Wukuf di Arafah adalah kemuncak ibadah
haji. Ketika wukuf di Arafah jemaah bermuhasabah diri menilai kekurangan,
kelemahan, menyedari dosa yang seterusnya memohon keampunan Allah SWT serta
meraih keredaannya.
Jika Allah menerima taubat mereka dan perjalanan hidup seterusnya mereka tidak
lagi melakukan dosa, maka bayangan syurga akan dapat digapai.
Malaikat turun
Ada riwayat menyatakan, kehadiran malaikat dan Allah Taala turun ke langit
serendah-rendahnya menyaksikan jemaah yang wukuf di Arafah.
Rasulullah SAW bersabda: “Mengerjakan haji adalah satu jihad. Perjuangan yang
hebat dan besar adalah perjuangan melawan hawa nafsu. Di dalam ibadah haji,
menentang hawa nafsu menjadi ujian terbesar jika hendak mencapai haji mabrur.
Sesungguhnya hawa nafsu sekiranya tidak dikawal ia akan mendorong manusia ke
lembah kejahatan dan kemungkaran.”
Doa termakbul
Di Padang Arafah, doa kita. Kerana di situ Allah Taala turun ke langit
serendahnya untuk bertemu dan menyaksikan hamba-hamba-Nya yang ingin berjumpa
dengan-Nya, mendengar segala doa dan permohonan hamba-Nya, dan memakbulkan
segala doa-doa mereka. Bahkan Allah memuji kepada hamba-Nya yang datang
berwukuf di Arafah untuk menggapai rahmat dan keampunan-Nya.
Daripada Abu Hurairah, Rasulullah SAW bersabda: “Sesungguhnya Allah SWT memuji
mereka yang sedang wukuf di Arafah kepada penghuni langit dan berkata kepada
mereka: Lihatlah kepada hamba-hamba-Ku yang datang kepada-Ku.” (Riwayat Imam
Ahmad)
Hari wukuf
Amalan yang digalakkan kita yang tidak menunaikan ibadah haji lakukan pada hari
wukuf ialah berdoalah kepada Allah segala yang dihajati bagi kehidupan.
Daripada Saidatina Aisyah, katanya, Rasulullah SAW bersabda: “Tidak ada suatu
hari di mana Allah Taala paling banyak membebaskan hamba-Nya dari neraka selain
dari hari Arafah.” (Sahih Muslim)
Berpuasa pada hari Arafah, adalah digalakkan sebagai amalan terbaik dan dalam
kalangan masyarakat kita di Malaysia tidak kurang juga yang berpuasa pada hari
Arafah untuk mendapat ganjarannya.
Imam Muslim meriwayatkan dari Abu Qatadah, Rasulullah SAW bersabda: “Puasa pada
hari Arafah, saya mengharap Allah akan menghapuskan (dosa) setahun yang lalu
dan setahun yang mendatang.”
Mohon keampunan
Bertaubat, meninggalkan maksiat dan dosa pada hari Arafah, mengharap keampunan
dan rahmat-Nya. Kerana maksiat adalah punca seseorang terhalang daripada
mendapat rahmat Allah.
Diriwayatkan oleh Abu Hurairah, Baginda Nabi SAW bersabda: “Sesungguhnya Allah
tidak suka apabila seseorang hamba-Nya melakukan perkara yang ditegah-Nya.”
(Muttafaqun ‘Alaih)
2012/10/16 - 04:50:14 AM
Oleh : Ibrahim Abdullah
No comments:
Post a Comment