

Malah katanya, terdapat 12 lagi objek yang perlu disahkan oleh IAU sama ada ia berstatus planet atau sebaliknya.

Utusan 14/03/2011

No comments:

Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...