Orang yang berpuasa seharusnya menyedari bahawa ibadah puasa yang mereka laksanakan dengan penuh keinsafan dan penghayatan akan menjadi perisai bagi dirinya. Bukan hanya menjadi perisai di dunia, malah di akhirat nanti.
Orang yang berpuasa harus juga menyedari bahawa puasa menjadi perisai
dalam kehidupan dunia dalam erti kata mendinding diri daripada terjebak dalam
kancah dosa dan maksiat, lebih-lebih lagi sesudah berlalunya Ramadan, saat kita
terdedah dengan 11 bulan penuh mencabar dan sangat menguji keimanan serta
kesabaran.
Puasa itu perisai daripada api neraka seperti perisai (benteng) salah seorang kamu dalam peperangan. (Puasa akan menjadi perisai) selama mana dia tidak merosakkannya dengan kata-kata dusta dan umpatan”. - Riwayat Ahmad, An-Nasa’i dan Ibnu Majah
Serangan nafsu dan syaitan secara kombinasi
sangat hebat. Tipu helah mereka datang dari segenap arah. Bayangkan, jika puasa
tidak berupaya menghasilkan ‘benteng’ ampuh seperti diharapkan, maka jadilah
kita kala itu ‘bahan’ sepak terajang nafsu dan syaitan.
Puasa yang hebat bukan saja menjadi pendinding untuk sehari dua bahkan dapat
menjadi perisai melindungi diri setiap masa sehingga bertemu Ramadan yang akan
datang.
Manakala di akhirat nanti, ibadah puasa turut menjadi perisai daripada
terjerumus ke dalam api neraka. Inilah kurniaan yang sangat besar kepada hamba
berpuasa.
Nabi SAW bersabda:
“Puasa itu perisai dari api neraka seperti perisai (benteng) salah seorang kamu dalam peperangan. (Puasa akan menjadi perisai) selama mana dia tidak merosakkannya dengan kata-kata dusta dan umpatan.” (Riwayat Ahmad, An-Nasa’i dan Ibnu Majah)
Hikmah agung
Sesungguhnya ibadah puasa difardukan Allah SWT mempunyai pelbagai hikmah agung
bertujuan membuktikan ketaatan kepada Allah SWT dan mampu melahirkan manusia
yang benar-benar menghayati sifat kehambaan dan dapat membina keperibadian diri
muslim sejati.
Justeru, kewajipan kita bukan sekadar menerima puasa sebagai satu perintah
daripada Allah, bahkan kita turut berkewajipan melaksanakannya dengan rasa
penuh keikhlasan. Hanya puasa yang dibina atas tapak keikhlasan saja yang
sampai kepada Allah.
Puasa dalam kategori inilah yang dijanjikan Allah bakal memperoleh ganjaran
pahala tiada tolok bandingnya. Bukannya berpuasa kerana manusia atau
kepentingan duniawi yang bersifat sementara.
Ikhlas laksana ibadah
Rasulullah SAW sangat mengambil berat dan memberi peringatan tegas mengenai
keikhlasan melaksanakan perintah Allah.
Daripada Syaddad bin Aus, ia mendengar Rasulullah SAW bersabda:
“Barang siapa berpuasa demi mencari pujian (nilaian) manusia, sesungguhnya ia telah berbuat syirik, barang siapa solat demi pujian (nilaian) manusia, maka sesungguhnya ia telah berbuat syirik dan barang siapa yang membayar zakat demi pujian (nilaian) manusia, maka sesungguhnya dia juga telah berbuat syirik.” (Riwayat Tabrani)
Puasa dilaksanakan dengan ikhlas kerana Allah adalah puasa yang gemilang dan
penuh kekuatan. Pada hari kiamat nanti puasa yang gemilang berkilauan akan
tampil di hadapan Allah SWT dan berkata: “Izinkanlah aku memberikan syafaat
kepadanya.”
Inilah yang katakan rahmat Allah SWT yang tiada bertepi luasnya. Daripada
Abdillah ibn Umar, Rasulullah SAW bersabda:
“Puasa dan al-Quran akan memberi syafaat kepada seseorang hamba di hari kiamat nanti. Puasa berkata: Wahai Tuhanku! Aku telah menegahnya dari makan dan menuruti nafsu syahwat (semasa menjalani ibadah puasa), maka izinkanlah aku memberikan syafaat kepadanya. Al-Quran pula berkata: (Wahai Tuhanku) Aku telah menegahnya dari tidur di sebelah malam, maka izinkanlah aku memberi syafaat kepadanya. Maka kedua-duanya (puasa dan al-Quran) diizinkan (Allah) memberikan syafaat itu.” (Riwayat Ahmad, Tabrani, Ibnu Abid Dunya dan Al-Hakim)
Peluang berharga
Tidak terhenti dengan kurniaan pahala yang tidak bertepi, mukmin berpuasa
kerana Allah diberi kurniaan tambahan iaitu doanya dijamin mustajab, pasti
didengari dan dikabulkan. Peluang berharga ini, janganlah disia-siakan.
Hakikatnya di dunia ini, berapa ramai orang yang berdoa, berbuih-buih mulutnya
bukan sehari tetapi bertahun-tahun, namun Allah belum berkenan memakbulkannya.
Keadaan sebaliknya bagi orang yang benar-benar berpuasa.
Bukan sekadar Allah akan memakbulkannya bahkan Allah juga rindu dan
ternanti-nanti doa dan rintihan hamba-Nya yang berpuasa.
Sabda Rasulullah SAW:
“Tiga doa yang sangat mustajab, doa orang berpuasa, doa orang yang dizalimi dan doa orang yang musafir.” (Riwayat Bukhari)
Oleh : Asri Md Saman @ Osman - Pensyarah di Jabatan Pendidikan Islam dan Moral, Institut
Pendidikan Guru Kampus Darulaman.
No comments:
Post a Comment