بِسۡمِ ٱللهِ ٱلرَّحۡمَـٰنِ ٱلرَّحِيمِ
Dengan nama Allah, Yang Maha Pemurah, lagi Maha Mengasihani. Artikel-artikel yang disiarkan di sini adalah sebagai rujukan dan simpanan peribadi pemilik blog ini. Kebanyakannya diambil daripada sumber-sumber yang dinyatakan. Segala pendapat dalam penulisan ini adalah pendapat penulis artikel yang sebenar. Jika ada kekeliruan tuanpunya blog ini menyarankan supaya bertanya kepada penulis asal. Semoga memberikan manfaat kepada pembaca.

Monday, July 30, 2012

Rebut kelebihan Ramadan


Pada Ramadan, masyarakat Islam digalakkan memperbanyak bersedekah, menyediakan juadah berbuka puasa dan menghulurkan apa juga bantuan yang terdaya bagi mencontohi perbuatan Baginda Nabi SAW yang sangat pemurah.

Begitu juga kewajipan bersegera menunaikan fardu zakat fitrah bagi yang berkemampuan tidak harus dilengah-lengahkan. 

Nabi Muhammad SAW bersabda: 
“Sesiapa daripada kalangan mukmin memberi makanan kepada mukmin yang kelaparan maka Allah SWT akan memberinya makanan buah-buahan syurga pada hari kiamat. Sesiapa daripada kalangan mukmin memberi minuman kepada mukmin yang kehausan maka Allah SWT akan memberinya khamar syurga yang termeterai bekasnya pada hari kiamat. Sesiapa daripada kalangan mukmin memberi pakaian kepada mukmin yang tidak berpakaian maka Allah SWT akan memberinya pakaian syurga yang berwarna hijau.” (Riwayat al-Tirmiziy dan Abu Daud)
Baginda SAW pernah ditanya sedekah yang paling afdal dan Baginda menjawab, sedekah pada Ramadan.

Selain itu kelebihan, Ramadan juga dibahagi-bahagikan kepada nikmat beroleh rahmat Allah SWT pada 10 hari pertama, ganjaran pengampunan dosa pada 10 hari berikut dan akhirnya pembebasan daripada api neraka di 10 terakhir.

Kelebihan Ramadan jadi motivasi muslimin beramal

Semua kelebihan ini motivasi untuk muslimin beramal memenuhi Ramadan dengan aktiviti bermanfaat. Diriwayatkan juga apabila tiba Ramadan, pintu langit, pintu syurga, pintu rahmat dibuka, pintu neraka ditutup dan syaitan dibelenggu. 


Masyarakat Islam diseru berusaha bersungguh-sungguh memenuhi seluruh Ramadan dengan pelbagai kegiatan ibadah yang memiliki ganjaran hebat. Ganjaran bertadarus al-Quran contohnya mampu memberi ketenangan dan menarik rahmat Allah SWT.

Ini dinyatakan dalam riwayat: 
“Tidaklah berkumpul suatu kaum di rumah Allah, mereka membaca al-Quran dan saling mempelajarinya kecuali akan turun kepada mereka ketenangan, diliputi rahmat Allah SWT, malaikat akan menyertai mereka dan Allah SWT membanggakan mereka di kalangan malaikat yang ada di sisinya.” (Riwayat Abu Daud)

Ramadan juga bulan pengampunan dosa yang memberi peluang individu Muslim melipatgandakan usaha memohon keampunan seterusnya bertaubat dan tidak lagi mengulangi dosa itu. 

Kelebihan yang tiada tolok bandingnya terdapat pula pada malam lailatulqadar. Berjihad mencari lailatulqadar adalah kemuncak daripada segala amal kebajikan dilakukan sejak hari pertama Ramadan. 

Pada malam itu dosa sesiapa beristighfar diampunkan, doa dan permohonan kepada sesiapa yang ikhlas menadah tangan kehambaan diperkenankan. 

Malah pahala beribadah menyamai 1,000 bulan iaitu seolah-olah 83 tahun umur manusia bakal diraih insan terpilih beroleh nikmat beribadah pada malamnya. Ini juga peluang keemasan yang perlu diraih setiap Muslim.

Ia tiba setahun sekali dan tiada sesiapa yang boleh menjangka akan memperoleh lagi kenikmatan seperti ini pada tahun mendatang.

Oleh Mohd Ali Muhamad Don -  Pensyarah Pusat Pemikiran dan Kefahaman Islam, UiTM Kampus Bandaraya Johor Bahru.



No comments:

Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...