Sembelihan terhadap binatang kena ikut
kaedah syarak ditetapkan
Pada setiap 10 Zulhijjah, umat Islam akan menyambut kedatangan hari kebesaran
Islam Aidiladha atau hari raya korban. Pada hari itu, umat Islam mengadakan
solat sunat hari raya dan menyembelih binatang ternakan seperti unta, lembu,
kerbau dan kambing untuk dikorbankan.
Penyembelihan korban dilakukan selepas
selesai solat Aidiladha dan masih dapat dilakukan pada hari tasyrik iaitu 11,12
dan 13 Zulhijjah.
Ibadah korban dibahagikan kepada dua iaitu
korban khusus membabitkan penyembelihan binatang tertentu pada Aidiladha dan
tiga hari selepasnya dengan tujuan mendekatkan diri kepada Allah SWT, manakala
korban umum ialah pengorbanan yang memberi manfaat serta kebaikan kepada orang
lain.
Amalan nabi dan rasul
Korban disyariatkan oleh Allah SWT bukanlah amalan sia-sia melainkan mendapat
ganjaran daripada Allah SWT. Harta benda membabitkan wang ringgit dan binatang
ternakan yang dikorbankan tetap dinilai oleh Allah dan diganti dengan ganjaran
pahala.
Sesungguhnya, ibadat korban menjadi amalan sebahagian nabi dan rasul yang
bermula pada zaman Nabi Allah Adam apabila kedua-dua puteranya Habil dan Qabil
mempersembahkan korban masing-masing kepada Allah.
Kedua-duanya diperintah Nabi Allah Adam melakukan korban kepada Allah sebagai
syarat memperisterikan saudara perempuan mereka bernama Iqlimiah yang juga
saudara kembar Qabil yang cantik sedangkan saudara kembar Habil bernama Layuza
tidaklah sejelita Iqlimiah.
Kedua-duanya akur dengan kehendak Nabi Allah Adam dan melakukan korban seperti
yang diminta. Habil mengorbankan seekor kibas gemuk berbanding Qabil yang
mempersembahkan hasil tanaman berupa gandum yang sedikit serta busuk.
Ternyata korban Habil diterima Allah SWT berikutan keikhlasan dan ketakwaannya
sekali gus berhak mengahwini Iqlimiah manakala korban Qabil ditolak. Kisah
pengorbanan dua bersaudara ini dijelaskan oleh Allah dalam al-Quran.
Firman Allah SWT:
“Ceritakanlah kepada mereka kisah yang berlaku sebenarnya terhadap kedua-dua putera Adam (Habil dan Qabil), iaitu ketika kedua-duanya mempersembahkan korban masing-masing. Lalu Allah menerima korban salah seorang daripadanya mereka berdua (Habil) dan tidak diterima yang lain (Qabil). Berkata (Qabil): Aku pasti membunuhmu! Berkata Habil: Sesungguhnya Allah hanya menerima (korban) daripada orang yang bertakwa.” (Surah al-Maidah, ayat 27)
Pengorbanan yang agung dan besar berlaku kepada Nabi Allah Ibrahim yang
diperintah Allah menyembelih anak kesayangannya Nabi Allah Ismail. Ketaatan dan
ketakwaan kepada Allah mendorong Nabi Ibrahim melaksanakan korban walaupun
terpaksa menyembelih anak kesayangan.
Pengorbanan Nabi Ibrahim
Pengorbanan itu membuktikan Nabi Allah Ibrahim berjaya diuji Allah SWT yang
diwahyukan melalui mimpi dan Nabi Allah Ismail diganti dengan seekor kibas
gemuk yang disifatkan Allah sebagai sembelihan agung.
Rasulullah SAW bersabda: “Tidak beramal seseorang anak Adam pada Aidiladha
melainkan menyembelih binatang korban yang menjadi amalan disukai oleh Allah.
Sesungguhnya pada hari kiamat nanti binatang korban itu akan datang bersama
tanduknya, kukunya dan bulunya dan sesungguhnya darah yang tumpah di suatu
tempat akan diterima oleh Allah sebelum tumpah di atas tanah, maka perelokanlah
korban kamu.” (Riwayat al-Hakim, Ibn Majah dan al-Tarmizi)
Tanda kesyukuran
Melakukan sembilan korban adalah tanda kesyukuran kepada Allah terhadap segala
nikmat yang dikurniakan selain berperanan mengkifaratkan dosa serta menunjukkan
simpati dan belas kasihan kepada golongan fakir miskin sekali gus mengeratkan
silaturahim sesama manusia.
Penulis yang berpeluang menyertai kursus penyembelihan dan berpengalaman
menyembelih korban di sekitar Gombak sejak 1997 meminta penyembelih sama ada
ketika ibadah korban atau penyembelihan industri melakukannya berdasarkan hukum
syarak.
Haiwan yang disembelih tidak mengikut kaedah syarak adalah bangkai dan najis.
Oleh itu, syarat ditetapkan seperti putus urat yang wajib iaitu urat halkum
(salur pernafasan) dan marih (saluran pemakanan) perlu diperhatikan dengan
betul.
Haiwan sembelihan yang diproses hendaklah mematuhi kehendak kebersihan dan
piawaian pengendalian. Justeru, penting bagi individu Muslim dan syarikat
pengurusan penyembelihan mematuhi kehendak ditetapkan Islam.
Bekas Pengarah Institut Penyelidikan Produk Halal (IPPH) Universiti Putra
Malaysia (UPM), Allahyarham Prof Dr Yaakob Che Man, pernah menyatakan
penyembelihan bukan sekadar memutuskan urat leher haiwan supaya daging haiwan
halal dimakan tetapi merangkumi konsep pengurusan penyembelihan lebih luas dan
menyeluruh membabitkan seluruh rantaian makanan bermula dari ladang hingga
kepada pengguna.
Oleh : Zabidi Hitam
2012/10/16 - 04:55:27 AM
No comments:
Post a Comment