بِسۡمِ ٱللهِ ٱلرَّحۡمَـٰنِ ٱلرَّحِيمِ
Dengan nama Allah, Yang Maha Pemurah, lagi Maha Mengasihani. Artikel-artikel yang disiarkan di sini adalah sebagai rujukan dan simpanan peribadi pemilik blog ini. Kebanyakannya diambil daripada sumber-sumber yang dinyatakan. Segala pendapat dalam penulisan ini adalah pendapat penulis artikel yang sebenar. Jika ada kekeliruan tuanpunya blog ini menyarankan supaya bertanya kepada penulis asal. Semoga memberikan manfaat kepada pembaca.

Saturday, July 14, 2012

Solat sempurna boleh disiplinkan setiap Muslim



Solat mampu menjadi sebagai sumber kekuatan jiwa. Solat dapat menguatkan jiwa seseorang sehingga mampu meninggalkan perkara keji dan kemungkaran.

Allah SWT berfirman: “Bacalah serta ikutlah (wahai Muhammad) akan apa yang diwahyukan kepadamu dari al-Quran, dan dirikanlah solat (dengan tekun), sesungguhnya solat itu mencegah dari perbuatan yang keji dan mungkar, dan sesungguhnya mengingati Allah adalah lebih besar (faedahnya dan kesannya), dan (ingatlah) Allah mengetahui akan apa yang kamu kerjakan.” (Surah al-Ankabut, ayat 45) Solat yang dilakukan secara sempurna dapat mendisiplinkan Muslim. Rukun tertib dalam solat dan kebanyakan ibadat lain adalah latihan sangat berjaya membentuk insan yang patuh dan berdisiplin tinggi.

Allah SWT berfirman: “Sesungguhnya solat itu adalah satu ketetapan yang diwajibkan atas orang yang beriman, yang tertentu waktunya.” (Surah an-Nisa, ayat 103)


Antara perkara yang wajib dilaksanakan sebelum bersolat ialah mengambil wuduk dan wuduk tidak dianggap sah melainkan dengan tertib.

Demikian juga ketika bersolat, tertib wajib dipelihara. Jika mendahulukan amalan yang dikemudiankan, solat tidak sah.

Malah, tidak menjadi kesalahan jika kecenderungan seseorang kepada solat dijadikan faktor penting dalam memilih pekerja, pemimpin mahupun pasangan hidup.


Solat mendidik umat Islam menepati masa kerana pensyariatan solat fardu lima waktu mendidik hamba-Nya mengurus masa dengan baik.
Allah SWT berfirman: “Sesungguhnya solat itu adalah satu ketetapan yang diwajibkan atas orang yang beriman, yang tertentu waktunya.” (Surah an-Nisa, ayat 103)

Oleh kerana solat fardu yang lima terikat dengan waktu, mereka yang bersolat perlu prihatin dan peka dengan waktu kerana solat sebelum masuk waktu dengan sengaja adalah tidak sah dan mendapat dosa. Jika dilakukan selepas waktunya solat itu dianggap qada’.

Ini secara tidak langsung melatih orang Islam menepati dan menghargai masa. Malah kegagalan menepati waktu solat memberikan kesan langsung kepada keprihatinan seseorang itu terhadap masa dalam kehidupannya yang lain.

Seseorang yang culas solat Subuh juga menghadapi masalah ke tempat kerja atau sekolah. Kepekaan kepada waktu solat dapat diperkembangkan kepada seluruh kehidupan hingga menjadikan umat Islam golongan menghargai masa untuk cemerlang di dunia dan akhirat.

Solat didirikan dengan penuh keikhlasan dan kesempurnaan akan menjadi cahaya di dunia dan akhirat serta diselamatkan daripada azab api neraka.

Rasulullah SAW pernah menceritakan, orang yang tekun mengerjakan solat mendapat cahaya atau petunjuk di dunia dan akhirat. Orang yang bersolat juga tidak akan terjerumus ke lembah kehinaan dan kebinasaan kerana solat menjadi panduan mereka menjalani hidup diredai Allah.

Abdullah bin Amru melaporkan kisah ini daripada Rasulullah yang sabdanya: “Sesiapa yang memeliharanya (solat) dia akan mendapat cahaya dan bukti serta pertolongan pada hari kiamat.

Sesiapa yang tidak memelihara solat, dia tidak akan mendapat cahaya (petunjuk), tiada bukti dan tidak akan mendapat pertolongan. Malah, pada hari kiamat nanti, dia akan ditempatkan bersama dengan Qarun, Firaun, Haman dan Ubai bin Khalaf.” (Riwayat Ahmad dalam Musnad Ahmad)

Ringkasnya, solat adalah kewajipan dan syiar yang paling utama seorang Muslim. Solat juga adalah garis pemisah antara iman dan kufur, antara orang beriman dan orang kafir.

Berdasarkan Tafsir al-Azhar, Imam Abu al-Aliyah berkata, solat mempunyai tiga keistimewaan dan jika tidak ada ketiga-tiga ini dalam solat, solat itu dianggap tidak berfaedah sama sekali. Tiga keistimewaan itu ialah ikhlas, khusyuk dan zikrullah.

No comments:

Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...