بسم الله الرحمن الرحيم
Asy-Syeikh Al-Imamul-ajallu Abu Nashr
Muhammad bin Abdurrohman Alhamdaani, semoga rahmat Allah berlimpah ke atasnya,
(ketahuilah) bahawa Zat Pencipta, Yang sangat besar kekuasaan~Nya dan sangat
tinggi kalimat~Nya serta berkesinambungan nikmat~Nya, telah menghiasi tujuh
perkara dengan tujuh perkara, dan menghiasi pula bagi tiap-tiap tujuh perkara
itu dengan tujuh perkara yang lainnya untuk memberitahukan kepada orang-orang
yang berilmu bahawasanya angka tujuh itu mempunyai rahsia yang sangat besar dan
kedudukan yang agung di sisi Allah, Maharaja yang memiliki kemudharatan dam
kemanfaatan.
Pertama
Allah menghiasi udara dengan tujuh lapis langit. Firman Allah yang bermaksud;
“Dan Kami telah membina di atas kamu tujuh petala (langit) yang kuat kukuh?”
[Surah An-Nabaa': 12] Kemudian Allah Menghiasi dengan tujuh bintang. Firman~Nya
yang bermaksud; “Dan demi sesungguhnya! Kami telah menjadikan di langit:
bintang-bintang (yang berbagai bentuk dan keadaan) serta kami hiasi langit itu
bagi orang-orang yang melihatnya.”. [Surah Al-Hijr: 16]
Kedua
Allah telah menghiasi padang yang lapang dengan tujuh lapis bumi. Firman Allah
yang bermaksud; “Allah yang menciptakan tujuh petala langit dan (Ia
menciptakan) bumi seperti itu; perintah Allah berlaku terus menerus di antara
alam langit dan bumi. (Berlakunya yang demikian) supaya kamu mengetahui bahawa
sesungguhnya Allah Maha Kuasa atas tiap-tiap sesuatu, dan bahawa sesungguhnya
Allah tetap meliputi ilmuNya akan tiap-tiap sesuatu.” [Surah At-Thalaaq: 12]
Kemudian Allah menghiasi bumi itu dengan tujuh lautan sebagaimana firmanNya
yang bermaksud; “Dan sekiranya segala pohon yang ada di bumi menjadi pena, dan
segala lautan (menjadi tinta), dengan dibantu kepadanya tujuh lautan lagi
sesudah itu, nescaya tidak akan habis Kalimah-kalimah Allah itu ditulis.
Sesungguhnya Allah Maha Kuasa, lagi Maha Bijaksana.” [Surah Luqman: 27]
Ketiga
Allah telah menghiasi neraka dengan tujuh tingkat iaitu Jahannam, Sa'iir,
Saqar, Jahiim, Huthamah, Ladhaa dan Hawiyah. Kemudian Allah menghiasinya dengan
tujuh pintu, sebagaimana firmanNya yang bermaksud; “Ia mempunyai tujuh pintu;
bagi tiap-tiap sebuah pintu ada bahagian yang tertentu dari mereka (yang sesat
dan menyesatkan itu).” [Surah Al-Hijr: 44]
Keempat
Allah menghiasi Al-Quran dengan tujuh surah yang panjang, kemudian menghiasinya
pula dengan tujuh ayat pembuka kitab (Faatihatul-kitaab). Sebagaimana
firman~Nya yang bermaksud; “Dan sesungguhnya Kami telah memberi kepadamu (wahai
Muhammad) tujuh ayat yang diulang-ulang bacaannya dan seluruh Al-Quran yang
amat besar kemuliaan dan faedahnya.”. [Surah Al-Hijr: 87]
Kelima
Allah telah menghiasi manusia dengan tujuh anggota badan iaitu dua tangan, dua
kaki, dua lutut dan satu wajah. Kemudian menghiasinya dengan tujuh peribadatan
iaitu dua tangan dengan doa, dua kaki dengan berkhidmat, dua lutut dengan duduk
dan muka dengan sujud. FirmanNya yang bermaksud; “Ingatlah! Janganlah engkau
(wahai Muhammad) menurut kehendaknya, dan (sebaliknya) sujudlah dan
dampingkanlah dirimu kepada Allah (dengan taat dan beramal soleh)!” [Surah
Al-Alaq: 19]
Keenam
Allah menghiasi umur manusia dengan tujuh peringkat iaitu pada masa lahirnya
disebut 'radli', kemudian 'fathim', kemudian 'kuhul', kemudian 'syaikh'. Dan
menghias tujuh peringkat umur ini dengan tujuh kalimat iaitu ucapan “Laa Ilaaha
Illallaah Muhammad Rasulullah”. Firman Allah yang bermaksud; “Dan Allah
mewajibkan kepada mereka kalimat taqwa (Laa Ilaaha Illallaah) dan adalah mereka
berhak dengan kalimat taqwa itu dan patut memilikinya”. [Surah Al-Fath: 26]
Ketujuh
Allah menghiasi dunia dengan tujuh negeri yang besar iaitu:
1. Hindustan
2. Hijaz
3. Bashrah, Badiyah dan Kufah
4. Iraq, Sham, Khurasan sampai ke Balakh
5. Roma dan Armenia
6. Negeri Ya'juj dan Ma'juj
7. Cina dan Turkistan.
Kemudian Allah menghiasi tujuh negeri besar dengan tujuh hari iaitu Sabtu,
Ahad, Isnin, Selasa, Rabu, Khamis dan Jumaat. Dan Allah memuliakan dengan tujuh
hari itu dari para nabi iaitu:
1. Hari Sabtu – Allah memuliakan Nabi Musa A.S
2. Hari Ahad – Allah memuliakan Nabi Isa bin Maryam A.S
3. Hari Isnin – Allah memuliakan Nabi Daud A.S
4. Hari Selasa – Allah memuliakan Nabi Sulaiman A.S
5. Hari Rabu – Allah memuliakan Nabi Ya'qub A.S
6. Hari Khamis – Allah memuliakan Nabi Adam A.S
7. Hari Jumaat – Allah memuliakan Nabi Muhammad SAW dan umatnya.
Wallahualam.
Sumber dari Kitab: AS SAB'IYYAATU FII MAWAA'IDHI'LBRITYAAT
Sumber : insaaniyyah.blogspot.com
No comments:
Post a Comment