Setiap individu memikul tanggungjawab dan kewajipan tertentu. Tanggungjawab itu harus dilaksanakan dengan baik. Daripada tanggungjawab itulah manusia dinilai, diukur dan diklasifikasikan sebagai manusia yang ada kredibiliti atau manusia yang tiada kredibiliti.
Apabila masyarakat memiliki kredibiliti yang baik, tentu sistem kehidupan masyarakat tersebut akan berjalan dengan baik, harmonis, indah dan menenteramkan. Ibarat sebuah motor, ketika lampu depan tidak berfungsi, maka perjalanan akan terganggu ketika menyusuri jalan pada malam hari.
Demikian juga dengan kehidupan kita, apabila ada orang yang tidak disiplin, tentu akan sangat mengganggu sistem kehidupan bermasyarakat kita. Apalagi jika yang tidak berfungsi itu ialah orang yang memegang amanah rakyat, makin tidak keruanlah keadaannya.
Siapa yang tidak kenal Umar bin Khattab, sahabat Nabi s.a.w yang terkenal
sangat berani. Tidak seorangpun daripada kalangan orang-orang Quraisy yang berani menghalang Umar tatkala
dirinya menyatakan kepada seluruh warga Makkah bahawa esok hari dia akan
hijrah ke Madinah dan bergabung bersama barisan kaum Muslimin.
Keberanian Umar sungguh sangat luar biasa.
Namun demikian Umar juga punya rasa takut sangat luar biasa. Pernah suatu
ketika, dia sedang meronda pada malam hari, dia menjumpai sebuah rumah yang di
dalamnya terdengar suara tangisan anak-anak. Umar pun segera masuk dan bertanya
keadaan apa yang menyebabkan si anak itu menangis.
Setelah mengerti bahawa ternyata seharian
anak-anak itu tidak makan, Umar bergegas menuju Baitulmal, mengambil dan
memikul sekarung gandum pada tengah malam gelap gelita. Ketika pengawalnya
menawarkan diri untuk memikulkannya, dengan singkat Umar menjawab, “Apa kamu
sanggup memikul dosa-dosa Umar pada hari kiamat?” Langkah Umar ini patut kita
teladani.
Bagaimana kita berupaya menjalankan segala
tanggungjawab yang merupakan kewajipan kita? Sebagai seorang khalifah, bukan
Umar tidak punya menteri, pasukan, atau kenderaan untuk mengangkat gandum itu. Juga
bukan bererti salah jika Umar meradang, lalu mengumpulkan seluruh menteri dan
stafnya untuk diberi taklimat tentang tugas-tugas seperti itu.
Tapi Umar sedar bahawa dirinya menjadi
khalifah ialah amanah daripada Allah SWT. Umar sangat takut kalau Allah murka
padanya kerana dia tidak mahu bertindak dan berbuat sesuatu sebaliknya hanya
suka marah kepada orang bawahan tanpa memberikan penyelesaian konkrit atas
kepemimpinannya.
Keputusannya meronda dan menyiasat pada
malam hari untuk mengetahui situasi dan keadaan sebenar masyarakatnya juga
merupakan satu tanggungjawab yang sangat luar biasa. Bahkan kerana rasa
takutnya yang luar biasa kepada Allah SWT, Umar sempat menyatakan bahawa,
“Apabila ada anak kambing terperosok kerana jalan rosak, Umarlah yang
bertanggungjawab di dunia dan akhirat.”
Sumber : Buka Minda MIDI oktober 2012
No comments:
Post a Comment