بِسۡمِ ٱللهِ ٱلرَّحۡمَـٰنِ ٱلرَّحِيمِ
Dengan nama Allah, Yang Maha Pemurah, lagi Maha Mengasihani. Artikel-artikel yang disiarkan di sini adalah sebagai rujukan dan simpanan peribadi pemilik blog ini. Kebanyakannya diambil daripada sumber-sumber yang dinyatakan. Segala pendapat dalam penulisan ini adalah pendapat penulis artikel yang sebenar. Jika ada kekeliruan tuanpunya blog ini menyarankan supaya bertanya kepada penulis asal. Semoga memberikan manfaat kepada pembaca.

Tuesday, July 10, 2012

Berdakwah, beramal kena seiring


Bismillah

A002

Wahai orang-orang yang beriman! Mengapa kamu memperkatakan apa yang kamu tidak melakukannya! (As-Saff 61:2)

A003

Amat besar kebenciannya di sisi Allah - kamu memperkatakan sesuatu yang kamu tidak melakukannya.(As-Saff 61:3)

==========================

Dakwah adalah amal paling utama kerana melalui dakwah, Islam dapat tersebar ke seluruh pelusuk dunia. Melalui dakwah juga, Islam dapat diwariskan daripada satu generasi ke generasi dan menjadikannya hidup sepanjang masa. 

Islam juga dapat ditegakkan di tengah-tengah kehidupan lantaran aktiviti dakwah. Terdapat banyak dalil memerintahkan Muslimin untuk sentiasa berdakwah. Ganjaran pahala yang disediakan bagi pendakwah juga amat besar.


Firman Allah yang bermaksud: “Dan siapakah yang lebih baik perkataannya daripada orang yang menyeru kepada Allah dan mengerjakan kebajikan dan berkata: Sesungguhnya aku adalah daripada kalangan orang Muslim (yang berserah diri)?” (Surah Fussilat, ayat 33) 

Secara zahirnya seperti dijelaskan Al-Alusi, seruan dakwah yang dimaksudkan dalam ayat ini adalah melalui lisan, manakala perkataan ‘kepada Allah SWT’ bermaksud mengajak kepada tauhid Allah dan taat kepada-Nya. 

Asy-Syaukani dan Al-Jazairi dalam tafsir mereka tidak jauh berbeza dengan pendapat Abu Hayyan Al-Andalusi yang mengatakan dari sudut seruan ayat, ia menyeru kepada Islam, berjihad melawan kaum kafir dan menghentikan perbuatan orang zalim. 

Tidak ada perkataan disampaikan seseorang yang lebih baik daripada orang yang menyeru kepada Allah SWT. Menurut Fakhruddin Al-Razi, ini menunjukkan berdakwah kepada Allah lebih baik daripada perkara lain. 

Semua manusia maklum bahawa yang dihasilkan lisan adalah ucapan atau perkataan. Seperti anggota badan lain, apa saja dilakukan lisan adalah wajib terikat dengan hukum syarak. 


Rasulullah SAW bersabda: “Barang siapa beriman kepada Allah dan hari akhirat, hendaklah dia berkata khair (yang baik-baik) atau diam.” (Hadis riwayat al-Bukhari, Muslim, Abu Dawud dan al-Tirmidzi daripada Abu Hurairah) 

Perkataan yang mengandungi seruan dakwah kepada Allah dan agama-Nya adalah perkataan paling baik kerana ucapan itu bukan saja menampilkan kesempurnaan dirinya, juga dapat menyempurnakan orang lain. Pahala diberikan kepada orang melakukan aktiviti itu juga sangat besar. 

Rasulullah SAW bersabda: “Demi Allah, sesungguhnya satu orang diberikan petunjuk Allah melalui perantaraan (pendakwah), maka itu lebih baik daripada unta merah.” (Hadis riwayat al-Bukhari, Muslim, Abu Dawud dan al-Nasa’i) 

Apabila dakwahnya diterima, pahala diberikan kepadanya pun terus mengalir. Rasulullah SAW bersabda: “Barang siapa yang menunjukkan/mengajarkan suatu kebaikan, maka dia mendapat pahala yang sama seperti orang yang melakukannya (mengikutinya).” (Hadis riwayat Muslim, Abu Dawud, al-Tirmizi dan Ahmad) 

Di samping menyampaikan dakwah kepada Allah, mereka (pendakwah) juga wajib mengamalkan apa yang didakwahkan. Amal itu perlu berlandaskan kepada keikhlasan terhadap Allah SWT semata-mata dan hanya mengharapkan keredaan-Nya. 

Amal soleh menunjukkan orang yang menyampaikan dakwah kepada Islam wajib mengamalkan apa yang disampaikannya. Perkataan dan perbuatannya perlulah seiring. Bahkan orang yang menyampaikan itulah yang sepatutnya lebih taat terhadap perkara yang didakwahkannya. 

Allah SWT mencela orang yang hanya tahu menyeru kepada orang lain untuk berbuat kebaikan padahal dirinya sendiri mengabaikan apa yang disampaikan. 

Allah SWT berfirman: “Mengapakah kamu menyuruh orang lain untuk (mengerjakan) kebajikan sedangkan kamu melupakan (kewajipan) dirimu sendiri, padahal kamu membaca al-Kitab.” (Surah Al-Baqarah, ayat 44) 

Firman-Nya lagi: “Wahai orang beriman, mengapakah kamu mengatakan apa yang tidak kamu lakukan? Amat besar kebencian di sisi Allah bahawa kamu mengatakan apa yang tidak kamu kerjakan.” (Surah As-Saff, ayat 2-3) 

Perkataan yang terbaik iaitu perkataan mengajak kepada Islam, disampaikan oleh orang yang taat terhadap syariah dan tanpa ragu-ragu malah dengan bangga menunjukkan jati dirinya sebagai kaum Muslimin. 

Sesiapa saja yang ingin mendapatkan kemuliaan, darjat, martabat yang tinggi di sisi-Nya dan kebahagiaan hakiki, maka ketiga-tiga sifat itu perlu dimiliki. Semoga kita termasuk dalam golongan itu.


No comments:

Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...