بِسۡمِ ٱللهِ ٱلرَّحۡمَـٰنِ ٱلرَّحِيمِ
Dengan nama Allah, Yang Maha Pemurah, lagi Maha Mengasihani. Artikel-artikel yang disiarkan di sini adalah sebagai rujukan dan simpanan peribadi pemilik blog ini. Kebanyakannya diambil daripada sumber-sumber yang dinyatakan. Segala pendapat dalam penulisan ini adalah pendapat penulis artikel yang sebenar. Jika ada kekeliruan tuanpunya blog ini menyarankan supaya bertanya kepada penulis asal. Semoga memberikan manfaat kepada pembaca.

Saturday, July 7, 2012

Guna lidah dengan cara baik




Sebab pulut santan binasa, sebab mulut badan binasa. Inilah kehebatan lidah, jika digunakan dengan baik akan baiklah hasilnya tetapi jika salah percaturan, disebabkan lidah tidak dipelihara, maka buruk padahnya.

Kemungkaran paling mudah dikaitkan dengan lidah ialah ghibah atau mengumpat, yang berakar dalam masyarakat hingga dianggap remeh dan perkara lazim. Anas bin Malik memberitahu Rasulullah SAW berkata kepadanya, “Ketika aku dimikrajkan, aku lewati suatu kaum yang mempunyai kuku dari tembaga, mencakari muka dan dada mereka. Lalu aku bertanya, Siapakah mereka itu, wahai Jibril? Kata Jibril: Mereka adalah orang yang memakan daging manusia (yang suka mengumpat) dan menjatuhkan martabat peribadi mereka.” (Hadis riwayat Abu Daud)



Bagaimanapun, ghibah atau mengumpat masih ada kelonggaran dalam beberapa situasi. Imam an-Nawawi dalam kitab agungnya, ‘Riyadus Solihin’ bahagian Fekah Berjiran Tetangga mengemukakan beberapa keadaan membenarkan seseorang itu melakukan ghibah.

Ghibah apabila dalam keadaan dizalimi. Ini bermakna seseorang yang dizalimi maka dibenarkan mengadu kepada pihak tertentu supaya yang melakukan kezaliman itu menghentikan perbuatannya. Orang dianiaya tidak lagi tertakluk pada larangan ghibah kerana aduan itu termasuk pencegahan.

Ghibah apabila meminta pertolongan orang lain supaya melenyapkan kejahatan dan bertujuan memperingatkan mereka yang berbuat jahat. Ini dibolehkan jika seseorang itu tidak mampu menanganinya sendiri dan memerlukan bantuan orang lain yang berkemampuan menghentikannya.

Mengadu pihak tertentu yang lebih arif berhubung fatwa seperti dilakukan Hindun binti Utbah yang datang menemui Rasulullah SAW dan mengadu Abu Sufyan tidak memberikan belanja mencukupi. Hindun tidak melakukan ghibah tetapi mengharapkan Rasulullah SAW memberikan hukum.

Memanggil atau menamakan seseorang mengikut gelaran tertentu yang sudah biasa digunakan kepadanya. Ini sebenarnya bukan menghina atau memburukkan seseorang lantaran nama gelaran itu sudah lazim disebut.

Ghibah apabila seseorang yang jelas menampakkan kefasikannya. Kata Ash-Shultu bin Thuraif, “Aku ada bertanya kepada Hasan al-Basri: Lelaki fasik yang menampakkan kemaksiatannya, apakah sebutanku kepadanya? Apakah ada pengumpatan itu kepadanya? Jawab Hasan al-Basri: Tiga macam manusia yang tiada pengumpatan terhadapnya, iaitu yang mengikut hawa nafsu, orang fasik yang menampakkan kefasikannya dan imam (penguasa) yang zalim.”

Justeru, walaupun perbuatan ghibah atau mengumpat suatu amalan negatif yang amat ditegah agama, namun pada situasi tertentu ia masih diberikan kelonggaran untuk berbuat demikian atas prinsip kepentingan individu dan menjaga maruah agama.


No comments:

Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...