Oleh DR. ZULKIFLI MOHAMAD AL BAKRI
DALAM ayat-ayat yang terdahulu, Allah SWT
menerangkan perihal orang musyrik yang ditutupi hatinya oleh Allah SWT sehingga
mereka tidak beriman. Dalam ayat-ayat yang berikutnya pula, Allah SWT menyebut
suatu kaum yang mempunyai tingkah laku yang sama dengan mereka daripada segi
kekafiran dan kemusyrikannya. Mereka yang dimaksudkan ialah penduduk Antakiyyah
di negeri Syam (Syiria). Kisah mereka dengan rasul adalah sama dengan kisah
kamu dengan kaummu.
Firman Allah SWT:
Dan ceritakanlah kepada mereka satu keadaan yang ajaib mengenai kisah penduduk sebuah bandar (yang tertentu) iaitu ketika mereka didatangi rasul-rasul (Kami) Ketika Kami mengutus kepada mereka dua orang rasul lalu mereka mendustakannya, kemudian Kami kuatkan (kedua rasul itu) dengan rasul yang ketiga, lalu rasul-rasul itu berkata: Sesungguhnya kami ini adalah diutuskan kepada kamu. (Yasin: 13-14)
Dan ceritakanlah kepada mereka satu keadaan yang ajaib mengenai kisah penduduk sebuah bandar (yang tertentu) iaitu ketika mereka didatangi rasul-rasul (Kami) Ketika Kami mengutus kepada mereka dua orang rasul lalu mereka mendustakannya, kemudian Kami kuatkan (kedua rasul itu) dengan rasul yang ketiga, lalu rasul-rasul itu berkata: Sesungguhnya kami ini adalah diutuskan kepada kamu. (Yasin: 13-14)
Syed Qutub berkata: Al-Quran tidak menyebut
siapakah penduduk sebuah negeri itu dan tidak menyatakan negeri itu. Begitu
banyak pendapat dan pandangan mengenainya. Apabila al-Quran tidak menyebut
tentang negeri itu, maka ia merupakan satu dalil bahawa penentuan nama dan
tempat negeri itu tidak menambahkan sesuatu kepada makna dan saranan cerita
tersebut.
Negeri itu yang diutuskan Allah SWT kepada
dua orang rasul sebagaimana Allah mengutuskan Musa dan saudaranya Harun as
kepada Firaun dan konco-konconya. Kemudian penduduk negeri itu telah
mendustakan kedua-duanya lalu Allah SWT menegaskan mereka adalah utusan-Nya.
Kemudian ketiga-tiga rasul tampil mengemukakan dakwah mereka.
Menurut pendapat sebahagian ahli tafsir,
antaranya Qatadah dan pentafsir yang lain, dimaksudkan utusan-utusan dalam ayat
di atas adalah utusan Nabi Isa as yang terdiri daripada para Hawariyyin yang
diutuskan untuk menemui penduduk Antakiyyah. Ini juga pendapat yang dinukilkan
daripada al-Qurtubi.
Manakala pendapat Ibnu Abbas yang banyak
diterima oleh ulama tafsir, bahawa utusan yang dimaksudkan dalam ayat tersebut
ialah rasul-rasul Allah SWT yang diutus sebagai pembantu Nabi Isa as yang
mengakui syariatnya seperti perutusan Nabi Harun as untuk membantu Nabi Musa
as.
Al-Magahri berkata: Pendapat yang masyhur
mengatakan kedua-dua utusan yang pertama dikenali sebagai Yuhana dan Paulus,
manakala utusan ketiga dikenali sebagai Sham'un.
Firman Allah SWT:
Penduduk bandar itu menjawab: Kamu ini tidak lain hanyalah manusia seperti kami juga, dan Tuhan Yang Maha Pemurah tidak menurunkan sesuatupun (tentang agama yang kamu dakwakan) kamu ini tidak lain hanyalah berdusta. (Yasin: 15)
Penduduk bandar itu menjawab: Kamu ini tidak lain hanyalah manusia seperti kami juga, dan Tuhan Yang Maha Pemurah tidak menurunkan sesuatupun (tentang agama yang kamu dakwakan) kamu ini tidak lain hanyalah berdusta. (Yasin: 15)
Ibnu Kathir berkata: Kaum mereka
mendustakan para nabi.
Syed Qutub berkata: Bantahan mereka kerana
rasul itu manusia menampakkan kejahilan tentang tugas seorang rasul. Mereka
selamanya mengharapkan rahsia pada sahsiah seorang rasul daripada mengharapkan
kehidupan seorang rasul itu tersembunyi. Itulah kedangkalan kefahaman dan
pandangan.
Rahsia dan teka-teki bukanlah sifat kenabian
dan kerasulan. Risalah itu sistem Ilahi yang dapat dihayati manusia dan
kehidupan seseorang rasul merupakan teladan yang diseru olehnya untuk dicontohi
kaum masing-masing.
Oleh yang demikian, kehidupan Rasulullah
SAW terdedah kepada pandangan umatnya. Al-Quran sendiri telah merakamkan
semuanya agar ia dapat dilihat oleh umatnya sepanjang zaman. Tetapi hakikat
yang amat jelas ini masih terus menjadi bantahan manusia.
Firman Allah SWT:
Rasul-rasul berkata: Tuhan kami mengetahui bahawa sesungguhnya kami adalah Rasul-rasul yang diutus kepada kamu. Dan tugas kami hanyalah menyampaikan perintah-perintah-Nya dengan cara yang jelas nyata. (Yasin: 16-17)
Syed Qutub berkata: Allah SWT mengetahui
hakikat yang sebenar. Kewajipan rasul-rasul menyampaikan perintah Allah SWT dan
selepas itu manusia bebas menentukan pilihan mereka. Para pendusta pula tidak
senang dengan dakwah para rasul dan sentiasa mencari jalan untuk menidakkan
segala ajaran dan perintah Allah SWT. Mereka melakukan pelbagai cara bagi
menghalang dakwah para rasul dengan cara yang kasar dan pelbagai ancaman yang
bertujuan menakutkan nabi dan rasul.
Al-Magahri berkata: Tugas kami hanyalah
menyampaikan risalah Tuhan kami dengan jelas, sama ada kamu percaya atau tidak,
itu bukan urusan kami. Setelah mereka kehabisan hujah untuk menentang
rasul-rasul tersebut, mereka mula mengemukakan ancaman untuk menakutkan
rasul-rasul itu.
Berdasarkan nas di atas jelas menunjukkan
bahawa rasul mempunyai sifat yang unggul dan terpuji. Allah maksumkan mereka
daripada sebarang kejahatan dan kesalahan serta perkara yang tercela terbit
daripada mereka.
Firman Allah SWT:
Penduduk bandar itu berkata pula: Sesungguhnya kami merasa nahas dan malang dengan sebab kamu. Demi sesungguhnya, kalau kamu tidak berhenti (dari menjalankan tugas yang kamu katakan itu), tentulah kami akan merejam kamu dan sudah tentu kamu akan merasai dari pihak kami azab seksa yang tidak terperi sakitnya. (Yasin: 18)
Ada beberapa pendapat ulama berkenaan
dengan ayat ini, antaranya segala kejahatan sentiasa bersamamu bukan daripada
kami. Inilah pendapat al-Dahak. Qatadah pula berpendapat segala amalan kamu
akan ditimpa bersamamu. Sedangkan Ibnu Abbas berkata segala rezeki dan takdir
akan mengikutimu.
Syed Qutub berkata: Demikianlah orang yang
menyokong kebatilan memperlihatkan sikapnya yang zalim, mengancam para
pendakwah, menentang kebenaran dengan tindakan yang keterlaluan.
Al-Maghari berkata: Boleh jadi kami akan
membunuh, memenjarakan atau menyeksa kamu dengan seksaan yang berat.
ARKIB : 26/10/2012
No comments:
Post a Comment