|
ANUWAR NURSI
27 September 2012
APA yang dikatakan sebelum ini adalah cabaran luaran. Sedangkan cabaran dalaman, iaitu terhadap peribadi tidak kurang hebatnya.
Ayahanda percaya kita semua pernah mendengar pernyataan ini, ‘Usah pandang yang zahir tapi lihatlah yang batin’. Isunya ialah tentang wanita-wanita yang tidak menutup aurat. Ada golongan berpendapat bahawa tidak semestinya wanita yang tidak menutup aurat itu buruk akhlaknya. Manakala yang bertudung litup itu mulia peribadinya.
Alasan mereka mengenai perkara ini ialah, kita tidak boleh memandang serong terhadap seseorang semata-mata melihat kepada penampilan zahirnya sahaja. Mungkin secara zahirnya, mereka tidak menutup aurat, namun hatinya baik; malah tidak kelihatan pun gadis atau wanita-wanita seperti ini mengganggu atau mencederakan orang lain. Sebaliknya tidak sedikit kita saksikan seseorang yang tunggang tonggek sembahyang (istilah mereka) namun sering pula berbohong dan melakukan maksiat.
Anakku,
Ketahuilah bahawa tiada istilah baik apabila seseorang itu menderhakai TUHANnya. Benar... akan ada mereka yang dikatakan ‘soleh’ tetapi masih melakukan kejahatan. Tetapi, mungkin juga perbuatan yang dilakukannya itu bersebab. Mungkin juga aura solat itu tidak mempengaruhinya. Atau tidak mustahil solat yang dilaksanakannya itu kosong daripada khusyuk dan hakikat ubudiyah.
Hakikinya, sesiapa yang menjalankan kewajipan yang termaktub tetapi telah melakukan kesalahan, maka solat yang didirikannya itu menjadi penebus dan penghapus dosa-dosa yang dilakukan, di samping bertaubat nasuha dan memperbanyakkan istighfar. Sebaliknya golongan yang berterusan melakukan dosa tetapi tidak berusaha menghapusnya dengan memohon keampunan, maka itu adalah kesilapan besar yang telah dilakukan.
ALLAH berfirman:
Dan sesungguhnya AKU Maha Pengampun bagi orang yang bertaubat, beriman, beramal soleh kemudian tetap di jalan yang benar. - Surah Taha: 82
Anakku,
Jalan-jalan yang mendorong ke arah maksiat itu tidak terhitung banyaknya waima ia sekecil sebuah iklan yang dipapar di jalanan. Sebenarnya, pakaian mendedahkan aurat yang dipakai oleh wanita merupakan pintu utama yang membangkitkan ghairah seks lelaki.
Prof. Dr. Hamka, pengarang ‘Tafsir Al-Azhar’ berkata tatkala menyatakan tentang etika luaran atau adab berpakaian bagi wanita muslimah, beliau mengingatkan bahawa lelaki yang tergiur ketika melihat wanita cantik, itu adalah lumrah. Jika lelaki tidak bergetar jiwanya memandang perempuan cantik sedangkan dia seorang lelaki, itu sangat menghairankan.
Lebih-lebih lagi jika yang dilihatnya itu memakai pakaian ketat, terbuka, malah aksinya sangat menggoda. Bagaimana reaksi seorang pemuda ketika melihat paha yang sengaja didedahkan? Apakah mereka diam? Jawapannya tidak. Itulah sebabnya Nabi s.a.w ketika melihat Asma puteri Abu Bakar As-Siddiq memakai pakaian nipis dan jarang (pakaian kaasiyatin aariyatin - berpakaian tapi bertelanjang), baginda segera memalingkan muka lalu memerintahkan Asma agar menutupnya baik-baik.
Islam tidak mensyaratkan perlu ada potongan atau fesyen tertentu dalam berpakaian. Asalkan ia longgar dan tidak menampakkan bentuk tubuh, itu sudah mencukupi. Walaupun perkara ini mudah, tapi masih ramai yang tidak tahu serta tidak mengamalkannya. Sebahagian mereka mungkin kerana jahil tapi bersemangat untuk mengikut saranan agama. Mereka menyangka telah menutup aurat dengan sempurna tetapi sebenarnya tidak. Kita dapat saksikan fenomena ini di sekeliling hari ini.
Cuba perhatikan, sebahagian mereka ada yang memakai tudung tapi berseluar ketat. Sesetengahnya pula memakai jilbab (mini telekung), namun pada masa yang sama menyarung baju pendek. Lebih teruk lagi mereka memakai tudung dan pada masa yang sama mengenakan seluar ketat bersama baju sendat. Bahkan ada yang sampai menampakkan sebahagian punggung dan pusat.
Apa yang berlaku?
Fesyen sebeginilah akhirnya melahirkan penjenayah dan perogol. Lalu siapakah yang mahu dipersalahkan? Jika sudah berani menampilkan gaya sedemikian di jalanan, pasti ada harga sebagai bayaran. Oleh itu, tanyalah kepada perempuan-perempuan di luar sana, apakah yang memotivasinya memakai pakaian seperti itu. Jadi, siapakah sebenarnya yang memunculkan gangguan seksual; lelaki atau perempuan?
Walaupun mereka memiliki kecantikan yang tiada tolok banding, tetapi jiwa di dalamnya bersifat kelabu dan menderita sakit. Apakah kita tahu apa yang terjadi terhadap pohon yang kelihatan baik di luarnya, sedangkan teras di dalamnya dimakan anai-anai? Berapa lama ia dapat bertahan sebelum tumbang menyembah bumi? Ayahanda percaya, jika kita tidak ingin dianggap sedemikian maka anakanda harus membuktikannya!
Tidak Menutup Aurat Hanya Dosa Kecil?
Anakku,
Kita berasa aneh apabila ada yang pada zahirnya begitu komited terhadap perintah agama, tetapi kadangkala gagal memahami dan mengamalkannya. Misalnya, cara berpakaian bagi kaum wanita. Sebahagian mereka menyatakan bahawa tidak mengenakan jilbab dan memakai pakaian yang menampakkan tangan, dada, leher atau menampilkan sosok tubuh, itu hanyalah sekadar dosa kecil dan dapat diampunkan dengan hanya menjauhi dosa-dosa besar seperti zina, membunuh, mencuri, meminum arak dan seumpamanya. Mereka menganggap banyak lagi perkara lain yang lebih utama daripada masalah aurat. Mereka beranggapan penampilan zahir tidak perlu diuar-uarkan kerana ia bukanlah suatu masalah besar.
Karut!
Ulama tersohor abad ini menegaskan bahawa seseorang yang beranggapan tidak menutup aurat sebagai dosa kecil adalah tidak benar. Dr. Yusuf Al-Qaradhawi menyangkal dakwaan ini dalam bukunya yang bertajuk, ‘Fatwa Antara Ketelitian dan Kecerobohan’. Katanya Rasulullah s.a.w menjadikan golongan perempuan seperti ini sebagai isi neraka berpandukan hadis baginda yang bermaksud:
Ada dua golongan manusia yang akan menjadi penghuni neraka: Pertama, golongan yang selalu memegang pecut seperti ekor lembu (orang zalim dan bengis), yang suka memukul orang. Kedua, wanita-wanita yang berpakaian tetapi bertelanjang, yang berlenggang-lenggok apabila berjalan dan yang menarik perhatian ramai, kepala mereka laksana anak (buah) dadu yang condong. Mereka tidak akan masuk syurga dan tidak akan menghidu harumnya, meskipun keharumannya dapat dihidu dari jarak yang jauh.- Hadis Sahih riwayat Imam Muslim daripada Abu Hurairah r.a.
Seandainya memakai pakaian sempit dan mendedahkan aurat dikatakan dosa kecil, tentu Rasulullah s.a.w tidak akan mengelompokkan mereka sebagai penduduk dan isi neraka. Dan tidak dijadikan golongan yang diharamkan masuk syurga, malah diharamkan walau menghidu harumannya sahaja. Justeru, memakai pakaian yang sempit, tipis dan mendedahkan aurat adalah dosa besar. Bukan dosa kecil seperti yang disangkakan.
Pelihara Jati Dirimu
Anakku,
Muslim sejati adalah yang memiliki jati diri yang kuat. Ia seperti ikan di laut. Biarpun berendam di air masin selama 24 jam, badannya tidak akan masin kecuali ia mati. Begitu jugalah dengan diri kita ini.
Sebagai orang Melayu kita sepatutnya bersyukur kerana dilahirkan dalam agama Islam. Dengan darjat keislaman itu kita sepatutnya berani menampilkan diri sebagai seorang muslim dalam erti yang sebenarnya. Jangan menganggap diri kita rendah dari bangsa dan kaum lain, terutama yang dianggap maju. Setiap bangsa dilahirkan adalah berbeza kerana ALLAH menghendakinya sedemikian. Bangsa yang maju ialah kerana takwa, bukan kerana penampilan luarnya.
Dr. ‘Aidh Al-Qarni dalam bukunya ‘La Tahzan’ menjelaskan, “Umat manusia terdiri daripada pelbagai jenis tabiat. Wataknya adalah seperti alam tumbuhan; ada yang manis dan masam, ada yang panjang dan pendek. Dan seperti itulah seharusnya umat manusia.
Jika anda pisang, anda tidak perlu mengubah diri menjadi jambu. Ini kerana harga dan keindahan anda akan tampak seperti pisang juga, bukannya jambu. Sesungguhnya perbezaan warna kulit, cara hidup, bahasa dan kemampuan merupakan tanda-tanda kebesaran Maha Pencipta.44
Perlukah Dirai?
Islam mempunyai perayaan sendiri yang disambut pada setiap tahun. Ada perayaan Maulidul Rasul, Maal Hijrah, Nuzul Quran, Israk Mikraj dan dua hari raya terbesar iaitu Aidil Fitri dan Hari Raya Aidiladha. Manakala kita dilarang meraikan perayaan bukan Islam.
Oleh kerana jati diri yang goyah, umat Islam hari ini tanpa segan silu turut meraikan perayaan yang disambut oleh kebanyakan kaum bukan Islam. Alasannya ialah untuk merapatkan silaturahim dalam kalangan rakyat yang berbilang kaum dan bangsa.
Benar... kita disuruh untuk merapatkan hubungan sesama manusia, tetapi biarlah kena cara dan gayanya. Haram jika kita bersama-sama mereka dengan niat untuk merayakan perayaan yang diadakan. Kecuali ia disambut berkonsepkan kebudayaan (tanpa menjejaskan akidah) semata-mata. Ketika itu kita tidak diharamkan untuk bersama mereka.
Hari ini, masih ada segelintir remaja kita yang masih menyambut perayaan yang satu ini walaupun sudah jelas hukumnya haram. Mengapa? Jawapannya kerana tiada jati diri yang kukuh dalam diri. Soal hukum ditolak ke tepi.
Valentine Day’s adalah hari istimewa yang disambut oleh penganut agama Kristian. Namun kini telah diikuti oleh segelintir remaja kita yang bercouple. Sudahlah coupleitu haram, ditambah pula dengan menyambut hari tersebut. Maka, bertambah-tambahlah haramnya.
Hari itu dirayakan oleh muda-mudi pada 14 Februari setiap tahun.45 Pada asalnya hari ini disambut untuk memperingati St. Valentine iaitu seorang paderi Kristian yang dianggap sebagai pencinta yang unggul. Umat Islam dilarang mengikuti ritual ini bukan semata-mata kerana sumbernya dari kaum Nasrani tetapi gereja Katolik sendiri pun pernah mengeluarkan larangan terhadap penganutnya daripada merayakan hari Valentine’s. Dalam ‘Katolik Ensiklopedia’ menyatakan bahawa ritual Hari Valentine berasal daripada ritual pemujaan syaitan dan penyembahan berhala.
Bukan itu sahaja, Hari Valentine mengakibatkan kerosakan yang dahsyat dari segi akidah dan moral. Jika ini natijahnya, tentu ini bukan cinta sejati, tetapi tuntutan nafsu serakah! Walhal agenda utama ialah merosakkan umat Islam.
Buktinya pada setiap malam sambutan hari ‘kemeriahan’ itu, jumlah pasangan yang ditangkap berkhalwat kian bertambah. Tiga bulan selepas itu dapat dilihat peningkatan kes hamil anak luar nikah. Lalu diikuti dengan kes buang bayi di merata-rata tempat yang langsung tidak menggambarkan darjat seorang manusia.
Tujuan mereka sebenarnya ialah untuk menghancurkan masa depan muda-mudi Islam seterusnya mengaut keuntungan dalam perniagaan. Tanpa disedari, muda-mudi kita akhirnya tenggelam dalam nafsu.
Tentang hukum menyambut Hari Valentine, Sheikh al-‘Utsaimin, seorang ulama terkenal Arab Saudi berkata, “Apabila merayakan Hari Valentine dengan maksud untuk mengenangkan kembali St. Valentine, maka tidak diragukan bahawa orang itu telah kafir. Dan jika tidak bermaksud begitu namun sekadar ikut-ikutan kepada orang lain, maka orang itu telah melaksanakan dosa besar.”
Manakala Jawatankuasa Fatwa Majlis Kebangsaan Bagi Hal Ehwal Agama Islam Malaysia kali ke-71 yang bersidang pada 22 hingga 24 November 2005 memutuskan, “Bahawa amalan merayakan Valentine’s Day tidak pernah dianjurkan oleh Islam.”
Ingatlah... golongan kafir yang memusuhi Islam tidak akan berhenti daripada terus berusaha menanam benih-benih kesesatan dalam jiwa umat Islam, supaya mereka jauh dari jalan lurus lagi diredhai ALLAH S.W.T.
Perayaan bukan Islam yang boleh dihadiri oleh orang Islam ialah:
• Majlis itu tidak disertakan upacara bertentangan akidah Islam contohnya menyertakan simbol agama seperti salib, memasang lampu, lilin dan pokok Krismas.
• Majlis itu tidak disertakan perbuatan bertentangan syarak yang diamalkan masyarakat bukan Islam iaitu memakai pakaian seperti Santa Claus.
• Majlis itu tidak disertakan perbuatan bercanggah dengan pembinaan akhlak dan budaya masyarakat Islam seperti percampuran bebas tanpa batas dan adab sopan. Berpakaian menjolok mata, mendengar lagu mempunyai seni kata berunsur lucah serta pemujaan. Mengadakan program seperti pertandingan ratu cantik dan laga ayam.
No comments:
Post a Comment