بِسۡمِ ٱللهِ ٱلرَّحۡمَـٰنِ ٱلرَّحِيمِ
Dengan nama Allah, Yang Maha Pemurah, lagi Maha Mengasihani. Artikel-artikel yang disiarkan di sini adalah sebagai rujukan dan simpanan peribadi pemilik blog ini. Kebanyakannya diambil daripada sumber-sumber yang dinyatakan. Segala pendapat dalam penulisan ini adalah pendapat penulis artikel yang sebenar. Jika ada kekeliruan tuanpunya blog ini menyarankan supaya bertanya kepada penulis asal. Semoga memberikan manfaat kepada pembaca.

Sunday, October 21, 2012

fsir Surah Yasin - Amaran kepada yang lalai



Oleh DR. ZULKIFLI MOHAMAD AL BAKRI

SEPERTI yang diketahui, al-Quran sebagai perlembagaan hidup bagi manusia yang dengannya kita akan mendapat petunjuk daripada Ilahi. Pengalaman dan tajribah kehidupan bagi manusia jelas menunjukkan bahawa ketenangan dan kedamaian hati dalam merentasi kehidupan paling agung dan mulia berlaku pada zaman Rasulullah SAW yang benar-benar mengamalkan al-Quran dalam kehidupan mereka.

Firman Allah SWT: 


A005
Al-Quran itu diturunkan oleh Allah Yang Maha Kuasa lagi Maha Mengasihani. (Yasin: 5)
Ibnu Kathir berkata: "Jalan yang benar ini dengan manhaj dan agama adalah dibawa oleh Rasulullah SAW melalui turunnya daripada Allah yang bersifat rahmat kepada sekalian hamba-Nya yang beriman."

Sayid Qutub berkata: "Dia melakukan terhadap mereka apa yang dikehendaki-Nya bertujuan mengurniakan rahmat kepada mereka. Hikmah diturunkan al-Quran untuk memberi amaran dan menyampaikan dakwah."

Firman Allah SWT: 


A006
Supaya engkau memberi peringatan dan amaran kepada kaum yang datuk neneknya telah lama tidak diberikan peringatan dan amaran sebab itulah mereka lalai. (Yasin: 6)
Ibnu Kathir berkata: "Dikehendaki dengan qaum di sini ialah orang Arab."

Syed Qutub berkata: "Lalai merupakan penyakit yang amat merosakkan hati, kelak ia menjadi cuai menjalankan tugas. Oleh itu, amaran itu amat sesuai untuk menghadapi kelalaian kaum Musyrikin Mekah. Mereka telah berlalu generasi demi generasi tanpa diberi peringatan dan amaran. Mereka adalah zuriat Ismail. Mereka tidak dipimpin oleh mana-mana rasul selepas Nabi Ismail as."

Justeru, amaran dan peringatan boleh menyedarkan orang-orang yang lalai kerana datuk dan nenek mereka tidak pernah didatangi rasul.

Firman Allah SWT: 


A007
Demi sesungguhnya, telah tetap hukuman seksa atas kebanyakan mereka kerana mereka tidak mahu beriman. (Yasin: 7)
Al-Qurtubi berkata: "Telah wajiblah balasan azab atas kebanyakan mereka dengan peringatan-Mu sekalipun mereka kebanyakannya tidak beriman. Ini bagi golongan yang telah sabit dalam ilmu Allah bahawa mereka mati dalam kufur."

Sayid Qutub berkata: "Allah SWT telah memutuskan perkara mereka dan ketetapan takdir-Nya telah pun ditetapkan di atas kebanyakan ilmu-Nya yang mengetahui hakikat diri mereka, mengetahui perasaan mereka kerana tidak beriman. Itulah kesudahan terakhir kerana jiwa mereka telah terhijab daripada hidayah dan telah dipalingkan daripada melihat dan menghayati bukti-bukti hidayah. Di sinilah al-Quran menggambarkan keadaan jiwa mereka dalam bentuk fizikal."

Firman Allah SWT: 


A008

A009
Sesungguhnya Kami telah memasang belenggu di leher mereka; lalu tangan mereka (diangkat) ke dagu, maka kerana itu, mereka terdongak. Dan Kami adakan di hadapan mereka dinding dan di belakang mereka dinding (pula) dan Kami tutup (mata) mereka sehingga mereka tidak dapat melihat. (Yasin: 8-9)

Al-Qurtubi berkata: "Ayat ini diturunkan kepada Abu Jahal dan dua sahabatnya yang pernah bersumpah jika melihat Muhammad solat, nescaya akan ditusuk atau dilempar kepalanya dengan batu."

Syed Qutub berkata: "Tangan mereka diikat dengan belenggu sehingga ke leher mereka dan diletakkan di bawah dagu mereka menyebabkan kepala mereka terdongak ke atas. Mereka tidak dapat melihat ke hadapan. Oleh yang demikian, mereka tidak mempunyai kebebasan untuk melihat dan memandang. Mereka dihijabkan daripada kebenaran dan hidayat."

Mereka didindingkan di hadapan dan di belakang mereka. Andainya ikatan belenggu itu dilonggarkan dan mereka pun dapat melihat namun penglihatan mereka tidak akan dapat menembusi tembok-tembok dan dinding-dinding itu. Jalan melihat telah ditutup kepada mereka dan mata mereka telah menjadi kabur.

Demikianlah bandingan orang yang selalu menentang al-Quran dengan keingkaran dan kekufuran sedangkan Kalam Suci itu membentangkan hujah dan dalil yang jelas dan begitu berpengaruh, sukar ditandingi oleh sesiapa pun.

Al-Maghari berkata: "Mereka terpenjara dalam kebodohan sehingga tidak dapat melihat bukti-bukti kekuasaan Allah SWT yang ada dalam diri mereka atau yang ada di alam semesta. Mereka tidak mahu berfikir tentang kehancuran orang terdahulu yang mendustakan rasul ataupun berfikir tentang masa hadapan mereka."

Firman Allah SWT: 


A010
Dan (dengan sebab itu) sama sahaja kepada mereka, engkau beri amaran atau engkau tidak beri amaran kepadanya, mereka tidak akan beriman. (Yasin: 10)

Ibnu Kathir berkata: "Allah khatamkan orang-orang kafir dengan kesesatan. Justeru, sebarang peringatan tidak memberi faedah kepada mereka dan juga sebarang kesan."

Syed Qutub berkata: "Allah SWT membuat keputusan-Nya terhadap mereka kerana Dia mengetahui hati sesiapa pun yang tidak beriman. Amaran itu tidak berguna kepada hati yang tidak bersedia untuk menerima iman."



ARKIB : 19/10/2012 

No comments:

Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...