SOALAN:
BOLEHKAH dijelaskan makna dan fungsi
sebenar kalimat insya-Allah dalam Islam? Sebab saya sering menjumpai beberapa
orang menggunakan kalimat ini sebagai alasan untuk tidak melaksanakan janji.
Sehingga setiap kali mendengar seseorang berjanji sambil mengucap: insya-Allah,
saya merasa tidak pasti janji itu akan ditepati.
JAWAPAN
Sebelum kita menyelami makna sebenar yang
terkandung dalam kalimat insya-Allah, ada baiknya kita melihat terlebih
dahulu melihat sejarah penggunaan kalimat ini.
Jika kita amati ayat-ayat al-Quran,
ternyata kalimat insya-Allah telah digunakan oleh nabi-nabi terdahulu
sebelum Nabi Muhammad SAW. Apabila Nabi Ibrahim menyampaikan perintah Allah
untuk menyembelih Nabi Ismail, anak yang saleh ini berkata: Wahai bapaku,
kerjakanlah apa yang diperintahkan kepadamu. Insya-Allah engkau akan
mendapatiku termasuk orang-orang yang bersabar. (al-Saaffaat: 102)
Begitu juga ucapan Nabi Musa apabila beliau
berjanji kepada Nabi Khidir untuk patuh kepada semua arahannya sepanjang
perjalanan menuntut ilmu. Nabi Musa berkata: Insya-Allah engkau akan
mendapatiku sebagai orang yang bersabar, dan aku tidak akan menentangmu dalam
sesuatu urusanpun. (al-Kahfi: 69)
Kalimat ini kemudiannya diwariskan kepada
Nabi Muhammad SAW. Allah memerintahkan baginda untuk selalu mengucapkan insya-Allah setiap
kali berjanji akan melakukan sesuatu di masa hadapan.
Allah berfirman: Dan jangan
sekali-kali engkau (Muhammad) mengatakan: Sesungguhnya aku akan mengerjakan ini
esok, kecuali (dengan menyebut): insya-Allah... (al-Kahfi 23-24)
Menurut Ibnu Jarir Al-Tabari, ayat ini
berisi pengajaran adab untuk Nabi SAW. Beliau dilarang untuk memastikan apa
yang akan terjadi di masa hadapan melainkan dengan menyandarkannya kepada
kehendak Allah. Sebab segala sesuatu hanya boleh berlaku apabila dikehendaki
oleh Allah SWT.
Pengajaran ini tentu sahaja bukan khas
untuk baginda seorang. Akan tetapi, adab ini juga berlaku untuk seluruh umat
baginda hingga akhir zaman. Seorang mukmin yang menyedari hakikat dirinya
sebagai hamba yang lemah tidak pernah berjanji melainkan dengan menyebut insya-Allah.
Makna insya-Allah
Jadi, kita boleh melihat bahawa kalimat insya-Allah merupakan
sunnah nabi-nabi terdahulu yang diwariskan kepada umat Nabi Muhammad SAW.
Justeru, kalimat ini bukan perkara ringan, malah ia mengandungi makna yang
sangat penting untuk disedari.
Secara harfiah, kalimat insya-Allah bermakna
jika Allah menghendaki. Ucapan ini melambangkan kesedaran hamba akan hakikat
dirinya yang serba kekurangan dan jahil. Sekali gus mengiktiraf kekuasaan Allah
SWT yang Maha Kuasa dalam menentukan setiap yang berlaku di alam semesta ini.
Sepandai manapun seorang manusia, ia hanya
boleh merancang dan berharap. Allah jua yang akan menentukan apakah rancangan
dan harapan itu boleh terlaksana ataukah tidak?
Ucapan insya-Allah ini
mencerminkan pengakuan atas kelemahan diri dan ketergantungan kepada belas
kasih tuhannya agar selalu membantu dalam setiap keinginan dan niatnya.
Siapa yang selalu menyedari kelemahan
dirinya, Allah akan selalu hadir dalam hidupnya. Dan siapa yang merasa dirinya
serba cukup dan berkuasa atas segalanya, ia akan lupa diri dan berakhir seperti
Firaun dan Namruz yang mengaku diri sebagai tuhan.
Berkata Imam al-Syafi'i: "Kelemahan
adalah sifat manusia yang paling jelas. Sesiapa yang selalu menyedari sifat
ini, dia akan beroleh istiqamah dalam beribadat kepada Allah."
Jadi betullah kalimat ini bukan perkara
yang boleh dijadikan alasan untuk dipermain-mainkan?
Ya, jelaslah ucapan insya-Allah sama
sekali bukan alat untuk melepaskan tanggungjawab atau alasan untuk tidak
menepati janji. Sebagai seorang Muslim, janji adalah hutang yang mesti kita
tunaikan. Ucapan ini juga bukan kalimat alternatif untuk menolak secara halus
permintaan pihak yang ingin kita jaga hatinya.
Sebaliknya, insya-Allah lebih
sesuai difahami sebagai kata-kata jaminan bahawa janji yang telah terucap akan
terlaksana dengan baik. Sebab siapa yang berjanji dengan niat sungguh-sungguh
untuk melaksanakannya, sambil menyerahkan perkara itu kepada Allah, bantuan
daripada Allah SWT akan datang untuk mewujudkan janji tersebut.
Dalam hadis Al-Bukhari dan Muslim,
Rasulullah SAW pernah bercerita: Nabi Sulaiman bin Dawud berkata: Malam
ini aku akan mendatangi 90 orang isteri-isteriku. Setiap daripada mereka pasti
akan melahirkan seorang pejuang di jalan Allah.
Malaikat berkata kepadanya: katakanlah
insya-Allah. Namun Nabi Sulaiman tidak mengucapkan kalimat ini. Akhirnya, tidak
ada seorangpun daripada isteri-isterinya itu yang melahirkan anak. Hanya
seorang isteri yang melahirkan, namun anak itu cacat dan tidak sempurna.
Bersabda Nabi SAW: Demi Allah yang
jiwaku berada di tangan-Nya, andai beliau mengucapkan: insya-Allah, nescaya
isteri-isterinya itu akan melahirkan anak-anak yang berjuang di jalan Allah.
Berkata Ibnu Battal Al-Maliki: "Hadis
ini mengandungi pengajaran bahawa sesiapa yang mengucapkan insya-Allah, sambil
menyedari kelemahan dirinya dan meminta bantuan daripada Allah, maka besar
kemungkinan ia akan memperoleh apa yang diharapkannya."
Maka menjadi kewajiban kita merubah
kekeliruan ini dengan memulainya dengan diri kita sendiri. Pastikan selalu
kalimat insya-Allah diucapkan setiap kali berjanji.
Selepas itu berusahalah sedaya upaya untuk
menepati janji itu sambil meminta bantuan daripada Allah SWT. Jika semua ini
kita lakukan, maka bantuan daripada Allah akan sentiasa mengalir untuk kita.
Kalau bukan kita yang merubah persepsi
negatif tentang Islam dan kaum muslimin, maka siapa lagi?
Wallahu a'lam
Oleh : UMAR MUHAMMAD NOOR kini sedang menyambung
pengajian peringkat Doktor Falsafah (PhD) di Universiti Malaya (UM). Sebarang
kemusykilan berkaitan ibadah harian boleh juga diajukan di www.facebook.com/UmarMuhammadNoor
utusanARKIB : 11/09/2012
No comments:
Post a Comment