MASJIDIL Haram
merupakan masjid tertua di dunia. Dalam bahasa Arab, Masjidil Haram bererti
masjid yang dihormati atau dimuliakan. Masjidil Haram terletak di tengah-tengah
kota Mekah. Sejak tahun kelapan kerasulan Nabi Muhammad SAW, baginda menjadikan
Masjidil Haram sebagai tempat ibadah umat Islam.
Oleh hal yang
demikian itu, masjid ini menjadi tumpuan umat Islam dari berbagai-bagai penjuru
dunia untuk melakukan ibadah haji, umrah, solat dan menuntut ilmu. Mereka
datang daripada pelbagai mazhab.
Kaabah
Di tengah-tengah
Masjidil Haram terletaknya Kaabah. Bangunan terpenting dalam Masjidil Haram
adalah Kaabah, yang berbentuk kiub dan disebut juga Baitullah (Rumah Allah),
Baitulatiq (Rumah Kuno), dan Baitulharam (Rumah Suci).
Di dalam masjid
ini juga terdapat makam Ibrahim (bekas tapak kaki Nabi Ibrahim as pada batu
ketika membina atau mendirikan Kaabah), Hajar Aswad (batu hitam) dan telaga
zamzam.
Masjidil Haram
merupakan sebuah kompleks bangunan yang berbentuk empat persegi yang
mengelilingi Kaabah. Masjid ini terletak di atas tanah empat segi di
tengah-tengah kota Mekah. Keadaan Masjidil Haram pada masa Nabi SAW dan Saidina
Abu Bakar tidaklah seluas sekarang.
Pada zaman Saidina
Umar dan Uthman, masjid ini diperluaskan dan dibina dinding di sekelilingnya.
Kerja-kerja pembaikan terus dilakukan sehingga pemerintahan Umaiyah.
Usaha untuk
memperindahkan bangunan ini secara besar-besaran dilakukan pada zaman Kerajaan
Abasiyah. Ketika Sultan Salim II (1566-1574 M) dari kerajaan Uthmaniah
memerintah, baginda beberapa kali memperbaiki dan menambah bangunan berupa atap
kecil.
Kerana tuntutan
zaman dan perkembangan umat Islam, Masjidil Haram hingga kini terus menerus
diperluas dan diperindah oleh pemerintahan kerajaan Arab Saudi.
Menara
Di sekeliling
masjid ini terdapat tujuh buah menara yang menjulang tinggi. Ketujuh-tujuh
menara itu masing-masing mempunyai nama trendier iaitu: Bab al-Umrah, Bab
al-Hazurah, Bab as-Salam, Bab az-Ziadah, Bab al-Ali, Sulaimaniah, dan Kait Bai.
Menara-menara ini turut menjadi model masjid di seluruh dunia.
Masjidil Haram
memiliki keutamaan yang tersendiri bagi umat Islam. Hal ini berdasarkan sabda
Nabi Muhammad SAW yang bermaksud: "Janganlah memberatkan untuk mengadakan
perjalanan kecuali ke tiga masjid: Masjidil Haram, masjidku (Masjid Nabawi di
Madinah), dan Masjidil Aqsa. Solat di Masjidil Haram lebih utama daripada
100,000 kali solat di masjid lain kecuali di Masjidil Aqsa." (riwayat
ad-Darimi, an-Nasai' dan Ahmad)
Telaga zamzam
Telaga zamzam
terletak di bahagian tenggara Kaabah dengan kedalaman 140 kaki. Telaga ini juga
disebut Telaga Ismail. Pada masa Abdul Mutalib sebagai pembesar Mekah, telaga
ini tertutup tanah. Beliau melakukan penggalian dan seterusnya telaga ini
berada di bawah pengawasannya.
Masjid ini
ditutupi dengan atap dan dilengkapi dengan menara, tiang-tiang kecil tempat
lampu penerang dan kubah-kubah kecil (152 buah). Tiang setinggi 20 kaki
(sekitar 6m) dan berdiameter 1.5 kaki (sekitar 0.5m) berjumlah 589 buah. Setiap
tiga tiang diselangi dengan satu tiang besar dengan ketebalan sekitar 4 kaki
(sekitar 1.2m).
Di bahagian utara
pula terdapat satu tiang merah dan satu tiang abu-abu kemerah-merahan, manakala
di bahagian timur terdapat dua tiang abu-abu. Di bahagian loteng atau lelangit
terdapat ukiran kaligrafi ayat-ayat al-Quran dan perhiasan. Pada bahagian
tembok pula terdapat batu yang bertuliskan Muhammad, Abu Bakar, Umar, Uthman,
Ali dan Asma ul Husna
ARKIB : 23/10/2012
No comments:
Post a Comment