pengabdian diri hanya kepada Allah semata-mata. - Gambar hiasan |
Oleh AMINUDIN MANSOR
DALAM kehidupan seseorang insan pendidikan
sangat penting untuk menjadikan hati dan diri seseorang itu sentiasa di bawah
lindungan Allah S.W.T. Tanpa didikan yang betul dan berterusan seseorang itu
mungkin boleh terpesong daripada akidah yang menyebabkan dirinya murtad.
Pendidikan akidah secara berterusan dapat
menjadi benteng kepada gejala sosial dan masalah murtad dalam kalangan umat
Islam. Akidah dalam basa Arab menurut Kamus Dewan Edisi Ketiga dapat
difahami sebagai kepercayaan, keyakinan yang kuat kepada Allah.
Manakala murtad dapat difahami sebagai
perbuatan orang yang telah mengucap dua kalimah syahadat , atau orang yang
keturunan Islam kemudian melakukan sesuatu yang menyebabkan kekafiran. Seperti
sujud kepada berhala secara sukarela. Menghinakan sesuatu yang dilarang oleh
Allah S.W.T, seperti nama-nama Allah S.W.T, sifat-sifat Allah S.W.T, al-Quran,
hadis, hukum syarak, rasul-rasul dan sebagainya.
Sesungguhnya seperti dalam kalimah
syahadat, "Tiada tuhan melainkan Allah dan Nabi Muhammad S.A.W adalah
utusan atau pesuruh Allah," merupakan sumber kesatuan umat Islam. Apabila
seseorang mengucapkan kalimat ini dan dia tidak melanggarnya, maka sejak waktu
itu dia merupakan bahagian yang tidak dipisahkan daripada umat Islam.
Oleh itu, dengan sendirinya orang-orang
yang masih berada di luar Islam, mereka tidak termasuk bahagian daripada umat
Islam ini. Tokoh Islam, Said Hawwa menjelaskan bahawa, orang yang menyatakan
dirinya masuk Islam akan pasrah dan mengarahkan dirinya hanya kepada Allah
S.W.T, mengikut petunjuk-petunjuk Rasulullah S.A.W yang bererti dia telah
menyatakan dirinya untuk terus mengabdi kepada Allah S.W.T dan dengan
sendirinya terbebas daripada segala macam bentuk pengabdian kepada yang lain.
Kesatuan akidah sangat penting bagi menghindarkan
seseorang daripada unsur-unsur yang membawa kepada murtad. Selain itu, akidah
juga boleh menjadi benteng kepada segala ancaman gejala sosial pada masa kini,
khususnya kepada kalangan remaja dan generasi muda.
Kita memahami bahawa, semua manusia diciptakan
oleh Allah SWT dan sebagai umat Islam adalah untuk beribadat kepada-Nya. Allah
SWT berfirman yang bermaksud: Dan Aku tidak menciptakan jin dan manusia
melainkan supaya mereka mengabdi kepada-Ku. (adz-Dzaariyaat: 56)
Mengabdikan diri bermaksud beribadat kepada
Allah SWT dan tidak kepada yang lain. Bagi makhluk yang ingkar dan tidak patuh,
sudah tentulah akan mendapat balasan daripada-Nya.
Justeru, Nabi SAW bersabda yang bermaksud:
"Umat terdahulu selamat (jaya) kerana teguhnya keyakinan dan zuhud. Manakala
umat terakhir kelak akan binasa kerana kebakhilan (harta dan jiwa) dan
cita-cita yang kosong." (Ibnu Abi Ad dunia).
Lantaran itu, pendidikan akidah adalah
teras penting untuk menanamkan keyakinan kepada manusia terhadap keesaan Allah
dengan mengabdikan diri kepada-Nya, menjadi insan soleh yang mendekatkan diri
kepada Allah dan merealisasikan segala tujuan hidup di dunia ini.
Oleh itu, dalam mempelajari akidah, ibu
bapa dan guru perlu mengaplikasikan kaedah pengajaran supaya anak-anak atau
pelajar lebih menghayati tujuan mempelajarinya. Pendidikan akidah adalah teras
penting yang perlu dididik kepada seseorang sejak seseorang itu masih kecil
lagi.
Imam al-Ghazali menegaskan, pendidikan
akidah ini menjadi asas kepada keimanan dan keyakinan manusia terhadap keesaan
Allah yang merupakan asas kepada segala ilmu. Menurutnya, "Mencintai dan
mengamalkan ilmu adalah tanda kecerdasan dan disukai Allah. Barang siapa yang
keluar rumahnya dengan niat untuk mencari ilmu, nescaya dilindungi Allah sampai
dia kembali.
No comments:
Post a Comment