PAK haji dan mak haji itulah gelaran yang
sinonim dengan seseorang setelah kepulangan mereka daripada menunaikan ibadat
haji. Gelaran yang disandang itu akan berkekalan sehingga dia meninggalkan alam
fana ini. Dalam konteks hidup bermasyarakat pula, seseorang itu akan lebih
dipandang berbanding sebelum menunaikan ibadah haji yang cukup istimewa itu.
Gelaran ini begitu dihormati dan disegani
oleh segenap lapisan masyarakat turun-temurun. Alasannya adalah bermula nenek
moyang kita menunaikan ibadah haji membawa reputasi yang cukup disegani.
Zaman dahulu teknologi tidak secanggih
sekarang. Para jemaah haji melaksanakan ibadah haji bukan menggunakan kapal
terbang tetapi menggunakan kapal laut yang dianggap kenderaan tercanggih pada
ketika itu.
Mereka berangkat ke tanah suci dengan
persiapan rohani, jasmani dan material selengkap yang mungkin dengan seikhlas
hati. Perjalanan pergi dan pulang tersebut memakan masa berbulan-bulan lamanya.
Para jemaah haji ketika itu mengambil
kesempatan ketika dalam perjalanan yang lama ini untuk menuntut ilmu agama
dengan para ulama yang berada bersama rombongan mereka bagi memantapkan lagi
pengetahuan agama serta persiapan mereka.
Ada juga tidak ketinggalan untuk bertalaqi
kitab dengan para ulama yang berada di tanah suci mengikut kesempatan masa
panjang yang dimiliki. Maka kepulangan mereka ke tanah air sudah pasti sarat
dengan pengalaman serta ilmu agama.
Lantaran itu, layakkah mereka disapa dengan
gelaran Pak Haji dan Mak Haji disebabkan ibadah haji adalah simbol kesolehan,
ketakwaan, tawaduk, zuhud dan sebagainya.
Tetapi malangnya dewasa ini reputasi
tersebut semakin pudar, ekoran nilai-nilai Islam dalam diri semakin merudum
walaupun seseorang itu menyandang gelaran pak haji dan mak haji.
Karakter mereka kembali kepada asal
sebagaimana sebelum berangkat ke tanah suci. Maka layakkah panggilan pak haji
dan mak haji itu? Hanya diri sendiri yang mampu memberi jawapan yang paling
tepat dalam memperbaiki diri.
Ibadah haji adalah suatu perjalanan yang
suci, membawa diri ke negeri kedamaian untuk menyahut panggilan Rabbul Alamin.
Perjalanan yang indah mendamaikan hati, menyentuh perasaan, menenangkan
sanubari, serta nostalgia indah dalam kehidupan bertujuan mendapatkan haji
mabrur yang dijanjikan syurga oleh Allah SWT.
Rasulullah SAW bersabda: Haji mabrur
itu tiada ganjaran di sisi Allah kecuali syurga. (Muttafaqun alaih)
Ketika merenung sejenak implikasi haji
mabrur, Rasulullah SAW pernah ditanya oleh seorang lelaki berkenaan implikasi
haji mabrur, baginda menjawab: "Suka memberi bantuan terhadap orang lain
dan baik tutur bicaranya." (riwayat Ahmad).
Berdasarkan hadis tersebut, haji yang
mabrur akan mengubah watak pak haji dan mak haji menjadi insan yang pemurah
lagi terpuji akhlaknya. Pak haji dan mak haji akan memiliki sifat rasa empati
terhadap orang lain serta lenggok bahasanya amat membekas di hati, terpancar
nilai-nilai Islam.
ARKIB : 26/10/2012
Oleh ABDUL ARHAM MAT - pelajar Sarjana Syariah dari Universiti Kebangsaan Malaysia (UKM), Bangi, Selangor.
No comments:
Post a Comment