Fitnah diulang 30 kali dalam al-Quran
2012/10/28
SOALAN:
Saya mendengar ada orang mengatakan fitnah
yang disebut dalam al- Quran bukan bermaksud menuduh seperti difahami oleh
orang Melayu. Benarkah demikian. Apa perbezaan bala dan fitnah. Adakah musibah
dengan azab membawa maksud sama. Mohon pencerahan dari ustaz. - Rashid, Seremban
JAWAPAN:
Fitnah bererti ujian atau cubaan. Ia
diambil dari kata dasar bererti memasukkan emas ke dalam api untuk diketahui
kadarnya. Ia juga diertikan sebagai ‘membakar’ atau ‘memperluas’. Secara
berdiri sendiri, kalimat ini diulang-ulang dalam al-Quran sebanyak 30 kali.
Menurut ahli tafsir terkemuka Indonesia, M Quraish Shihab, ‘perlu digaris bawah
bahawa tidak ada satu pun dari kalimah ini yang bermaksud perkataan yang
memburukkan orang lain seperti biasa dipakai. Menurut pakar dalam bidang kosa
kata al-Quran, ar-Raghib al-Ashfahani, penekanan dan penggunaan kata fitnah
lebih banyak ditujukan pada sesuatu yang bersifat kesukaran. Inilah salah satu
perbezaan penggunaan kata bala dan fitnah.
Di sini kata fitnah tidak selalu bererti ‘ujian’ yang dialami seseorang dalam
kehidupan dunia tetapi boleh juga dalam erti seksaan di akhirat. Firman Allah
SWT: “(Hari Pembalasan adalah) hari ketika mereka disiksa di atas api neraka.
(Dikatakan kepada mereka), “Rasakanlah seksaan itu. Inilah seksa (fitnah) yang
dulu kamu minta supaya disegerakan.” (Surah az-Zariyat, ayat 13-14)
Perbezaan ketiga, fitnah tidak selalu mesti berbentuk sesuatu yang berlangsung
lama atau nampak lama. Perkataan musibah diambil dari kata dasar bererti
mengenai atau menimpa.
Pada mulanya, kata akar ini berkaitan lemparan yang mengena sasaran.
Kata musibah diulang dalam al-Quran sebanyak sepuluh kali. Semuanya digunakan
untuk sesuatu yang tidak menyenangkan. Namun, hendaklah diingat bahawa apa yang
tidak menyenangkan, bila direnungkan pasti tepat dan benar.
Firman Allah SWT: “Dan apa saja musibah yang menimpa dirimu, maka hal itu
disebabkan perbuatan tanganmu sendiri.” (Surah as-Syura, ayat 30)
No comments:
Post a Comment