Masjidilharam dipenuhi jutaan umat Islam dari seluruh dunia yang mengerjakan ibadat haji. |
SEMALAM jutaan umat Islam seluruh dunia
yang mengerjakan ibadat haji memenuhi setiap inci dan ruang di padang Arafah.
Selain sebagai memenuhi rukun haji,
perhimpunan di Arafah juga adalah manifestasi kepada usaha taqarrub (mendekatkan)
diri kepada Allah, Pencipta Yang Maha Agung.
Pertemuan umat Islam yang mengenakan
pakaian ihram yang sama warna iaitu putih turut menzahirkan kesatuansebagai
saudara seagama biarpun dibatasi oleh bahasa dan warna kulit yang berlainan.
Segala hal keduniaan seperti pangkat,
kedudukan dan jawatan tinggi serta harta tidak lagi 'berguna'.
Sebaliknya, semua umat Islam merendah diri
dan mengikhlaskan hati masing-masing dengan niat yang satu iaitu mendapatkan
pengampunan Allah Rabbul Jalil.
Lebih daripada itu, perhimpunan setahun
sekali ini adalah persis bagaimana manusia akan dibangkitkan semula dan
dihimpunkan di Padang Mahsyar untuk dihitung amalan semasa hayat kita.
Ketua Pakar Rujuk Ibadat Haji 1433H, Datuk
Seri Hassan Ahmad berkata, semasa wukuf akan kelihatan lautan manusia ibarat
laut yang tidak bertepi.
Kata beliau, keadaan ketika itu agak
membingungkan di mana manusia masing-masing memikirkan untung nasib di hadapan
Allah berdasarkan amalan semasa hayat.
Menurutnya, apabila teringatkan hal itu,
hati menjadi kecut dan takut. Ini menjadikan orang itu sentiasa merendah diri.
"Harapan kita adalah dihimpun bersama
golongan yang bahagia dan mendapat rahmat ilahi.
"Bagi orang soleh yang hatinya murni
dan sentiasa mentaati Allah, mereka amat berharap serta yakin akan dihimpunkan
bersama golongan yang tunduk kepada Allah Yang Maha Esa," katanya dalam
temu bual dengan Utusan Malaysia di Hotel Abraj Jandiriyyah, Mekah,
baru-baru ini.
Hassan yang juga Mufti Pulau Pinang
menjelaskan, berhimpun dengan memakai pakaian seragam (ihram) juga sebagai
simbol Islam melihat manusia sebagai sama dan tiada perbezaan darjat.
"Berpakaian seragam ini dapat
menginsafi semua golongan baik yang kaya, berpangkat atau tidak bahawa Islam
tidak menilai seseorang berdasarkan darjat dan kedudukan.
"Sebaliknya apa yang menjadi kayu ukur
dalam Islam adalah keimanan kita kepada Allah SWT. Secara tidak langsung ini
dapat mengikis rasa sombong dan takbur dalam diri setiap kita," jelas
beliau.
Semua itu kata Hassan, adalah gambaran
bagaimana keadaan manusia apabila dibangkit dan dihimpunkan di Padang Mahsyar.
Katanya, ketika itu semuanya nafsi-nafsi
(sendiri-sendiri) tidak teringatkan orang lain kerana bimbangkan nasib
masing-masing.
"Sebab itu, semasa di Arafah, kita
dianjurkan banyak berdoa memohon keampunan dan rahmat Allah," tambahnya.
Ini bertepatan dengan sabda Rasulullah SAW
yang bermaksud: "Sebaik-baik doa adalah yang dibaca pada hari Arafah
dan sebaik-baik ucapan adalah ucapan Nabi-nabi sebelumku iaitu tiada tuhan yg
berhak disembah melainkan Allah yang Esa, tiada sekutu bagi-Nya, bagi-Nya
kerajaan dan bagi-Nya kepujian dan Dia berkuasa ke atas setiap sesuatu.
(riwayat at Tirmizi)
Menurut Hassan lagi, semasa wukuf juga
syaitan amat berasa dukacita dan terhina melihatkan banyaknya rahmat dan
pengampunan Allah kepada hamba-hamba-Nya.
Ini dijelaskan menerusi hadis daripada
Talhah bin Ubaidillah bin Quraisy di mana Nabi SAW bersabda yang maksudnya: "Selain
Perang Badar, tidak ada hari lain yang mana syaitan dilihat amat hina, dukacita
dan marah iaitu pada Hari Arafah kerana melihatkan melimpah ruahnya rahmat yang
turun hari itu dan rahmat Allah yang mengampunkan dosa para hamba-Nya."
Semasa wukuf juga Allah berada paling
hampir dengan hamba-Nya dan berbangga atas kedatangan hamba-hamba-Nya yang
datang dari pelbagai ceruk muka bumi ini.
Ini dijelaskan melalui hadis daripada Ibnu
Umar, Nabi SAW bersabda yang bermaksud: "Wukuf yang kamu lakukan pada hari
Arafah, sesungguhnya Allah SWT turun ke langit dunia (paling bawah) dan
berbangga-bangga dengan kamu kepada malaikat dengan firman-Nya; "Hambaku
datang dari segenap pelosok yang jauh dalam keadaan tidak terurus dan
berdebu-debu tubuh mereka semata-mata mengharapkan syurga-Ku. Jika kamu datang
dengan dosa sebanyak bilangan pasir, titisan hujan atau buih di laut nescaya
Aku hapuskan semuanya. Allah SWT berfirman: "Keluarlah kamu dari
Arafah dengan dosa yang telah diampunkan daripada kamu dan bagi sesiapa yg kamu
minta ampun utk mereka". (riwayat al-Bazzar)
Hassan menambah, pada Hari Arafah juga,
Allah meluaskan rahmat-Nya dengan membebaskan lebih ramai manusia daripada
seksaan api neraka.
Ini berdasarkan hadis daripada Aishah, Nabi
Muhammad SAW bersabda yang maksudnya: "Tidak ada hari yang Allah
membebaskan hamba-Nya daripada api neraka lebih ramai selain hari Arafah."
Allah SWT hampir dengan hamba-Nya dan berbangga dengan mereka kepada malaikat
dengan berfirman: "Apa yang mereka mahu". (riwayat Muslim)
No comments:
Post a Comment