Budaya keji mengeji dan gurauan melampau
berbentuk penghinaan atas kekurangan seseorang seakan-akan menjadi hiburan oleh
sesetengah orang dan menjadi dosa yang tersembunyi tanpa kita sedari.
Begitu hebat anggota badan yang diciptakan Allah SWT dan dinamakan sebagai
lidah ini.
Selain dapat merasa pelbagai nikmat rasa seperti manis, masin, masam dan pahit,
lidah juga memainkan peranan penting dengan membantu kita untuk berbicara dan
berkomunikasi.
Lidah juga sering menjadi punca kepada segala perbalahan dan permulaan kepada
pertelingkahan yang mengundang kepada dosa.
Lihat saja sebuah laporan akhbar baru-baru ini mengenai seorang lelaki ditembak
oleh rakannya ketika selesai menonton perlawanan akhir bola sepak.
Semuanya bermula akibat provokasi dan gurauan melampau serta rasa tidak puas
hati akibat diejek berikutan pasukan yang disokongnya kalah.
Akibat tidak dapat menahan sabar kerana diejek rakan sendiri, suspek melepaskan
empat das tembakan yang hampir meragut nyawa rakannya.
Ini yang dikhuatirkan kerana sesuatu bencana itu sering dilihat berpunca
daripada lidah.
Antara dosa yang disebabkan lidah ialah mengumpat, mengeji, mengadu domba,
fitnah dan menghasut .
Kerana itu Rasulullah SAW menyatakan, lidah itu boleh membawa kepada keburukan
dan bala kepada seseorang sepertimana dalam hadis bermaksud: “Tidaklah hasil
tuaian lidah manusia itulah yang menghumbankan muka mereka ke dalam neraka.”
Namun memang sukar mengawal lidah kerana sering tutur bicara kita mendahului
fikiran.
Setelah bercakap baru menyesal, tetapi bak kata pepatah, “terlajak perahu boleh
diundur, terlajak kata buruk padahnya’.
Kerana itu, Allah SWT dan Rasul-Nya banyak memberi peringatan dan bimbingan
dalam soal menjaga lidah.
Daripada Abu Hurairah RA, diriwayatkan bahawa Nabi Muhammad SAW bersabda yang
bermaksud:
“Sesiapa beriman kepada Allah dan hari akhirat, hendaklah ia berkata yang baik atau ia diam.” (hadis riwayat Imam Bukhari dan Muslim)
Dalam hadis lain, Rasulullah SAW bersabda yang bermaksud:
“Sesungguhnya Allah benci kepada orang yang jelik budi pekertinya serta kotor lidahnya.” (hadis riwayat Imam Tirmidzi)
Menurut Rasulullah SAW, ada tiga golongan manusia di dunia, iaitu yang mendapat
pahala, selamat daripada dosa dan binasa.
Orang yang mendapat pahala sentiasa mengingati Allah, berzikir, mengerjakan
solat dan sebagainya.
Orang yang selamat daripada dosa ialah mereka yang diam, manakala orang yang
binasa sentiasa melakukan perkara mungkar, maksiat dan tidak mengawal lidahnya
dengan baik.
Kita dapat mengenal peribadi seseorang daripada percakapannya.
Orang yang tinggi akhlak selalunya bercakap hal baik saja, tidak menyakiti hati
orang lain, tidak mengucapkan perkataan kotor dan tidak banyak bercakap. Mereka
mengawal lidah.
Bak kata pepatah Arab: “Kata-kata yang lembut bisa meruntunkan jiwa pendengar,
dan kata-kata keras nista bisa membakar dan meledakkan hati.”
Begitulah besar kesan yang dibawa oleh satu organ yang tidak bertulang, yakni
lidah.
Tidak hairan mengapa lidah dikatakan boleh menentukan nasib seseorang itu
apabila di Padang Mahsyar nanti sama ada ke syurga atau neraka.
Dalam hadis yang diriwayatkan Imam Tirmidzi dan Ibnu Majah, bahawasanya Abu
Hurairah RA menceritakan, apabila Rasulullah SAW ditanya sebab terbesar yang
membawa seseorang masuk syurga, Rasulullah menjawab: “Takwa kepada Allah dan
akhlak yang baik.”
Apabila ditanya pula sebab terbesar yang membawa manusia masuk neraka,
Rasulullah SAW menjawab: “Dua rongga badan iaitu mulut dan kemaluan.”
Artikel ini disiarkan pada : 2012/07/08
No comments:
Post a Comment