بِسۡمِ ٱللهِ ٱلرَّحۡمَـٰنِ ٱلرَّحِيمِ
Dengan nama Allah, Yang Maha Pemurah, lagi Maha Mengasihani. Artikel-artikel yang disiarkan di sini adalah sebagai rujukan dan simpanan peribadi pemilik blog ini. Kebanyakannya diambil daripada sumber-sumber yang dinyatakan. Segala pendapat dalam penulisan ini adalah pendapat penulis artikel yang sebenar. Jika ada kekeliruan tuanpunya blog ini menyarankan supaya bertanya kepada penulis asal. Semoga memberikan manfaat kepada pembaca.

Monday, July 16, 2012

Ramadhan Kareem daripada LangitIlahi


Sumber Gambar : FB Islam Itu Indah

Sumber Artikel:

Sudah Ramadhan kah?
Belum. Tetapi sengaja kami utarakan ucapan Ramadhan Kareem lebih awal. Jawablah dengan jawapannya yang mulia – Allahu Akram. Dan kami tidak mengucapkan ucapan ini sia-sia. Kami mengucapkannya dengan harapan dan doa. Agar kami di LangitIlahi.Com dan anda sebagai pembaca serta pelawat kami di sini mampu melalui Ramadhan kali ini dalam keadaan yang terbaik sekali.
Meneguk manfaatnya, mendapatkan fadhilatnya, dan mengekstrak kebaikan-kebaikan yang wujud di dalamnya.
Kami juga mengucapkannya lebih awal, kerana ingin mengiringinya dengan muhasabah.
Muhasabah 1: Sudah Berapa Kali Ramadhan?
Memandang ke belakang dalam kehidupan kita, sepatutnya kita bertanya satu soalan: “Sudah berapa kali Ramadhan?”
Ya. Sudah berapa kali?
Dalam banyak kali kita melalui Ramadhan ini, apakah peningkatan kita? Apa yang kita dapat selama Ramadhan-Ramadhan yang lepas?
Ya. Lihat semula diri. Kemudian tanya lagi satu soalan: “Apakah Ramadhan kali ini, akan sama dengan Ramadhan yang lepas?”
Maka bagi mereka yang telah mensia-siakan Ramadhannya sepanjang kehidupannya yang sebelum ini, maka perlu tanam azam agar Ramadhan kali ini tidak menjadi seperti yang sebelumnya.
Bagi mereka yang telah menjayakan Ramadhan yang lepas pula, perlulah berazam untuk memperhebatkan lagi amalan, dan merancang apa lagi perubahan pada diri atau peningkatan yang ingin dilakukan.

Muhasabah 2: Berperancangankah? Atau semberonokah?
Kita selama ini melalui Ramadhan bagaimana?
Punya rancangan yang baik, atau sekadar meredahnya sahaja. Orang lain solat tarawih, kita ikut begitu sahaja. Orang lain baca Al-Quran, kita main ikut sahaja. Atau sebenarnya kita ini punya perancangan yang rapi, dan mengetahui apa yang mahu kita capai?
Maka kami ingin mengajak kepada diri kami dan anda, agar Ramadhan kali ini tidak kita lalui sembarangan sahaja. Allah SWT memberikan kita 29 atau 30 hari Ramadhan, maka sepatutnya setiap hari kita rancang untuk isi dengan apa dan apa. Bukan membuta melaluinya begitu sahaja.
Letakkan target mahu capai apa Ramadhan kali ini, untuk dibawa amalkan sepanjang 11 bulan nanti.
Kemudian rancang 30 hari ini, untuk mencapainya di akhir Ramadhan nanti!

Muhasabah 3: Apakah Kita Fahami Tujuan Ramadhan?
Saban tahun kita mengulang-ulang ayat:
“Wahai orang-orang yang beriman! Kamu diwajibkan berpuasa sebagaimana diwajibkan atas orang-orang yang dahulu daripada kamu, supaya kamu bertaqwa.” Surah Al-Baqarah ayat 183.
Kita menyatakan bahawa, menggapai Taqwa adalah tujuan Ramadhan, dan seakat itu sahajalah yang kita nampak. Tetapi hakikatnya, lebih besar daripada itu. Kita perlu kembali kepada definisi Taqwa. Apakah itu Taqwa?
Dinyatakan di dalam Tafsir Ibn Kathir, bahawa Umar Al-Khattab RA pernah bertanya kepada Ubay ibn Ka’ab akan makna Taqwa, lantas Ubay bertanya semula kepada Umar: “Pernahkah engkau melalui jalan yang penuh duri?”
Umar menjawab: “Pernah.”
Ubay bertanya lagi: “Apa yang engkau lakukan?”
“Aku akan angkat kain jubahku, dan berjalan dengan berhati-hati.”
Ubay berkata: “Itulah dia Taqwa.”
Taqwa hakikatnya adalah takut kepada Allah SWT, ketundukan kepada Allah SWT. Takut untuk melanggar laranganNya, dan tunduk untuk memenuhi perintahNya. Taqwa adalah defence mechanisme yang akan membantu kita untuk menjauhkan diri daripada perkara terkutuk, dan apa-apa sahaja yang akan memburukkan peribadi serta kehidupan kita.
Maka tujuan Allah SWT menghadiahkan Ramadhan kepada kita, adalah untuk kita mengaut Taqwa supaya kita mampu menjadi hambaNya yang terbaik sepanjang 11 bulan yang mendatang. Yakni agar kita mampu menjauhkan diri dari laranganNya sepanjang kehidupan kita, dan mentaatiNya setiap masa. Tidakkah kita melihat?
Itulah dia tujuan Ramadhan.
Untuk ‘membina’ kita.
Bukan untuk mendapatkan hari raya!

Penutup: Marilah, Ubah Paradigma. Supaya Ramadhan Tidak Lagi Sia-sia.
Memahami tiga muhasabah ini, kita bergerak mengubah paradigma.
Cukuplah umur yang telah terbazir.
Cukuplah Ramadhan-Ramadhan yang telah berlalu.
Cukup dan cukuplah melalui Ramadhan yang sia-sia.
Mari kita jadikan Ramadhan kali ini yang terbaik buat kita. Yang bermanfaat. Yang membina syakhsiah kita, jiwa kita, hati kita.
Marilah. Kami mengucapkan Ramadhan Kareem awal sebelum Ramadhan, agar nasihat ini sampai sebelum Ramadhan. Agar kita sudah boleh set minda kita untuk mencapai apa Ramadhan kali ini. Agar kita boleh set jiwa kita untuk membina kesungguhan dalam Ramadhan kali ini.
Agar Ramadhan kali ini menjadi yang terbaik!
Kami di LangitIlahi juga akan mengusahakannya.
Ayuh, bersama, kita menjadi hamba!
Ramadhan Kareem!


No comments:

Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...