01:01:10 AM
Puasa menjadi kewajipan apabila seorang
Islam baik lelaki atau perempuan mencapai akil baligh, dan mematuhi beberapa
syarat lain. Hukum ini terpakai juga kepada ibadah lain dalam Islam.
Mencapai akil baligh bermaksud lelaki dan perempuan yang mencecah usia tertentu
serta mengerti tugasnya sebagai muslim yang diperintah bersolat dan berpuasa
semata-mata kerana Allah.
Kita disyorkan melatih anak-anak melaksanakan perintah Allah seperti bersolat dan berpuasa apabila mereka
berusia tujuh tahun. Malah, sesetengah kita mula melatih anak bersolat seawal
usia tiga dan empat tahun.
Anjuran laksana ibadah
Rasulullah SAW bersabda: “Suruhlah anak kamu mengerjakan solat ketika berumur
tujuh tahun dan pukul mereka jika meninggalkannya ketika berumur 10 tahun. Dan
asingkanlah mereka (lelaki dan perempuan) dari tempat tidur.” (Hadis riwayat
Abu Daud)
Persoalan adakah kanak-kanak digalakkan atau sememangnya diperintahkan berpuasa
sebelum mencapai umur baligh? Kebanyakan kita menyandarkan hadis solat itu bagi
melatih kanak-kanak berpuasa.
Umumnya, jawapan terbaik untuk soalan ini adalah apa yang disebut hadis riwayat
Imam Bukhari: “Nabi SAW mengirim utusan ke kampung golongan Ansar pada siang
hari Asyura (untuk menyampaikan): Bahawa siapa yang tidak berpuasa sejak pagi
hari maka dia harus menggantinya pada hari lain, dan siapa yang sudah berpuasa
sejak pagi hari maka hendaklah dia melanjutkan puasanya. Dia (Ar-Rubai' binti
Mu'awwidz) berkata: Selepas itu kami selalu berpuasa dan kami juga mendidik
anak kecil kami untuk berpuasa dan kami sediakan untuk mereka semacam alat
permainan diperbuat daripada bulu serigala, apabila seorang daripada mereka ada
yang menangis meminta makan maka kami beri dia permainan itu. Demikianlah terus
kami lakukan hingga tiba waktu berbuka.”
Waktu terbaik berpuasa
Jelas sahabat Nabi SAW ketika itu melatih anak mereka berpuasa walaupun belum
mencapai usia akil baligh kerana menyedari pentingnya jiwa kanak-kanak dilatih
memahami tanggungjawab berpuasa apabila mencapai usia akil baligh.
Kebanyakan cerdik pandai setuju kanak-kanak digalakkan berpuasa jika mereka
dapat menanggung kesusahan ibadat itu. Bagaimanapun, ada perbezaan pendapat
kalangan ulama berkenaan waktu terbaik kanak-kanak memulakan latihan puasa.
Sebahagiannya mencadangkan pada usia tujuh tahun atau 10 tahun seperti dalam
kes solat. Berbeza bagi Imam Ahmad bin Hanbal yang mencadangkan ia bermula pada
usia 10 tahun, manakala ulama lain menyebut titik permulaan latihan adalah pada
usia 12 tahun.
Ulama Maliki mempunyai pandangan berbeza yang mencadangkan kanak-kanak tidak
perlu digalakkan berpuasa. Bagaimanapun, pandangan itu tidak disokong bukti
sahih. Cuma satu alasan diberikan Mazhab Maliki, mereka menganggap amalan
penduduk Madinah adalah petunjuk sah dan boleh diterima dalam Islam.
Madinah adalah tempat lahirnya masyarakat Islam dan kebanyakan sahabat
Rasulullah tinggal di situ dan terus berada di sana untuk masa lama, malah
hingga sekarang.
Namun, Imam Bukhari menunjukkan kepada kita penduduk Madinah juga menggalakkan
kanak-kanak berpuasa menerusi satu riwayat. Kisahnya, suatu hari Umar
al-Khattab dihampiri seorang lelaki yang mabuk ketika Ramadan. Lalu Umar
berkata kepadanya: “Celaka engkau, kamu berbuka sedangkan anak-anak kami
berpuasa.” (Fath al-Bari, bab Puasa Kanak-Kanak)
Pujuk anak berpuasa
Amalan menggalakkan kanak-kanak berpuasa ketika Ramadan juga amalan dilakukan
penduduk Madinah pada zaman Umar. Justeru, menggalakkan kanak-kanak berpuasa
menjadi pendapat dipegang majoriti ulama.
Kemungkinan juga, usia kanak-kanak yang dilatih berpuasa pada zaman Rasulullah
lebih muda daripada tujuh, 10 atau 12 tahun, kerana dalam hadis golongan Ansar
dinyatakan wanitanya membuat barang mainan lembut untuk memujuk dan mengalih
perhatian anak mereka yang kelaparan.
Mainan seperti itu, tidak memberi erti bagi kanak-kanak berusia 11 dan 12 tahun
pada masa itu. Jadi kanak-kanak yang mesti dipujuk adalah mereka yang berusia
lebih muda.
Menggalakkan kanak-kanak berpuasa, tidak perlu kita memaksa mereka
menghabiskannya sehingga sebulan. Ibu bapa sepatutnya menggunakan cara lebih
santai dan bijak dalam mendekatkan diri anak kepada ibadah dituntut dalam
Islam. Cari jalan supaya anak seronok berpuasa.
No comments:
Post a Comment