SOALAN:
BULAN Zulhijjah itu terkandung dalam empat
bulan-bulan yang haramkan ustaz? Pun begitu pada bulan ini, terutamanya
Zulhijjah ibadah yang dilakukan pada hari-hari itu memiliki kelebihan tertentu
di sisi Allah SWT. Tolong ustaz jelaskan?
JAWAPAN:
PADA saat ini kita tengah berada di
penghujung bulan Zulkaedah. Beberapa hari lagi akan masuk ke bulan Zulhijjah.
Mungkin tidak ramai daripada kalangan kita yang menyedari kelebihan bulan
Zulhijjah, terutama 10 hari yang pertama.
Oleh itu, ada baiknya saya membincangkan
kelebihan 10 hari pertama bulan Zulhijjah pada kesempatan kali ini.
Perkara pertama yang mesti kita sedari,
bulan Zulhijjah adalah salah satu dari bulan-bulan haram. Allah SWT berfirman: Sesungguhnya
bilangan bulan pada sisi Allah adalah 12 bulan dalam ketetapan Allah apabila
menciptakan langit dan bumi. Di antaranya empat bulan haram. Itulah (ketetapan)
agama yang lurus. Maka janganlah kamu menganiaya diri kamu dalam bulan yang
empat itu. (al-Taubah: 36)
Empat bulan haram itu adalah Zulkaedah,
Zulhijjah, Muharam dan Rejab. Sejak zaman Jahiliah, bangsa Arab mengharamkan
berperang pada bulan-bulan haram ini. Hukum ini juga berlaku pada awal Islam,
namun kemudian hukum itu dimansuhkan. Allah SWT mengizinkan kaum Muslimin
membela diri atau menyerang musuh pada bila-bila masa meski pada bulan-bulan
haram sekalipun.
Meskipun begitu, empat bulan haram ini
tetap memiliki keistimewaan berbanding bulan-bulan yang lain, iaitu pahala dan
dosa yang dilakukan pada bulan-bulan ini akan digandakan balasannya. Demikian
penjelasan Imam Al-Baihaqi dalam kitab Syu'ab Al-Iman.
Pahala
Kemuncak bulan-bulan haram adalah
Zulhijjah. Kemuncak Zulhijjah terdapat pada 10 harinya yang pertama. Ibadah
yang dilakukan pada hari-hari itu memiliki kelebihan tertentu di sisi Allah
SWT.
Imam Al-Bukhari meriwayatkan sabda
Rasulullah SAW: "Tidak ada hari-hari di mana amal saleh padanya yang lebih
Allah cintai daripada (amalan yang dilakukan) pada hari-hari ini, yakni 10 hari
pertama bulan Zulhijjah."
Seorang sahabat bertanya: "Tidak juga
jihad di jalan Allah?"
Rasulullah SAW menjawab: "Tidak juga
jihad di jalan Allah. Kecuali seseorang yang keluar dengan jiwa dan hartanya
lalu tidak kembali lagi."
Menurut Ibnu Rajab Al-Hanbali, hadis ini
menjadi dalil bahawa sebuah amalan kecil yang dilakukan pada saat-saat tertentu
boleh menjadi lebih baik daripada amalan besar yang dilakukan pada saat-saat
yang lain.
Ibadah solat, puasa dan zikir yang kita
lakukan pada 10 hari awal Zulhijjah ini pahalanya boleh melebihi amalan jihad
yang dilakukan pada hari-hari yang lain.
No comments:
Post a Comment