Oleh : Mohd Rizal Azman Rifin
Pertingkat muhasabah diri hapus virus
mazmumah
Selang beberapa hari lagi Ramadan penuh berkat dan ganjaran pahala bakal
menjelma. Malah, setiap kali menjelang bulan mulia ini, biasanya suri rumah
paling sibuk bersiap mengenai menu yang sesuai dan menyelerakan untuk juadah
berbuka serta bersahur. Inilah kelaziman dan agenda yang seakan berakar
umbi kukuh dalam masyarakat tatkala datangnya Ramadan. Alangkah baik jika kita
membuat sedikit ‘kerja rumah’ dengan menyediakan ‘senarai semak’ mengenai
kelemahan dilakukan sepanjang Ramadan sebelum ini.
“Bulan yang di dalamnya diturunkan al-Quran
sebagai petunjuk bagi manusia dan penjelasan mengenai petunjuk dan beza antara
yang benar dan yang salah” - Surah al-Baqarah, ayat 185
Harapan kita segala kecacatan amalan
Ramadan lalu dapat ditebus kembali pada tahun ini. Mari kita bermuhasabah diri.
Pertama, apakah kita hanya berpuasa zahir semata-mata dengan meninggalkan soal
makan minum sedangkan perangai lama seperti mengumpat, berhasad dengki dan
sebagainya masih terlekat di hati.
Jika demikian, maka kita perlu imbas semula hati pada Ramadan tahun ini supaya
virus mazmumah dapat dinyahkan dari dalam diri.
Tidak guna berpuasa selama 13 jam menahan lapar dan dahaga, tetapi tidak mampu
menahan lidah daripada berkata yang keji, hati penuh berkarat kerana iri hati
kepada insan lain dan tabiat menabur fitnah masih menebal.
Kita mesti berusaha membuang apa saja toksid penyakit hati jauh dari sanubari
supaya amalan berpuasa tahun ini mendapat ‘Gred A’ daripada Allah. Jadikan ia
seumpama mesin basuh mencuci segala kotoran melekat di jiwa, seterusnya
menghasilkan jiwa dan hati yang jernih tanpa debu dosa.
Kedua, Ramadan sinonim dengan amalan bertadarus al-Quran dan kehadiran Ramadan
seolah-olah menjadi satu magnet yang menarik kita untuk turut serta menggiatkan
aktiviti membaca al-Quran.
Namun, janganlah kerana amalan itu terhenti sekitar Ramadan saja dan selepas
itu semangat untuk memegang kitab al-Quran mulai kendur.
Ramadan dan al-Quran ibarat dua sahabat karib saling mencintai antara satu sama
lain kerana kitab suci itu diturunkan pada bulan mulia ini. Janggal dan tidak
lengkap pakej puasa Ramadan kita seandainya amalan membaca al-Quran tidak
diamalkan.
Ketiga, jika sebelum ini kita tidak pernah atau hanya sesekali saja, maka tahun
ini sewajarnya kita berazam mengubah tabiat malas bersolat malam dengan
melakukan transformasi hati supaya rajin dan bersemangat menunaikannya.
Mualla bin Fadhil ada memberitahu, orang soleh terdahulu membahagikan 12 bulan
kepada dua bahagian. Enam bulan pertama mereka memohon kepada Allah supaya
dapat bertemu Ramadan dan melaksanakan ibadat dalam bulan demikian dengan aktif.
Pada enam bulan kedua, mereka memohon kepada Allah supaya puasa dan semua
ibadat dilakukan sepanjang Ramadan diterima Allah.
Demikianlah kasih dan cinta orang soleh pada zaman dulu. Jadi, berusahalah
menjinakkan hati kita, anak isteri supaya membiasakan amalan mendirikan solat
malam sebagai menyahut seruan Allah yang menjanjikan pulangan pahala besar.
Keempat, seharusnya puasa di bulan Ramadan menjadikan kita seorang insan yang
tidak bakhil sebaliknya sentiasa teruja untuk menghulurkan sedekah dan bantuan
kepada orang lain.
Jadikanlah Ramadan ini akademi yang mengasuh dan mendidik hati dengan sifat
mahmudah serta amalan soleh sekali gus memadamkan virus mazmumah yang sentiasa
bersarang dalam jiwa selama ini.
No comments:
Post a Comment