Muka Depan Buku Anakku Hidup Sekali Biar Bererti oleh Anuwar Nursi |
ANUWAR NURSI
21 September 2012
REMAJA yang hebat ialah apabila tidak
gentar berhadapan dengan belenggu masalah atau cabaran yang mendatang ketika
mencipta impian. Namun, jika gagal ia tidak menjadi halangan untuk meneruskan
impian yang dicita-citakan. Pepatah Melayu mengatakan, ‘Di mana ada kemahuan di
situ ada jalan.’ Pepatah Arab pula mengatakan ‘Man jadda wa jada’, siapa yang
bersungguh-sungguh pasti akan berjaya.
Kemiskinan dan kekurangan harta tidak boleh
dijadikan alasan untuk malas berusaha. Contoh yang baik dalam hal ini ialah kejayaan
yang dicapai oleh Nur Nik Madihah. Seorang anak nelayan yang serba kekurangan.
Cuba anakanda lihat, kebanyakan yang berjaya adalah berasal dari kampung, anak
pesawah, penoreh getah, petani dan seumpamanya.
Mengapa?
Kerana mereka ada impian dan cita-cita
tinggi di samping mahu mengubah kehidupan yang serba kekurangan. Ibu bapa mana
yang tidak mahu lihat anaknya berjaya?
Berusahalah anakanda... walau apa jua
cita-citamu, ayahanda dan bonda sentiasa mendoakan. Cuba Lihat lagi mereka yang
berjaya dalam kehidupan misalnya penulis novel Indonesia iaitu Andrea Hirata.
Beliau asalnya hanyalah seorang anak miskin
dan tempat belajarnya amat daif. Sekolahnya dahulu hanyalah sebuah bangunan
usang yang hampir roboh dan tidak punya sebarang kemudahan seperti hari ini.
Pelajarnya cuma sepuluh orang, namun semangat belajarnya hebat dan beliau telah
berjaya mencapai cita-citanya.
Ayahanda tidak pula nafikan mereka yang
lahir dalam keluarga yang mewah juga pandai kerana mereka juga berjaya
menjejakkan kaki ke menara gading.
Terfikirkah kita tentang kehidupan jika
tiada cita-cita? Agaknya di mana kita akan tinggal? Apa pula pekerjaan kita
suatu hari kelak? Bukalah mata dan luaskan pandangan mata hati. Lihatlah
keadaan mereka yang tiada cita-cita dalam kehidupan. Mereka akan menyesal
selama-lamanya dan terpaksa mengharungi masa depan yang suram.
Tidak kurang juga ada yang menjadi beban
masyarakat. Lebih teruk jika ada yang menjadi penagih dadah, mat rempit atau
peragut jalanan. Jiwa ayahanda sengsara apabila melihat kebanyakan mangsa
adalah kalangan umat Islam. Lalu, ayahanda bertanya sendiri ‘Apakah itu tempat
terbaik buat umat yang telah diberi ajaran sempurna oleh baginda Muhammad
s.a.w?’’
Anakku,
Mengapa tidak dijadikan sahabat terdahulu
sebagai idola untuk menjadi umat bahagia dunia dan akhirat? Bacalah tentang Abu
Bakar, Ibnu Abbas, Umar Al-Khattab dan teman-temannya, serta ambillah iktibar
daripada kisah mereka agar hidup lebih berjaya dan mampu berkhidmat kepada
Islam pula.
Jika hari ini, contohilah tokoh-tokoh yang
berwibawa dan profesional yang telah berjaya memberi sumbangan kepada negara
seperti Syed Naquib Al-Attas, Tan Sri Muhammad Ali Hashim, Dato’ Dr. Zeti Aziz
atau Shaikh Muzaffar. Terokailah jasa-jasa yang telah mereka taburi untuk
negara, mudah-mudahan dengannya anakanda mampu menjadi yang lebih baik lagi.
Bagaimana untuk membina negara jika tiada
cita-cita untuk menjadi orang berjasa? Apakah hanya mahu mengharapkan orang
luar untuk mendirikan universiti terkenal memperkukuh modal insan, memajukan
ummah yang ketinggalan, membangun ekonomi, menguatkan pertahanan negara,
menjadikan negara makmur dan aman? Semuanya itu tidak mungkin wujud jika
anakanda dan remaja lain hari ini tidak menanam cita-cita dan bekerja keras
untuk mencapainya.
Ini adalahamanah ALLAH yang mesti
direalisasikan. Berusahalah untuk melaksanakannya.
No comments:
Post a Comment