Oleh : Dr Engku Ahmad Zaki Engku Alwi
Setiap orang tentu mengharapkan keamanan,
kebahagiaan dan ketenangan hidup, sebaliknya apabila ada bencana mengancam,
mereka pun berusaha menepisnya.
Jika bencana itu sudah menimpa, pelbagai cara pula dicari untuk
menghilangkannya. Dalam keadaan seperti ini, orang yang tidak memiliki
pemahaman tauhid sebenar, sangat mudah terjerumus dalam perbuatan syirik. Justeru,
seorang Muslim wajib meyakini hanya Allah SWT yang menguasai seluruh kebaikan
dan mudarat, baik yang belum berlaku mahu pun sudah menimpa.
Rasulullah SAW bersabda: “Tidak ada sesuatu
mampu menolak takdir kecuali doa.” (Hadis riwayat Ahmad)
Allah SWT berfirman: “Dan demi
sesungguhnya! Jika engkau (wahai Muhammad) bertanya kepada mereka (yang
musyrik) itu: Siapakah yang mencipta langit dan bumi? Nescaya mereka menjawab:
“Allah”. Katakanlah (kepada mereka): Maka terangkan kepadaku apa yang kamu
sembah selain Allah? Jika Allah hendak menimpakan kemudaratan kepadaku, apakah
berhalamu itu dapat menghilangkan bahaya itu atau jika Allah mahu memberi rahmat
kepadaku, apakah mereka dapat menahan rahmat-Nya? Katakanlah: Cukuplah Allah
bagiku. Kepada-Nya bertawakal orang yang berserah diri.” (Surah al-Zumar, ayat
38)
Bagi Muslim, saat berdepan musibah atau kegagalan banyak cara boleh dilakukan
seperti (Pertama) memperbanyakkan doa ke hadrat Ilahi yang Maha Mengasihani. Orang Islam
yang tidak putus berdoa, mengalir dalam dirinya kekuatan menjadikan dirinya
lebih sabar, tegar dan beristiqamah.
Rasulullah SAW bersabda: “Tidak ada sesuatu mampu menolak takdir kecuali doa.”
(Hadis riwayat Ahmad)
Malah, ada doa daripada Allah SWT yang dirakamkan dalam al-Quran untuk
membimbing kita supaya terhindar daripada ujian, musibah, dan bala.
Kedua ialah kejituan takwa kerana ada beberapa ayat mengungkapkan kesungguhan
dan kejituan dalam ketakwaan menatijahkan keutuhan spiritual untuk
menyelesaikan pelbagai kesulitan serta kepayahan hidup.
Ketiga, keredaan orang tua. Setiap Muslim perlu memuliakan kedua-dua orang
tuanya kerana doa dan restu mereka memudahkan jalan meraih sejuta kebaikan
duniawi dan ukhrawi.
Keempat, amalan sedekah banyak disebut dalam al-Quran dan hadis Rasulullah SAW.
Bukti iman dan Islam seseorang terletak pada amalan sedekah yang dilakukannya
dengan penuh keikhlasan dan ketakwaan, sekali gus bertindak sebagai perisai
daripada bahaya dan musibah.
Kelima, mengucapkan istighfar. Allah SWT berfirman: “Dan Allah tidak
sekali-kali akan menyeksa mereka, sedang engkau (wahai Muhammad) ada di antara
mereka; dan Allah tidak akan menyeksa mereka sedang mereka beristighfar
(meminta ampun).” (Surah al-Anfal, ayat 33)
Berikutnya, silaturahim, berzikir dan berselawat. Orang yang mengingati Allah
memperoleh jaminan perlindungan daripada gangguan dan godaan syaitan.
Akhirnya, sentiasa berbuat baik kepada semua makhluk. Kebaikan disebarkan di
bumi sebenarnya kebaikan yang bakal kembali kepadanya seperti yang Allah
kurniakan dari langit kepada hamba-Nya yang soleh.
No comments:
Post a Comment