Tuan Guru Nik Abdul Aziz Nik Mat,
|
19 Jul 2012
|
Bersyukur kehadrat Allah
SWT, kerana kita masih diberi peluang oleh-Nya dapat bertemu lagi dengan
Ramadhan 1433H, bulan yang mulia (Ramadhan Karim).
Sempena dengannya. marilah kita merenung
perjalanan masa kita hidup ini, kita telah memanfaat segala anggota tubuh badan
bagi menyempurnakan segala urusan seharian. Jika diibarat sebuah motokar yang
kita pakai sehari-hari, akan ada masanya kita perlu bawa motokar ke bengkel
untuk diservis atau mungkin perlu dioverhaul bagi memulih dan menjaga kondisi
motokar sentiasa berkeadaan baik.
Demikian juga tubuh kita, kena jaga dan
perlu dibersihkan luar dan dalam. Maka sampainya Ramadhan adalah bulan untuk
kita membersihkan aspek dalaman kita agar pelbagai penyakit berkaitan dengan
hati dan iman dapat diubati dengan cara berpuasa dan beribadat. Antara penyakit
ialah penyakit syirik, takabur, ujub (seronok sendiri), hasad-dengki, niqmah
(dendam), riak (menunjuk-nujuk) dan sebagainya. Maka ibadat sepanjang Ramadhan
adalah penawar mujarab bagi semua jenis penyakit ini.
Oleh yang demikian, amalan puasa Ramadhan
ini diwajibkan oleh Allah sekali setahun antaranya bertujuan supaya manusia
melawan nafsu dalam diri, terutama nafsu makan dan minum. Dengan melawan nafsu
kita telah melatih diri untuk menghayati bagaimana mengawal hati dan iman
supaya tunduk kepada perintah Allah Taala. Di sebalik perintah Allah, wajib
atas kita berhenti makan dan minum di siang hari selama sebulan. Meskipun
perintah-Nya bercanggah dengan hak kita sendiri. Apa yang utama, dengan cara
puasa dan amal ibadat Ramadhan, ia sebagai cara untuk kita membendong perasaan
tamak supaya tahu mana satu hak kita dan mana pula hak orang lain.
Oleh sebab itu, bulan Ramadhan ada
kelebihan tertentu, antaranya dimuliakan dengan ibadat solat tarawih. Islam
meletakkan solat tarawih sebagai sunat mua’akad dengan tujuan supaya manusia
yakin dengan apa sahaja kelebihan yang disebut dalam Al-Quran. Ini kerana
Al-Quran adalah sebagai buku panduan “How to Use”. Ibarat kita memandu motokar,
bagaimana cara pemanduan yang selamat ada disebutkan dalam buku “How to Use.”
Ini bermakna, pemanduan tanpa panduan yang betul, maka berkemungkinan motokar
akan rosak dan tidak selamat.
Oleh yang demikian, manusia kena faham
tujuan Allah menjadikan manusia. Firman-Nya:
Bermaksud,
“Dia-lah (Allah) yang menjadikan untuk kamu segala yang ada di bumi, kemudian Ia menuju dengan kehendak-Nya ke arah (bahan-bahan) langit, lalu dijadikannya tujuh langit dengan sempurna; dan Ia Maha Mengetahui akan tiap-tiap sesuatu” (Surah Al-Baqarah 2:29).
Oleh sebab itu manusia yang ramai di dunia
ini, perlu ada “How to Use” yakni sentiasa menjadikan Al-Quran sebagai panduan,
jika tidak, akan porak peranda masyarakat. Firman Allah SWT:
Bermaksud,
“Katakanlah: “Sesungguhnya aku hanya menurut apa yang diwahyukan kepadaku dari Tuhanku. Al-Quran ini ialah panduan-panduan – yang membuka hati – dari Tuhan kamu, dan petunjuk serta menjadi rahmat bagi orang-orang yang beriman” (Surah Al-A’araf 7:203).
Bagi menjayakan perintah ini, Allah menetapkan
dalam Al-Quran betapa setiap manusia akan berdepan dengan pembalasan dan pada
hari pembalasan setiap manusia kena berdepan dengan Allah SWT. Firman-Nya:
Maksudnya,
“Tiap-tiap yang bernyawa akan merasai mati, dan bahawasanya pada hari kiamat sahajalah akan disempurnakan balasan kamu. Ketika itu sesiapa yang dijauhkan dari neraka dan dimasukkan ke syurga maka sesungguhnya ia telah berjaya. Dan (ingatlah bahawa) kehidupan di dunia ini (meliputi segala kemewahannya dan pangkat kebesarannya) tidak lain hanyalah kesenangan bagi orang-orang yang terpedaya” (Surah Ali-Imran 3:185).
Di akhirat kelak tidak guna lagi harta,
tiada lagi benda untuk kita pujuk, bodek atau rasuah seumpama beli undi untuk
masuk syurga. Harta yang kita banggakan di dunia ini sudah tidak berguna di
akhirat. Hakikatnya semua manusia akan berdepan dengan suasana pembalasan.
Firman Allah SWT:
Bermaksud,
“Apabila berlaku hari kiamat itu. Tiada sesiapapun yang dapat mendustakan kejadiannya. Kejadian hari kiamat itu merendahkan (golongan yang ingkar), dan meninggikan (golongan yang taat)” (Surah Al-Waaqi’ah 56:1-3).
Oleh sebab itulah, diwajibkan sebut
“maaliki yaumid-din” dalam segenap kali kita solat, Atas kerananya kita diwajid
baca Surah Al-Fatihah dalam solat. Ini kerana intisarinya mengandungi maksud
kita mohon dan merayu kepada Allah SWT, berserta dengan kita memuji Allah SWT..
Dalam ayat “maaliki yaumid-din” itu juga
disebut “ad-din” iaitu lafaz “musytarikun” iaitu hari ‘agama’ sebagai al-jazak.
Sedangkan lafaz “al-jazak” adalah makna asal dalam memahaami “maaliki
yaumiddin”, tetapi hikmatnya yang tinggi digunakan “ad-din” supaya diyakini
ketika itu berlaku pembalasan mengikut agama. Atas asas agamalah, segala akta,
dan undang-undang yang digubal di parlimen atau sebarang keputusan oleh badan
tertinggi di dunia seumpama Pertubuhan bangsa-bangsa Bersatu (PBB) mana yang
tidak selaras dengan ad-din akan tertolak.
Memahami waqi’ sedemikian, bulan Ramadhan
ini hendaklah dilalui dengan penuh keimanan dan ketakwaan. Ia selari dengan
kelebihan beribadat sepanjang Ramadhan akan meningkatkan takwa diri kita di
sisi Allah SWT. Firman-Nya:
Bermaksud:
“Wahai orang-orang yang beriman! Kamu diwajibkan berpuasa sebagaimana diwajibkan atas orang-orang yang dahulu daripada kamu, supaya kamu bertaqwa” (Surah Al-Baqarah 2:183).
Selamat menyambut Ramadhan Al-Muabarak
dengan penuh ketakwaan.
Tuan Guru Dato’ Bentara Setia Haji Nik
Abdul Aziz Nik Mat,
Menteri Besar Kelantan merangkap
Al-Mursyidul Am PAS.
Banyaknya Ganjaran.. nak dapat ganjaran kena usaha lebih..
No comments:
Post a Comment