ANUWAR NURSI
4 Oktober 2012
4 Oktober 2012
KEHIDUPAN ini tidak selamanya berjalan
seperti yang kita harapkan. Sekali kita mujur, sekali kita kecewa, sekali kita
rehat dan sekali kita bekerja.
Seorang pemuda, seorang penuntut ilmu dan seorang remaja juga mengalami hal
yang sama. Malah semua orang juga sama. Seseorang sentiasa memerlukan nasihat
dan bimbingan, baik di kala menemui kesulitan mahupun ketika dibelenggu
persoalan.
Jika situasi anakanda juga demikian, mintalah nasihat daripada mereka yang
berpengalaman terutama ulama yang mendalam ilmunya atau mentelaah buku-buku
tulisan mereka. Di situ anakanda boleh boleh memetik mutiara-mutiara ilmu dan
mengamalkannya.
Ayahanda juga bekalkan mutiara nasihat buat tatapan anakanda. Mudah-mudahan
dapat menjadi panduan untuk hari-hari mendatang:
• Badiuzzaman Said Nursi
berkata, “Orang yang mengenal dan taat kepada ALLAH ia akan bahagia meskipun
berada dalam penjara. Orang yang tidak mengenal-NYA akan sengsara meskipun
berada dalam istana.”
• Dalam kitab ‘Ayyuhal
Walad’ Imam Al-Ghazali Rahimahullah berkata, “Wahai anakku yang tercinta,
engkau juga bertanya tentang ikhlas, maka ikhlas itu ialah engkau menjadikan
segala amalan hanya untuk ALLAH Taala dan hatimu tidak merasa senang dengan
pujian manusia dan dirimu juga tidak peduli dengan kecaman mereka.”
• Syeikh Sya’rawi
Rahimahullah berkata, “ALLAH menciptakan manusia agar beriman atau kufur kerana
DIA ingin kita datang kepada-NYA dengan kecintaan bukan terpaksa. Maka ALLAH
menginginkan hati yang khusyuk bukan jasmani yang tunduk.”
• Sayyid Qutb berkata,
“Kehidupan materialisma yang menggugat dunia diumpamakan seperti kagumnya
anak-anak kecil terhadap pakaian berlukis dan mainan berwarna-warni.”
Jangan Suka Menunda
Imam Ibnu ‘Athaillah As-Sakandari adalah anak murid kepada Al-Imam Abul Abbas
Al-Marsy. Beliau mempelajari ilmu tasawuf seperti yang diajarkan oleh Al-Imam
Abul Hasan Al-Syaziliy. Beliau juga seorang wali ALLAH, seorang alim besar dan
juga tergolong dalam barisan sasterawan Arab yang ternama. Beliau
berkata, “Penundaanmu terhadap amal hingga ada waktu luang termasuk kebodohan
jiwa.” Ini adalah masalah yang penting dan kita merasakannya.
Jika ditanya kepada seseorang, “Apakah engkau menelaah kitab?”
Dia akan menjawab, “Tidak ada waktu terluang tapi jika ada kesempatan,
insya-ALLAH aku akan menelaah.”
Jika engkau bertanya, “Apakah engkau berwirid?”
Spontan ia menjawab, “Tidak ada kesempatan...”
Inilah situasi hari ini...
Ramai orang menunda amalan sehingga ada waktu lapang untuk dilaksanakan.
Sedangkan tabiat manusia hari ini sentiasa berada dalam kesibukan. Oleh itu,
barang siapa yang menangguhkan amal ukhrawi dan menunggu sehingga waktu lapang,
maka dia tidak akan dapat melakukannya.
Maka, ambillah pengajaran daripada situasi tadi agar dirimu tidak lalai dan
leka serta bersegera melakukan amalan ukhrawi (berzikir, membaca al-Quran,
qiamullail, menuntut ilmu dan lain-lain. Lakukanlah sekarang. Aturlah jadual
harian dan sisihkan sedikit masa untuk amalan akhirat. Sesungguhnya, memelihara
waktu juga sebahagian daripada sunah Rasulullah s.a.w dan para sahabat.
Daripada Aisyah r.a, beliau berkata, Rasulullah s.a.w bersabda, amal yang
paling dicintai Rasulullah s.a.w adalah amal yang terus-menerus dilakukan oleh
orang yang melaksanakannya. Keluarga Muhammad itu, apabila melakukan suatu
amal, maka mereka sentiasa menekuninya. - Takhrij as-Sittah
Untuk melaksanakannya tidak memerlukan masa tertentu. Misalnya ketika melakukan
tugasan rutin, jadikan tabiat membaca zikir dan wirid tertentu. Ketika waktu
rehat, isikan pula rohani dengan bacaan kalamullah.
Tidak mengapa jika tidak banyak tetapi biarlah berterusan. Di samping menata
amalan-amalan wajib yang lain. Seharusnya kita perlu mempunyai tradisi tertentu
yang sesuai dengan keperluan hati dan kehidupan. Paling penting tidak
membebankan diri.
ALLAH tidak membebani seseorang kecuali sesuai dengan kemampuannya. - Surah
al-Baqarah: 286
Jika anakanda menemui seseorang yang culas dengan amalan-amalan akhirat dan
jika dia berkata tiada kesempatan untuk melaksanakannya, maka itulah petanda
daripada kebodohan jiwanya yang tidak terdidik. Mahukah anakanda
menjadi sepertinya?
Enam Pandangan Apabila Ditimpa Sesuatu yang Tidak Diingini
Imam Ibnul Qayyim Al-Jauziyah, pengarang ‘Zadul Ma’ad’ dan ‘Tibbun Nabawi’ yang
masyhur menulis, ada enam pandangan yang muncul terhadap seorang hamba jika
ditimpa sesuatu yang tidak diingini, sebagaimana berikut:
• Pandangan tentang
tauhid. Iaitu apa yang dikehendaki ALLAH pasti berlaku dan apa yang tidak DIA
kehendaki pasti tidak akan menimpa.
• Pandangan tentang
keadilan. Bahawa hukum-hukum-NYA pasti terlaksana dan keputusan-NYA adalah
adil.
• Pandangan tentang
rahmat. Iaitu rahmat ALLAH pada ketetapan-NYA itu lebih besar daripada murka
dan kebencian-NYA.
• Pandangan tentang
hikmah. Iaitu hikmah kebijaksanaan ALLAH menuntut sesuatu hal dan DIA tidak
menetapkan dan mentakdirkannya dalam keadaan sia-sia.
• Pandangan tentang
tahmid (pujian). Iaitu bagi ALLAH segenap pujian yang sempurna atas
ketetapan-NYA itu.
• Pandangan tentang ubudiyah.
Iaitu hamba yang diberi cubaan adalah ketetapan daripada-NYA. Sebagaimana
ketetapan hukum syariat yang tidak boleh dilanggari.
Orang yang Berpegang kepada Tauhid Tidak
Takut Terhadap Sesuatu pun
Dr. Yusuf Al-Qaradhawi menulis di dalam kitabnya ‘Haqiqatuttauhid’, “Berpegang
dengan tauhid dan akidah yang teguh menjadikan roh menjadi semakin kuat. Ini
kerana jiwanya telah diisi dengan pergantungan kepada ALLAH, diisi dengan
kepercayaan dan tawakal kepada-NYA, rela dengan qadak dan sabar dengan ujian-NYA.
Akidah yang kuat memberi ketenangan dan kedamaian ke dalam jiwa manusia yang
beriman. Jiwa itu tidak akan dimasuki oleh tindakan sewenang-wenangnya. Ia
menutup pintu ketakutan yang telah dibuka oleh manusia itu sendiri.
Takut tentang rezeki, takut terhadap ajal, takut terhadap diri sendiri,
keluarga dan anak, takutkan manusia lain, takut kepada jin, takutkan kematian
dan takut daripada kebangkitan setelah kematian. Orang mukmin yang bertauhid
dan mempunyai akidah yang kuat tidak akan berasa takut kepada siapapun, kecuali
kepada ALLAH.”
Hasrat Hawa Nafsu dan Maksiat Tidak Boleh Diatasi Dengan Kata-Kata Sahaja
Dalam buku yang berjudul ‘Tarbiyatuna Ar-Ruhiyyah’, Syeikh Said Hawwa’
menyatakan, “Pelbagai jenis ibadat dan pendekatan diri kepada ALLAH mengandungi
hikmah tertentu, dan dengan hikmah itulah kehidupan manusia menjadi baik.
Setiap keadaan rohani yang sakit tentulah ada penawarnya dan setiap rohani yang
sihat memiliki jalan dan banyak faktor yang mendokong.
Kederhakaan, keinginan hawa nafsu dan maksiat tidak cukup di atasi dengan
kata-kata sahaja tetapi harus dengan ilmu, amal atau tindakan, keimanan, takwa,
tunduk, warak dan suasana kalbu yang meresap kepada ALLAH. Semua ini ada dalam
pelajaran tazkiyatun nafsi atau penyucian jiwa. Juga disebut sebagai
pelajaran tasawuf.”
Amal soleh, perlaksanaan ibadat dan ajaran Islam itu mempengaruhi kepada
bercahayanya kalbu. Selain itu, iman juga akan bertambah dan grafnya amat sukar
untuk turun. Sehingga akhirnya hati kita mampu mencapai tahap ihsan. Lakukanlah
tanpa henti.
Hakikatnya 'ubudiyah kita kepada ALLAH akan menghasilkan iman yang mantap, kukuh
serta sentiasa berakar di dalam hati. ALLAH S.W.T mensyariatkan kewajipan yang
pelbagai kepada hamba-NYA untuk mereka beramal.
Ini kerana hati manusia memerlukan kurnia spiritual yang banyak.
Fitrahnya, manusia itu musuh syaitan. Maka dengan amal solehlah menjadi benteng
untuk mempertahankan diri daripadanya. Laksanakanlah ia. Buang jauh-jauh
perasaan malasmu itu. Sesungguhnya hanya orang yang berusaha yang memperolehi
hasilnya. Biar kita rugi di sini, jangan pula muflis di akhirat kelak.
No comments:
Post a Comment