ALLAH Ar-Rahman wa Ar-Rahim Maha Pengampun
dan sangat sukakan hamba-Nya yang bertaubat nasuha dan memohon keampunan
daripada-Nya.
Ertinya, Allah SWT boleh berkompromi dengan
hamba-hamba-Nya yang melakukan dosa seandainya mereka bertaubat.
Cuma satu dosa yang Allah tidak boleh
berkompromi dan tidak akan ada Ar-Rahman wa Ar-Rahim-Nya iaitu dosa
syirik, dosa menyekutukan-Nya.
Firman-Nya yang bermaksud: Sesungguhnya
syirik itu adalah kezaliman yang besar.(Luqman: 13)
Rasulullah SAW ditanya tentang dosa yang
paling besar." Baginda bersabda yang bermaksud: Kamu menjadikan sekutu
bagi Allah, pada hal Dia telah menciptakanmu."
Ada dua kategori syirik, iaitu syirik akbar (syirik
besar) yang boleh menyebabkan bukan sahaja pelakunya terkeluar daripada Islam
tetapi juga Allah tidak akan mengampuninya jika dipohon keampunan sebagaimana
firman-Nya yang bermaksud:Sesungguhnya Allah tidak akan mengampuni dosa syirik,
dan dia Dia mengampuni segala dosa yang selain dari (syirik) itu, bagi siapa
yang dikehendaki-Nya. (an-Nisa': 48)
Sama ada syirik besar mahupun syirik kecil,
adalah lebih baik kita menghindarinya. Syirik besar, pelakunya adalah murtad di
dunia dan kekal dalam neraka di akhirat.
Syirik jenis ini juga membuatkan segala
amal pelakunya menjadi sia-sia dan tidak diterima-Nya. Taubat pelakunya juga
tidak diterima oleh Allah.
Manakala syirik kecil pula, pelakunya tidak
murtad di dunia dan tidak akan kekal di akhirat nanti, akan dinerakakan tetapi
akan dibebaskan selepas tempoh hukuman tamat.
Pelaku syirik kecil hanya membuat sia-sia
amal perbuatan yang bercampur olehnya sahaja dan akan diampuni jika bertaubat
nasuha.
Apa pun adalah wajar syirik kecil dihindari
daripada dilakukan kerana ia boleh membawa kepada perlakuan syirik besar.
Hayati saranan Rasulullah SAW supaya dijauhi syirik melalui sabda baginda yang
bermaksud: "Wahai manusia, jauhilah syirik, ia sesungguhnya dia lebih
samar daripada rayapan semut." Lalu ada yang bertanya bagaimana cara kita
menghindarinya sedangkan ia lebih samar daripada rayapan semut wahai
Rasulullah? Baginda menjawab: "Ucapkanlah, Ya Allah sesungguhnya kami
berlindung kepada-Mu daripada mempersekutukan-Mu atas apa yang kami tidak
ketahui." (riwayat Imam Ahmad)
Oleh RAMLI ABDUL HALIM - bekas pelajar Madrasah Al-Balaghulmubin Rong Chenak, Tok Uban, Pasir Mas, Kelantan.
No comments:
Post a Comment