Oleh DR. ZULKIFLI MOHAMAD AL-BAKRI
ALLAH SWT menyebut perihal hari akhirat dan
menjelaskan azab kepada orang kafir secara singkat serta pahala orang yang taat
secara terperinci. Ini adalah untuk menunjukkan kepada kita bahawa di sisi
rahmat itu didahulukan daripada azab.
Kemudian Allah SWT menambah dengan menyebut
keadaan dunia, iaitu Dia mendahulukan keadaan orang yang taat (Rasulullah SAW
dan umatnya) berbanding keadaan orang yang derhaka dan musyrik.
Sebelum perintah dan larangan yang
berhubung dengan Rasulullah SAW dikeluarkan, Allah SWT telah memerintahkan
kepadanya agar bersabar terhadap gangguan kaumnya yang baginda alami. Ini
adalah untuk menghilangkan kedukaannya dan menguatkan hati baginda, sehingga
lapang hati baginda. Justeru baginda sibuk mentaati Allah dengan berada dalam
kegembiraan dan keaktifan.
Firman Allah SWT: Sesungguhnya kami Telah menurunkan al-Quran kepadamu (hai Muhammad) dengan beransur-ansur. (al-Insaan: 23)
Al-Maraghi berkata: " Penurunan secara
berperingkat dan beransur-ansur selama 23 tahun, agar mudah dihafal, memahami
dan mempelajarinya. Manakala hukum-hukumnya itu diturunkan sesuai dengan
peristiwa yang benar-benar berlaku di dunia sehingga akan memperkuatkan lagi
keimanan orang Mukmin dan menambah ketakwaan orang yang bertakwa."
Ibnu Kathir berkata: "Allah SWT
memberikan kurniaan kepada Nabi Muhammad SAW iaitu diturunkannya al-Quran
secara beransur-ansur."
Sayid Qutub berkata: "Ayat ini
menekankan peringatan pertama kepada sumber perintah memperjuangkan dakwah
Islam dan sumber hakikatnya, iaitu dakwah Islam ini adalah daripada Allah
SWT."
Dialah sumber dakwah Islam yang tunggal.
Dialah yang menurunkan al-Quran membawa dakwah ini. Kerana itu tiada sumber dan
tiada punca lain bagi dakwah melainkan al-Quran. Allah SWT yang telah
menurunkan al-Quran dan mentaklifkan dakwah ini tidak akan membiarkannya dan
tidak akan meninggalkan pendakwahnya begitu sahaja.
Firman Allah SWT: Maka bersabarlah kamu untuk (melaksanakan) ketetapan Tuhanmu, dan janganlah kamu ikuti orang yang berdosa dan orang yang kafir di antara mereka. (al-Insaan: 24)
Al-Maraghi berkata: "Bersabarlah kamu
terhadap cubaan dan ujian Tuhanmu kerana ditunda memberi pertolongan kepadamu
daripada gangguan orang musyrik. Bersabarlah kamu menghadapi gangguan-gangguan
ketika menyampaikan risalah dan wahyu yang diturunkan kepadamu. Jangan kamu
menurut seorangpun daripada orang berdosa yang mengajakmu kepada dosa dan
jangan pula kamu menurut seorangpun daripada orang kafir yang mengajakmu kepada
kekafiran."
Ibnu Kathir berkata: "Yakni
sebagaimana Aku telah memuliakan dirimu dengan apa yang telah Aku turunkan
kepadamu, maka bersabarlah atas ketetapan dan ketentuan-Nya. Dan ketahuilah
bahawa Dia akan mengurusmu dengan sebaik-baiknya. Dan janganlah kamu menuruti
orang-orang kafir dan orang-orang munafik jika mereka hendak menghalangi dirimu
untuk menyampaikan apa yang telah Allah turunkan kepadamu dan hendaklah kamu
tetap menyampaikannya serta bertawakal kepada Allah SWT."
Sayid Qutub berkata: "Sabarlah hingga
tiba saatnya yang ditentukan. Sabarlah menanggung penindasan dan fitnah,
sabarlah melihat kebatilan terus mendapat kemenangan dan kejahatan masih terus
merebak dan berleluasa. Sabarlah mempertahankan kebenaran yang diturunkan kepadamu,
sabarlah dan jangan kamu hiraukan tawaran-tawaran perdamaian dan penyelesaian
jalan tengah daripada mereka yang membahayakan akidah Islam, kerana mereka
bukan menyeru kamu kepada ketaatan dan tidak pula kepada kebaikan dan kebajikan
melainkan menyerumu kepada sesuatu dosa dan kekufuran. Mereka adalah
orang-orang yang berdosa dan tidak beriman kepada Allah SWT."
No comments:
Post a Comment