SEJAK lama dahulu, permainan judi telah
dikenal oleh manusia. Pada zaman Jahiliah, masyarakat Arab sangat gemar bermain
judi. Mereka menyebut permainan itu sebagai al- Masyir.
Pada masa itu, mereka tahu dua bentuk judi
iaitu, al-mukhatarah dan al-tajzi'ah. Para ulama bersepakat
bahawa judi adalah haram dalam hukum Islam, sesuai dengan firman Allah SWT
dalam surah al-Baqarah ayat 219.
Al-mukhatarah
Bentuk permainan al-mukhatarah,
seperti yang diriwayatkan oleh Ibnu Abbas merupakan permainan yang melibatkan dua
orang atau lebih yang mempertaruhkan harta dan isteri dalam sesuatu permainan.
Orang yang menang berhak mengambil harta
dan isteri pihak yang kalah. Harta dan isteri yang sudah menjadi milik pemenang
dapat diperlakukan sesuka hati. Jika suka, dia boleh mengahwininya. Jika tidak,
wanita itu hanya dijadikan hamba atau gundik.
Al-tajzi'ah
Dalam at-tajzi'ah, 10 orang bermain
kad daripada potongan kayu. Ada 10 keping kad, tujuh kad diberi angka satu
hingga tujuh dan tiga kad kosong, sehingga semua angkanya berjumlah 28.
Kemudian seekor unta dipotong menjadi 28 bahagian.
Setiap peserta diundi untuk mengambil
potongan daging sesuai dengan angka pada kad yang didapatinya. Tiga peserta
yang mendapat kad kosong dianggap kalah dan harus membayar harga unta.
Mereka yang menang saling membanggakan diri
dengan menyebut nama suku mereka. Permainan ini sering kali berakhir dengan
perselisihan, bahkan peperangan.
Kesan terhadap masyarakat
Amalan judi dan minum arak telah diterima
oleh sebahagian besar masyarakat sebagai amalan yang boleh memudaratkan
institusi kekeluargaan.
Judi bukan sahaja boleh menjejaskan
kemampuan kewangan seseorang individu tetapi juga boleh melalaikan dan
melekakan seseorang itu daripada menunaikan tanggungjawabnya kepada Allah s.w.t
dan mereka yang di bawah tanggungan seseorang itu.
Dosa besar
Para ulama setuju bahawa hukum berjudi
adalah haram dalam Islam. Hal ini didasarkan pada firman Allah SWT yang
bermaksud: Mereka bertanya kepadamu (wahai Muhammad) mengenai arak dan judi.
Katakanlah: Ada. Kedua-duanya ada dosa besar dan ada pula beberapa manfaat
bagi manusia, tetapi dosa kedua-duanya lebih besar daripada manfaatnya… (al-Baqarah:
219)
Dalam ayat lainnya disebut bahawa judi
termasuk dalam perbuatan syaitan, sehingga kita mesti menjauhinya sebagaimana
firman-Nya yang bermaksud: Wahai orang-orang yang beriman! Bahawa
sesungguhnya arak, dan judi, dan pemujaan berhala, dan mengundi nasib dengan
batang-batang anak panah, adalah (semuanya) kotor (keji) dari perbuatan
Syaitan. Oleh itu hendaklah kamu menjauhinya supaya kamu berjaya. (al-Maidah:
90)
Alasan diharamkan judi juga dijelaskan
dalam ayat berikutnya yang bermaksud: Sesungguhnya syaitan itu hanyalah
bermaksud mahu menimbulkan permusuhan dan kebencian di antara kamu dengan sebab
arak dan judi, dan mahu memalingkan kamu daripada mengingati Allah dan daripada
mengerjakan sembahyang. Oleh itu, mahukah kamu berhenti (daripada melakukan
perkara-perkara yang keji dan kotor itu atau kamu masih berdegil)? (a-Maidah:
91)
Al-maysir
Dalam bahasa Arab, judi disebut al-Maysir,
yang berasal daripada akar kata yasira atau yasura yang
bererti menjadi mudah atau yasara (memudahkan). Hal ini dapat
difahami kerana judi menjanjikan keuntungan tanpa melalui cara yang wajar
sebagaimana diajarkan dalam Islam.
Muhammad Rasyid Ridha, cendekiawan Islam
yang berasal dari Mesir menafsirkan kata maysir dalam al-Quran
sebagai permainan untuk mencari keuntungan tanpa menggunakan akal dan
bekerja keras.
ARKIB : 16/10/2012
No comments:
Post a Comment