Oleh DR. ZULKIFLI MOHAMED AL BAKRI
ALLAH SWT telah menyebut tentang keadaan
orang yang mendustakan-Nya, para nabi dan hari kemudian itu akan dikenakan azab
pada hari keputusan dan pembalasan.
Di sini Allah SWT menjelaskan pelbagai
seksaan itu dengan segala kengeriaannya yang membingungkan orang yang
berfikiran dan menundukkan setiap orang yang takut dan kembali kepada-Nya.
Kemudian Allah SWT memberitahu bahawa
mereka diperintahkan untuk pergi ke bawah naungan asap Jahanam yang
bercabang-cabang kerana banyaknya dan bermacam-macam bentuk hingga menjadi tiga
cabang besar yang pernah mereka dustakan dahulu di dunia.
Padahal naungan yang sedemikian tidak
sedikitpun melindungi dan menghalang mereka daripada panas nyalaan yang berdiri
di atas api yang memercikkan bunga-bunga api yang tinggi dan besar bagaikan
istana.
Begitu juga bagaikan sekumpulan unta kuning
yang bertebaran dan bercerai-berai tanpa batasan hitungan dan bergerak tidak
menentu.
Tidak diragukan lagi perkara yang demikian
ini adalah persamaan yang diketahui oleh orang Arab ketika menyifatkan sesuatu
dengan kebesaran. Tidakkah kamu melihat bahawa mereka menyamakan unta yang
besar dengan istana sebagaimana yang dikatakan: "Maka untaku pun berdiri
di situ, seakan ia itu istana, untuk memenuhi keperluan orang yang
menunggu."
Firman Allah SWT:
Dan kami jadikan padanya gunung-gunung yang tinggi dan kami beri minum kamu dengan air tawar? (al-Mursalat: 27)
Al-Maraghi berkata: "Gunung-ganang ini
berhubungan dengan lapisan batu api yang merupakan lapisan bumi yang paling
jauh daripada permukaannya. Lapisan di dalamnya meliputi bola api yang
bernyala-nyala yang ada di dalamnya, sedangkan di bahagian luarnya merupakan
kulit bumi yang kita berada padanya."
Air tawar itu pula berasal dari awan yang
dijaga oleh gunung-ganang yang tinggi atau datang daripada mata air-mata air
yang turun dari gunung-ganang dan diselaputi oleh salji yang mengalir
perlahan-perlahan di atas permukaan bumi lalu menyerap masuk ke dalam perut
bumi menuju ke puncak mata air yang mengalir.
Ibnu Kathir berkata: "Yakni
gunung-ganang yang ditanamkan di bumi agar bumi tidak goyah dan bergoncang. Dan
air tawar yang diturunkan dari langit, mahupun yang bersumberkan daripada mata
air bumi."
Sayid Qutub berkata: "Dan di bumi Kami
ciptakan bukit-bakau dan gunung-ganang yang tinggi dan di kemuncak yang tinggi
itulah berkumpulnya awan mega dan dari sanalah mengalir saluran-saluran air
tawar yang nyaman."
Firman Allah SWT:
Kecelakaan yang besarlah pada hari itu bagi orang-orang yang mendustakan. (al-Mursalat: 28)
Al-Maraghi berkata: "Azab yang besar
di akhirat diberikan untuk mereka yang mengingkari semua nikmat ini.'
Ibnu Kathir berkata: "Celaka bagi
orang yang merenungi berbagai macam makhluk yang menunjukkan keagungan
Penciptanya tetapi setelah itu dia terus-menerus dalam kedustaan dan
kekufuran."
Firman Allah SWT:
(Dikatakan kepada mereka pada hari kiamat): Pergilah kamu mendapatkan azab yang dahulunya kamu mendustakannya. (al-Mursalat: 29)
Al-Maraghi berkata: Penjaga neraka Jahanam
berkata kepada mereka: "Terimalah seksaan yang ketika di dunia dahulu kamu
telah dustakan."
Firman Allah SWT:
Pergilah kamu mendapatkan naungan yang mempunyai tiga cabang. (al-Mursalat: 30)
Al-Maraghi berkata: "Allah SWT
menjelaskan dan menyifatkan azab ini dengan beberapa sifat:
- Berjalanlah kamu di bawah naungan asap Jahanam yang terbahagi kepada tiga cabang besar, satu cabang dari sebelah kanan mereka, satu cabang dari sebelah kiri dan satu cabang lagi dari atas mereka. Ia bermaksud asap itu meliputi mereka daripada segenap arah.
- Asap Jahanam itu bukan sejenis naungan kerana ia tidak akan menaung kepanasan hari itu.
Ibnu Kathir berkata: Yakni nyalaan api
semakin tinggi dan naik bersama dengan asap maka kerana kedahsyatan dan
kekuatannya ia mempunyai tiga cabang.
Sayid Qutub berkata: "Iaitu bayangan
asap api neraka yang pucuknya menjulang-julang bercabang tiga. Ini adalah
bayangan teduh yang mencekik pernafasan dan yang panas menyelar. Ia dinamakan
bayangan teduh sebagai lanjutan daripada penghinaan dan sendaan. Ia memberi
angan-angan mendapat bayangan teduh tetapi sebaliknya mereka mendapat api
neraka Jahanam.
ARKIB : 21/09/2012
No comments:
Post a Comment