KEINDAHAN pemandangan ini pastinya tiada tandingan sebagaimana gambaran syurga daripada al-Quran. - Gambar hiasan |
ALLAH SWT telah menjelaskan kehinaan dan
seksaan yang dikenakan kepada orang kafir pada hari kiamat nanti. Kemudian
Allah SWT menambah perbincangan dengan menyebut tentang kebahagiaan dan
kemuliaan yang disediakan untuk orang Mukmin pada saat itu. Mereka berada di
dalam kemewahan dan kenikmatan, mereka makan buah-buahan yang disukai.
Dikatakan kepada mereka: "Makan dan minumlah kamu dengan penuh nikmat
sebagai balasan terhadap apa yang kamu lakukan dahulu. Inilah balasan bagi
setiap orang yang membaikkan amalannya."
Firman Allah SWT: Kecelakaan yang
besarlah pada hari itu bagi orang-orang yang mendustakan. (al-Mursalat:
45)
Al-Maraghi berkata: Bagi orang yang
mendustakan azab kehinaan, mereka akan menerima seperti apa yang diberitahukan
Allah SWT iaitu penghormatan orang yang bertakwa dengan kehormatan yang
diberikan Allah SWT kepada mereka pada hari kiamat.
Firman Allah SWT: (Dikatakan kepada
orang-orang kafir): Makanlah dan bersenang-senanglah kamu (di dunia dalam
waktu) yang pendek; Sesungguhnya kamu adalah orang-orang yang berdosa. (al-Mursalat:
46)
Al-Maraghi berkata: Makan
(bersenang-senanglah) dan nikmatilah sisa umurmu yang masih tinggal sedikit
itu. Kami kenakan sunnah Kami yang berlaku kepada orang yang sebelum kamu
terhadapmu, iaitu umat-umat yang terdahulu yang telah diberikan tempoh
sebentar. Lalu Kami seksa mereka disebabkan kekafiran dan pendustaan mereka
terhadap para rasul Kami.
Ibnu Kathir berkata: Yakni makan dan
bersenang-senang dalam tempoh waktu yang sebentar dan kemudian kamu akan
diheret ke neraka Jahanam yang telah disebutkan sebelumnya. Ucapan ini
ditujukan kepada orang-orang yang mendustakan hari kiamat. Dan perintah yang
diberikan kepada mereka itu merupakan ancaman sekali gus intimidasi.
Sayid Qutub berkata: Ketika pelawaan Allah
SWT disampaikan kepada orang-orang yang bertakwa di akhirat, maka satu pelawaan
yang sama dihadapkan kepada orang-orang kafir yang berdosa di dunia,
seolah-olah Allah SWT berfirman kepada mereka: "Lihatlah perbezaan di
antara dua kehidupan ini, makanlah dan nikmatilah kesenangan dunia yang
sementara ini supaya kamu diharamkan daripada kenikmatan abadi dan diazab
sepanjang zaman di negeri akhirat."
Firman Allah SWT: Kecelakaan yang
besarlah pada hari itu bagi orang-orang yang mendustakan. (al-Mursalat:
47)
Al-Maraghi berkata: Orang yang melemparkan
diri mereka ke jurang seksaan yang abadi, disebabkan kesenangan yang bersifat
sementara dan mendustakan apa yang telah diberitahukan Allah SWT kepada mereka,
bahawa Allah SWT akan menyeksa mereka.
Firman Allah SWT: Dan apabila
dikatakan kepada mereka: Rukuklah, nescaya mereka tidak mahu rukuk. (al-Mursalat:
48)
Al-Maraghi berkata: Apabila diseru kepada
para pendusta supaya beribadat dan taat kepada Allah SWT, namun mereka
menyombongkan diri dan bersikap keras dengan keingkaran mereka. Terdapat di
dalam sebuah hadis yang meriwayatkan bahawa Nabi SAW memerintahkan kepada
Thaqif agar mengerjakan solat, maka mereka menjawab: "Kami tidak akan
rukuk kerana ia merupakan celaan kepada kami." Lalu Nabi SAW bersabda: "Agama
yang terbaik adalah agama yang mempunyai ibadah rukuk dan sujud."
Ibnu Abbas berkata: Ungkapan di atas
diajukan kepada mereka di akhirat kelak sewaktu mereka diseru supaya sujud
tetapi mereka tidak berdaya melakukannya kerana mereka tidak pernah sujud di
dunia, (orang yang mendustakan segala perintah Allah SWT dan larangan-Nya).
Ibnu Kathir berkata: Maksudnya, sekiranya
orang-orang kafir yang bodoh itu diperintahkan untuk mengikuti orang-orang yang
mengerjakan solat dengan berjemaah, maka mereka menolak perkara tersebut dan
bahkan menyombongkan diri di atas hal tersebut.
Sayid Qutub berkata: Ayat ini mengisahkan
keadaan-keadaan orang-orang kafir yang berdosa itu dan melahirkan takjubnya
terhadap sikap mereka iaitu apabila mereka diseru mengikut hidayah Allah, mereka
tidak menyahutinya.
Firman Allah SWT: Kecelakaan yang
besarlah pada hari itu bagi orang-orang yang mendustakan. Maka kepada perkataan
apakah sesudah al-Quran ini mereka akan beriman? (al-Mursalat: 49-50)
Al-Maraghi berkata: Sesungguhnya al-Quran
itu merangkumi keterangan yang cukup sempurna dan kebenaran yang jelas. Akan
tetapi mengapa mereka masih menolak untuk beriman kepada Allah SWT dengan
seberapa segera. Oleh sebab itu mereka akan menghadapi kematian dan kata-kata
seperti, semoga, mudah-mudahan dan seandainya tidak bermanfaat lagi.
Ibnu Kathir berkata: Maksudnya, jika mereka
tidak mahu juga beriman dengan al-Quran ini, lalu kepada perkataan siapa lagi
mereka akan beriman?
Sayid Qutub berkata: Orang-orang yang tidak
beriman kepada penjelasan al-Quran yang menggegarkan bukit-bakau dan
gunung-ganang itu tidak akan beriman buat selama-lamanya dengan mana-mana
penjelasan yang lain daripadanya. Tiada lain melainkan hanya kecelakaan,
kesialan dan kesudahan yang malang yang disediakan kepada golongan manusia yang
celaka ini.
Semoga kita menjadi hamba-Nya yang soleh.
Amin.
Sumber : Utusan Melayu
No comments:
Post a Comment