بِسۡمِ ٱللهِ ٱلرَّحۡمَـٰنِ ٱلرَّحِيمِ
Dengan nama Allah, Yang Maha Pemurah, lagi Maha Mengasihani. Artikel-artikel yang disiarkan di sini adalah sebagai rujukan dan simpanan peribadi pemilik blog ini. Kebanyakannya diambil daripada sumber-sumber yang dinyatakan. Segala pendapat dalam penulisan ini adalah pendapat penulis artikel yang sebenar. Jika ada kekeliruan tuanpunya blog ini menyarankan supaya bertanya kepada penulis asal. Semoga memberikan manfaat kepada pembaca.

Wednesday, July 25, 2012

Jangan Lepaskan Kebaikan Ramadhan


 

Bismillahirrahmanirrahim.

Syukur kepada Allah kerana menganugerahi Ramadhan kepada kita semua. 

Ramadhan yang menjanjikan 1001 rahmat buat kita.

Oleh itu marilah kita sama-sama cuba meramadhankan diri melalui ibadat yang wajib dan sunat.

Amat malang jika kita merasakan Ramadhan sebagai bebanan dan kesukaran. 

Rasulullah SAW bersabda yang bermaksud: "Allah SWT naungkan kepada kamu dengan berlabuhnya bulan Ramadhan ini,  Rasulullah SAW bersumpah: Tiadalah berlalu ke atas orang Islam bulan yang lebih baik bagi mereka daripada bulan Ramadhan dan tidak kepada munafik lebih teruk daripada bulan Ramadhan. Sesungguhnya Allah SWT menulis pahala ganjarannya sebelum menjelmanya bulan dan juga menulis dosa serta kehinaan sebelum masuknya bulan Ramadhan." (riwayat Imam Ahmad dan al-Baihaqi).

Sebenarnya orang yang beriman melihat kepada laba dan keuntungan pahala yang dianugerahkan Allah kepada yang beriman dan beramal bersungguh-sungguh pada bulan Ramadhan seperti berpuasa dengan sepenuh hati, melakukan qiamullail, terawih, witir dan lain-lain.

Sedangkan orang munafik melihat kepada habuan nafsu dan syahwat. Justeru, perasaan pertama terlintas kepada mereka bila Ramadhan mengunjunginya dengan perasaan lapar, dahaga, letih, penat, mengantuk, malas, susah, banyak terganggu dan tergendala program kehidupan mereka selama 11 bulan.

Atas asas inilah mereka merasa sukar dengan munculnya Ramadhan yang membawa 1001 rahmat dan kelebihan.

Daripada Abi Mas'ud al-Ghifari, katanya Rasulullah SAW bersabda: "Kalaulah hamba-hamba Allah mengetahui kelebihan yang terdapat pada bulan Ramadhan, nescaya mereka bercita-cita supaya bulan Ramadhan berlaku sepanjang tahun." (riwayat al-Tabarani, Ibnu Khuzaimah dalam sahihnya dan al-Baihaqi.

Disebabkan tiada kefahaman yang mendalam, golongan yang merasakan kesukaran dalam bulan Ramadhan membiarkan diri mereka hanyut dalam kehidupan sehingga lalai untuk beribadat.

Akhirnya mereka hanya melihat puasa sebagai amalan ritual atau semata-mata kewajipan tanpa memahami kelebihan yang begitu banyak dalam bulan tersebut.

Oleh  itu kita hendaklah  cuba menghayati kelebihan Ramadhan dan keistimewaannya untuk kita lakukan acara ibadat dengan sebanyak mungkin. Jadikanlah Ramadhan kali ini lebih baik daripada Ramadhan lalu dari sudut laba dan keuntungan akhirat. Penuhilah masjid dengan beriktikaf dan solat serta menghadiri majlis pengajaran ilmu.

Semoga kita menjadi hamba Allah yang benar-benar melaksanakan ibadat yang wajib dan sunat agar kita meraih takwa di sisi Allah SWT. Amin.

Rujukan : Ramadhan Bukan Beban

No comments:

Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...