Oleh DR. ZULKIFLI MOHAMAD AL-BAKRI
SURAH al-Mursalat dikategorikan dalam surah
Makkiyah kecuali ayat 48 yang mana dikategorikan sebagai ayat Madaniyyah. Surah
ini keseluruhannya mempunyai 50 ayat. Ia diturunkan selepas surah al-Humazah.
Hubungannya dengan surah sebelumnya ialah di dalam surah ini Allah SWT
bersumpah akan menunaikan isi yang terkandung dalam surah sebelumnya, yang
mengandungi berita ancaman terhadap golongan yang derhaka dan janji kepada
orang Mukmin yang mengerjakan kebajikan.
Firman Allah SWT: Demi
malaikat-malaikat yang diutus untuk membawa kebaikan. Dan (malaikat-malaikat)
yang terbang dengan kencangnya. Dan (malaikat-malaikat) yang menyebarkan
(rahmat Tuhannya) dengan seluas-luasnya. Dan (malaikat-malaikat) yang
membezakan (antara yang hak dan yang bathil) dengan sejelas-jelasnya.
(al-Mursalat: 1-4)
Al-Maraghi berkata: "Sumpah Allah SWT
dengan para Malaikat:
* Yang diutuskan untuk menyampaikan
kebaikan dan ihsan agar disampaikan kepada para Nabi dan Rasul-Nya.
* Para Malaikat yang meninggalkan kebatilan
dengan cepat sebagaimana angin kencang menerbangkan tanah dan debu.
* Yang menyebarkan pengaruh-pengaruh mereka
kepada umat-umat dan jiwa-jiwa yang hidup.
* Para Malaikat yang turun membawa perintah
Allah SWT untuk memisahkan di antara yang hak dengan yang batil dan di antara
petunjuk dengan kesesatan.
Ibnu Abi Hatim meriwayatkan daripada Abi
Hurairah, mursalaati 'urfa iaitu para Malaikat.
Abu Hurairah berkata: "Yang
dimaksudkan dengan ayat ini ialah Malaikat-Malaikat."
Ibnu Mas'ud berkata: "Mursalaat itu
ialah angin-angin. Maksudnya angin-angin itu dilepaskan berturut-turut seperti
jajaran bulu tengkuk kuda yang berjuntai.Faariqaat dan Mulqiaat pula
bermaksud Malaikat-Malaikat."
Maksud ayat ini ialah Malaikat-Malaikat itu
turun membawa perintah-perintah Allah kepada rasul iaitu perintah-perintah yang
membezakan di antara yang hak dan yang batil dan mencampakkannya kepada para
rasul dalam bentuk wahyu untuk menolak dalihan manusia dan memberi amaran
kepada mereka.
Ibnu Jarir berkata: "Al-mursilaat iaitu
Malaikat atau angin. Manakala al- 'Asifaatitu ialah angin-angin dan an-Nasyirat itu
pula ialah angin-angin yang menyebar awan di merata penjuru langit."
Firman Allah SWT: Dan
(malaikat-malaikat) yang menyampaikan wahyu untuk menolak alasan-alasan atau
memberi peringatan. Sesungguhnya apa yang dijanjikan kepadamu itu pasti
terjadi. (al-Mursalat: 5-7)
Al-Maraghi berkata: "Allah SWT
bersumpah dengan para malaikat yang menyampaikan kepada para rasul tentang
wahyu yang mengandungi peringatan kepada makhluk dan ancaman tentang azab-Nya,
apabila mereka melanggar perintah-Nya dan sumpahan Allah SWT dengan semua
sumpah ini ialah merupakan janji Allah SWT iaitu berlakunya hari kiamat itu
merupakan perkara yang benar dan bukanlah perkara yang mustahil."
Ibnu Kathir berkata: "Iaitu Malaikat
yang turun atas perintah Allah SWT untuk menemui rasul-rasul-Nya dan
menyampaikan wahyu. Para rasul menerima wahyu, baik dalam rangka memberi alasan
kepada umat manusia atau memberi peringatan kepada mereka tentang seksaan Allah
SWT sekiranya mereka menyalahi perintah-Nya."
Dan apa yang dijanjikan Allah SWT kepada
kamu semua yang berupa hari kiamat, peniupan sangka kala, pembangkitan jasad
dan pengumpulan kembali manusia daripada yang pertama hingga yang terakhir,
serta balasan kepada umat manusia yang sesuai dengan amal perbuatannya, semua
itu pasti berlaku dan tidak mungkin tidak berlaku.
Firman Allah SWT: Maka apabila
bintang-bintang telah dihapuskan.Dan apabila langit telah dibelah. (al-Mursalat:
8-9).
Al-Maraghi berkata: "Maksudnya,
apabila cahaya bintang-bintang mula lenyap dan apabila langit pecah dan
terbelah."
Ibnu Kathir berkata: "Maksudnya,
apabila bintang-bintang telah hilang cahayanya dan apabila langit pecah dan
terbelah serta ujung-ujungnya telah digulung."
Sayid Qutub berkata: "Pada hari
berlakunya kiamat itu bintang dihapuskan dan hilanglah cahayanya dan langit
dipecahkan."
Firman Allah SWT: Dan apabila
gunung-gunung telah dihancurkan menjadi debu.(al-Mursalat: 10)
Al-Maraghi berkata: "Ketika
gunung-ganang diterbangkan angin sehingga tidak lagi meninggalkan
kesannya."
Ibnu Kathir berkata: "Yakni dibawa
menghilang sehingga tidak ada sedikitpun sisa yang tinggal dan tidak pula ada
bekasnya."
Firman Allah SWT: Dan apabila
rasul-rasul telah ditetapkan waktu (mereka). (al-Mursalat: 11)
Al-Maraghi berkata: "Apabila telah
ditentukan kepada para rasul waktu untuk pengadilan dan pemutusan urusan di
antara mereka dengan umat mereka."
Al-Aufi meriwayatkan dari Ibnu Abbas: Iaitu
dikumpulkan.
Mujahid berkata: "Yakni ditangguhkan
waktunya."
Sayid Qutub berkata: "Surah ini
mengemukakan satu lagi perkara yang amat besar yang telah ditangguhkan Allah
kepada hari kiamat ini, iaitu masa para rasul dipanggil untuk mengemukakan hasil
pencapaian dakwah Allah SWT yang diperjuangkan mereka di bumi di sepanjang
generasi-generasi manusia."
Marilah sama-sama kita bertekad untuk
menjadi hamba Allah yang beriman dan mengamalkan segala perintah agar kita
layak menghuni syurga-Nya.
utusanARKIB : 31/08/2012
No comments:
Post a Comment